Shopee



Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera semua. Semoga semua sihat-sihat sahaja dan dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan kesihatan berpanjangan.

Sedia maklumkah kita bahawa kadang-kadang perkara kecil yang kita abaikan boleh berkembang menjadi pengalaman yang mengejutkan? Baru-baru ini saya terpaksa menjalani pembedahan kecemasan akibat abscess di kawasan groin (pangkal paha).

Menariknya, sepanjang pembedahan saya sedar sepenuhnya kerana doktor pakar bedah menggunakan bius separuh badan (epidural). Biasanya orang dengar epidural semasa bersalin, tetapi sebenarnya ia juga digunakan untuk beberapa jenis pembedahan lain.

Pengalaman ini bukan sahaja mencabar dari segi fizikal, tetapi juga memberi pengajaran kepada saya tentang kesihatan, pencegahan dan pentingnya rawatan awal.


Sejarah Masalah Jangkitan

Sebenarnya ini bukan kali pertama saya mengalami masalah abscess di kawasan tersebut. Tahun lepas, saya pernah mendapat jangkitan yang sama. Pada waktu itu ia masih boleh dirawat dengan antibiotik sahaja tanpa perlu pembedahan, jadi saya fikir ia sudah selesai.

Namun kali ini, keadaan jadi berbeza. Jangkitan berkembang dengan cepat, dan dalam hanya empat hari, benjolan membesar sehingga lebih kurang 4 × 5 cm. Kesakitannya semakin ketara dan mula mengganggu pergerakan harian seperti berjalan atau duduk.


Pemeriksaan CT Scan

Sebelum pembedahan, doktor meminta saya menjalani CT Scan bagi memastikan kedudukan dan kedalaman abscess.

Sebagai sebahagian daripada prosedur, sejumlah cecair dimasukkan melalui saluran rektum untuk membantu menghasilkan imej yang lebih jelas, dan pewarna kontras dimasukkan melalui tangan.

Walaupun sedikit tidak selesa, prosedur ini penting untuk memastikan doktor mendapat gambaran yang tepat sebelum membuat keputusan rawatan.


Pembedahan Kecemasan & Epidural

Disebabkan abscess sudah membesar dan berada di kawasan sensitif, doktor menasihatkan pembedahan kecemasan pada hari yang sama saya warded.

Sebelum pembedahan, doktor bius menerangkan pilihan bius iaitu bius penuh (general anaesthesia) dan bius separuh badan (epidural/spinal).

Saya memilih bius epidural, yang membuat bahagian bawah badan kebas sementara tetapi membolehkan saya sedar sepanjang prosedur.

Saya tidak merasa sakit pada kawasan yang dibedah, cuma rasa macam geli-geli sahaja. Rasa sentuhan tapi tidak sakit. Tambahan pula, saya memang tak boleh gerakkan kaki apa semua pun disebabkan bius tersebut.


Apa Kata Doktor: Punca Jangkitan

Doktor menjelaskan bahawa abscess ini berpunca daripada kelenjar peluh yang tersumbat, disebabkan kawasan tersebut sensitif, lembap dan terdedah kepada geseran.

Aktiviti saya sebagai long-distance rider juga mungkin menyumbang kepada abscess kerana kawasan tersebut berada dalam keadaan lembap dan tertekan untuk tempoh lama ketika menunggang motosikal.

Doktor turut menegaskan bahawa keadaan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, bukan hanya penunggang motosikal.


Kesan Selepas Bius & Pemulihan

Selepas pembedahan, saya mengalami beberapa kesan sampingan daripada bius iaitu pening, muntah, sakit belakang dan rasa terhuyung-hayang. Ini perkara biasa selepas epidural dan biasanya beransur pulih selepas beberapa hari.

Proses pemulihan memerlukan penjagaan rapi iaitu menjaga kebersihan luka, menukar dressing secara berkala, mengambil ubat yang diberikan dan mengehadkan aktiviti berat buat sementara waktu.

Bagi beberapa minggu pertama, saya perlu duduk atas bantal jenis donut untuk mengurangkan tekanan pada kawasan pembedahan. Solat juga dilakukan secara duduk pada peringkat awal, dan hanya selepas hampir sebulan saya mampu bersolat berdiri semula.

Hari demi hari, keadaan semakin pulih dan kesakitan mula berkurangan. Alhamdulillah.


Pengalaman Bersama Dr Wong Jo Lin di KPJ Kuala Selangor

Sepanjang proses ini, saya berjumpa dengan Dr Wong Jo Lin di KPJ Kuala Selangor, seorang doktor pakar bedah yang sangat profesional, mesra, sopan santun dan berpengalaman.

Sepanjang pembedahan dan rawatan, saya rasa yakin dan selesa. Isteri saya juga berpendapat doktor ini antara doktor kegemaran kami. Jika anda menghadapi masalah serupa, saya amat mengesyorkan beliau.

Terima kasih doktor atas rawatan dan nasihat yang diberikan!


Proses GL Insurans Etiqa Yang Pantas

Pengalaman admit hospital ini juga membuka mata saya tentang kepentingan insurans perubatan. Saya telah menggunakan insurans Etiqa hampir 6 tahun dan sangat berpuas hati dengan kelajuan prosesnya.

Semasa admit untuk pembedahan kecemasan ini, GL (guarantee letter) lulus dalam masa 11 minit sahaja. Bukan itu sahaja, semasa proses discharge pula, GL lulus dalam masa 20 minit sahaja.

Pengalaman ini benar-benar memudahkan proses rawatan dan mengurangkan tekanan dalam situasi yang sudah mencabar secara fizikal dan mental.

Etiqa cover hampir keseluruhan kos. Saya cuma perlu bayar dalam RM100 lebih sahaja untuk item yang tak cover.

Bagi sesiapa yang masih ragu-ragu tentang insurans, pengalaman saya ini membuktikan bahawa memilih insurans yang efisien dan mudah diuruskan sangat penting, terutamanya untuk kes kecemasan.


Pengajaran Dari Pengalaman Ini

Beberapa perkara penting yang saya belajar daripada pengalaman ini:

  • Pertama, jangan abaikan simptom kecil pada tubuh. Benjolan kecil atau keradangan kadang-kadang boleh berkembang menjadi masalah serius dalam masa yang singkat.
  • Kedua, rawatan awal sangat penting. Semakin cepat anda dapatkan pemeriksaan, semakin mudah rawatan dapat dilakukan.
  • Ketiga, mencegah lebih baik dari mengubati. Menjaga kebersihan, mengelakkan kawasan lembap terlalu lama dan memeriksa sebarang benjolan adalah langkah penting. Kalau dah nampak ada benjolan abnormal tu, cepat-cepatlah ke klinik atau hospital.
  • Keempat, insurans bukan pilihan, tapi keperluan. Pengalaman ini mengingatkan bahawa perlindungan kesihatan adalah penting supaya tidak terbeban dengan kos rawatan yang tinggi.


Penutup

Walaupun pengalaman ini agak mencabar, saya bersyukur kerana masalah ini dapat dirawat dengan cepat. Ia mengingatkan saya bahawa kesihatan bukan sesuatu yang boleh diabaikan, dan perkara yang kelihatan kecil kadang-kadang boleh menjadi serius jika dibiarkan.

Jika anda mengalami simptom seperti benjolan yang keras, sakit, bengkak atau jangkitan kulit, jangan tunggu terlalu lama untuk mendapatkan pemeriksaan doktor. Rawatan awal boleh membuat perbezaan yang besar dan mengurangkan risiko komplikasi.

Semoga perkongsian ini bermanfaat. Terima kasih.

#Abscess #Benjol #Nanah

Post a Comment

Terbaru Lebih lama

Baju Hujan Tahan Lasak Kalis Air

Maxtag Touch N Go Smart Tag Holder