Shopee

Kenangan berlatarbelakangkan sawah padi

Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera semua. Semoga sidang pembaca semua sihat sejahtera dan dipermudahkan segala urusan.


Entri kali ini saya membawakan gaya penulisan puitis dan gramatis. Saya berhasrat untuk berkongsi mengenai staycation yang saya dan sahabat handai rancang pada tahun 2025 sewaktu bulan Ramadan.


Dalam kesibukan kerjaya dan komitmen keluarga masing-masing, bukan mudah untuk mengumpulkan sahabat lama di satu tempat. Setelah beberapa kali merancang dan menyusun pelan, akhirnya menjadi juga pertemuan yang telah lama dinantikan. Apabila semuanya menjadi kenyataan, terasa seolah-olah masa seketika kembali berputar ke zaman dahulu.


Staycation 2025 ini membawa kami ke Inap Desa Omah Sawah di Tanjung Karang, Kuala Selangor iaitu sebuah homestay yang terletak di tengah-tengah hamparan sawah padi yang sedang menghijau serta luas terbentang.


Seramai 12 orang termasuk dua anak kecil, mewakili lima keluarga, berkumpul di sini untuk sebuah percutian ringkas selama 2 hari 1 malam pada bulan Ramadan 2025.


Walaupun kekangan masa, kenangan yang tercipta terasa cukup bermakna.


Pemandangan dari meja luar

Damai di Tengah Sawah


Di sini, angin sepoi-sepoi bahasa menyapa wajah, membawa bersama bau tanah dan sawah. Kebetulan pula ketika kami tiba, padi sedang naik menghijau, menjadikan pemandangan sekeliling begitu memukau mata, malah menenangkan jiwa dan raga.


Suasana kampung menghilangkan seketika kehidupan realiti nun jauh di hutan bandar dan hiruk-pikuk kota. Bunyi bingit kenderaan di ibu kota yang biasanya memenuhi telinga digantikan dengan bunyi alam dan desa.


Di sini, hujan turun membasahi bumi, sekejap lebat, sekejap rebas, melengkapkan suasana desa yang damai.


Sebelum berbuka


Homestay yang Luas untuk Berkumpul


Homestay yang kami duduki mempunyai:

  • 3 bilik tidur,
  • 1 bilik solat (yang boleh dijadikan bilik tidur),
  • 3 bilik air,
  • tempat BBQ.

Seramai dua belas orang menginap di sini dan ruangnya masih terasa selesa. Sebenarnya, homestay ini mampu memuatkan lebih ramai tetamu jika datang dalam kumpulan besar.


Memandangkan kami ada 5 keluarga, pada waktu malam, bilik solat itu bertukar fungsi menjadi tempat tidur bagi kumpulan lelaki. Yang perempuan boleh tidur dalam bilik.


Dapur yang disediakan juga luas dan lengkap dengan peralatan asas memasak. Tinggal hanya membawa bahan mentah untuk menyediakan hidangan.


Harga sewa homestay ini ialah lebih kurang RM400. Ini tidak termasuk barang-barang yang kita nak memasak atau beli untuk berbuka puasa.


Bangkit untuk sahur


Juadah waktu nak berbuka


Berbuka dan Sahur Bersama


Memandangkan percutian ini berlangsung dalam bulan Ramadan, kami mengambil peluang untuk berbuka puasa dan bersahur bersama-sama.


Semua juadah dimasak sendiri di homestay tersebut. Setiap orang membawa bahan masakan, makanan atau keperluan tambahan untuk melengkapkan hidangan.


Apabila semuanya disajikan di atas meja, terasa seperti sebuah jamuan kecil yang penuh dengan rasa syukur dan kebersamaan.


Terima kasih khususnya kepada Cef Jue yang menyediakan menu yang benar-benar sedap hingga menjilat jari.


Persediaan juadah berbuka puasa



Menghidupkan Malam Ramadan


Bulan Ramadan ialah bulan yang penuh keberkatan.


Walaupun berada di luar rumah, pengisian rohani tetap menjadi keutamaan. Kami menunaikan solat fardhu secara berjemaah dan pada waktu malam bersama-sama menghidupkan suasana Ramadan dengan solat tarawih berjemaah.


Solat berjemaah pada waktu itu, ditemani hujan gerimis dan angin sepoi-sepoi bahasa, menjadikan suasananya hening, menemukan ketenteraman jiwa yang sukar digambarkan dengan kata-kata.


Mengimbau Nostalgia Lipatan Sejarah Belaka



Memandangkan sudah lama tidak bertemu kerana komitmen kerja dan keluarga, masa yang ada dihabiskan dengan catch-up session bersama sahabat-sahabat lama.


Perbualan kami melangkaui pelbagai topik, daripada kisah kerjaya dan kehidupan semasa, sehinggalah kepada kenangan lama ketika zaman alma mater dahulu.


Sesekali kedengaran gelak tawa apabila cerita-cerita lama kembali disingkap.


Benarlah kata orang, masa mungkin berlalu, tetapi kenangan tetap tinggal di lubuk sukma.


Kenangan main Monopoly Deal dan UNO



Permainan yang “Meretakkan” Persahabatan


Selain berbual panjang, kami juga sempat bermain beberapa permainan santai seperti Monopoly Deal dan UNO.


Seperti biasa, permainan seperti ini sering kali menyebabkan persahabatan terputus seketika apabila masing-masing cuba memenangi permainan hahaha.


Namun akhirnya semuanya kembali dengan gelak tawa.


Di sebalik lensa


Di hadapan lensa


Kenangan yang Dirakam


Sepanjang staycation ini, banyak momen berjaya dirakam melalui lensa kamera rakan kami, Fikri Nor.


Gambar-gambar ini bukan sekadar foto biasa. Ia adalah memento, kenangan yang mungkin suatu hari nanti akan dibuka semula untuk dikenang bersama.


Mungkin pada usia tua kelak, gambar-gambar inilah yang akan menjadi bahan cerita dan nostalgia.


Bak kata orang dulu-dulu, “jadilah seorang dewasa yang banyak pengalaman, supaya tidak menjadi seorang tua yang membosankan.”


Timelapse behind-the-scene

The scene



Sedikit Tips


Kalau datang Omah Sawah, disarankan untuk bawa ridsect atau baygon. Sebab biasalah duduk di sawah, ada lipas dan nyamuk.


Andai kata ada barang nak kena beli semasa menginap di sini, ada je kedai berdekatan. Dalam 10 minit dari sawah, ada Speedmart, Mr DIY dan 7-Eleven.


Sawah dan Sahabat


Jauh di mata, dekat di lubuk sukma,

Walau berpisah, ingatan kekal segar bugar.

Tawa dan senda tersemat di jiwa,

Menjadi kenangan sepanjang usia.


Semoga kita berjumpa lagi di lembaran yang lain.


Salam Ramadan dan salam lebaran buat semua. Semoga segala urusan dipermudahkan dan kita terus menggapai kejayaan di mana jua berada.


Kepada yang nak hubungi owner homestay ni, boleh tekan link ni: https://wa.me/60193719950 (Omah Sawah).


Maklumat Ringkas Omah Sawah


Berikut adalah maklumat yang membantu anda:

  • Lokasi: Tanjung Karang, Selangor
  • Lokasi Google Map: https://maps.app.goo.gl/5YJGdHmvFmWth8nN6
  • Booking sini. Nombor Telefon: https://wa.me/60193719950
  • Ada pelbagai jenis homestay Omah Sawah. Boleh go through WhatsApp catalogue nombor di atas.
  • Setiap rumah lain-lain kapasiti. Kalau kumpulan kecil, boleh ambil rumah kecil. Kalau besar, ambil la besar.
  • Omah Sawah ni ada 4 rumah kalau tak silap. Ada rumah yang ada kolam renang. Ada rumah yang ada lebih dari 3 bilik.
  • Omah Sawah ni sesuai untuk family trip, student trip dan juga dengan kawan-kawan.
  • Harga homestay ranging from RM150 - RM600.
  • Lepas tu, payment method, bayar pada hari kejadian / sebelum kejadian
  • Parking mencukupi dan luas.



Gambar saya dan isteri


#Staycation #OmahSawah

Post a Comment

أحدث أقدم

Baju Hujan Tahan Lasak Kalis Air

Maxtag Touch N Go Smart Tag Holder