Shopee

Korea Selatan


Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera semua. Semoga semua baik-baik sahaja dan dipermudahkan segala urusan dalam kehidupan.

Kali ini saya nak mengupas tentang cerita drama dan filem.

Apabila kita sebut Korea Selatan / South Korea, saya rasa antara perkara utama yang terlintas dalam fikiran orang ramai ialah drama yang meletup, filem menang anugerah atau pelakon yang dikenali satu dunia.

Tapi sebenarnya, kejayaan itu bukan kebetulan. Di sebalik cerita mereka yang bersungguh-sungguh, realistik dan best  ni adalah sebab ada sistem, strategi dan mindset yang jelas di belakang tabir setiap produksi.

Sebelum anda meneruskan bacaan, saya ingin menjelaskan bahawa kupasan ini adalah berdasarkan pemerhatian saya sendiri. alert-info


Kerajaan Korea Selatan memainkan peranan penting dalam menjadikan budaya sebagai salah satu enjin paling kuat untuk menyuntik ekonomi mereka pada tahun tersebut.


1. Industri Kreatif Sebagai Strategi Negara

Selepas Krisis Kewangan Asia 1997, Korea Selatan tidak lagi melihat industri hiburan sebagai sekadar sektor kreatif, tetapi sebagai strategi pemulihan ekonomi dan pembangunan negara.

Kerajaan pada ketika itu memainkan peranan besar melalui pembikinan dasar seperti Basic Law for the Promotion of Cultural Industries, yang mengiktiraf industri budaya sebagai sektor ekonomi rasmi dan strategik.

Sokongan ini turut diperkuatkan oleh Korea Creative Content Agency (KOCCA) yang membantu dari segi pembiayaan, promosi dan pembangunan kandungan ke pasaran global.

Disebabkan inilah perkembangan industri ini membentuk satu aliran jelas iaitu: dasar kerajaan → pengukuhan industri → lahirnya Hallyu Wave sebagai kesan domino ke peringkat global.

Hallyu Wave ialah istilah yang merujuk kepada gelombang penyebaran budaya Korea Selatan ke seluruh dunia. Secara ringkas, ia bermaksud apabila elemen budaya Korea seperti drama & filem, K-pop, makanan, fesyen dan gaya hidup menjadi popular dan diterima secara global, bukan hanya di Korea. alert-info

Hallyu Wave ini bermula sekitar akhir 1990-an dan berkembang pesat melalui media seperti TV, internet dan platform penstriman. Hari ini, ia dianggap sebagai soft power Korea Selatan, iaitu pengaruh negara melalui budaya dan hiburan tanpa menggunakan kekuatan politik atau ketenteraan. alert-info

Point 1 inilah yang menjadi foundation untuk menyokong point-point seterusnya dalam artikel ini.


2. Fokus pada Ketepatan & Realisme


Jika kita ambil contoh drama hospital seperti Hospital Playlist dan Resident Playbook, boleh dikatakan setiap prosedur perubatan, dialog dan flow hospital disusun dengan tepat. Mereka menggunakan:

  • Medical advisor dan technical consultant
  • Research mendalam untuk memastikan realisme dapat dicapai near perfect.
Kenapa? Sebab kalau tak tepat, penonton perasan. Di Korea, rating jatuh → drama boleh kena cancel → sponsor pun akan tarik diri. Audience Korea sangat demanding. Mereka menilai kredibiliti cerita, bukan sekadar hiburan.


3. Isu Sensitif Pun Mereka Sentuh Dengan Berani


Selain realisme perubatan, Korea berani bawa isu politik, rasuah, undang-undang dan perebutan kuasa dalam cerita. Contohnya drama Chief of Staff atau Designated Survivor: 60 Days. Semua dipaparkan secara komprehensif:

  • Strategi kuasa & manipulasi politik
  • Konflik antara kerajaan dan korporat
Cerita seperti ini dibuat dengan serius dan teliti. Penonton menerima cerita ini sebagai refleksi realiti dan itulah yang membuatkan drama mereka terasa realistik dan menarik.


Kopiko sebagai product placement. Orang rasa nak beli Kopiko sebab actor actress menunjukkan ekpresi yang memuaskan bila makan.

Subway product placement. Actor actress buat Subway tu nampak sangat sedap. Soft sell mereka berjaya buat orang rasa nak makan Subway.


4. Product Placement Pun Natural

Korea bijak gabungkan produk dalam cerita. Brand masuk, tapi tidak hard sell. Contohnya watak minum kopi (biasanya jenama Kopiko), guna phone (biasanya jenama Samsung) atau makan makanan (biasanya jenama Subway) semuanya masuk dalam storytelling. Penonton tak rasa product placement tu try hard sangat, jadi, penonton tak rasa cringe atau menyampah.

5. Kekuatan Emosi Dalam Penceritaan

Drama dan filem Korea memang power bab buat penonton rasa attached emotionally atau bermain dengan emosi. Karya mereka mampu buat kita:

  • Sedih sampai menangis
  • Membentuk semangat patriotik
  • Bersemangat dan terinspirasi
  • Memperkasa jati diri
  • Empati terhadap watak

Yang menariknya, emosi ini bukan kebetulan. Ia dibina melalui:

  • Penulisan skrip yang kuat
  • Character development yang mendalam
  • Music scoring (OST) dengan timing yang tepat dan menusuk jiwa
  • Build-up cerita yang konsisten

Ini yang membuatkan penonton hook untuk tonton sampai habis.


6. Objektif & Impak Sosial Dalam Penceritaan

Kebanyakan drama dan filem Korea sering membawa mesej dan objektif yang jelas termasuklah membina kesedaran dalam masyarakat.


Hospital Playlist


Contoh 1: Hospital Playlist (Impak Kepada Pendaftaran Derma Organ)

Hospital Playlist: Episod berkaitan pendermaan organ mencetuskan peningkatan kesedaran dan minat orang ramai untuk mendaftar sebagai penderma organ.

Menurut Korea Network for Organ Sharing (KONOS), jumlah pendaftaran penderma organ meningkat secara ketara ketika episod berkaitan disiarkan. Dalam tempoh enam minggu (Julai - Ogos 2021), jumlah pendaftaran meningkat hampir 3 kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Malah, selepas episod yang memaparkan proses pendermaan organ dan brain death disiarkan, pendaftaran mingguan meningkat sehingga 11 kali ganda. alert-info


When Life Gives You Tangerines


Contoh 2: When Life Gives You Tangerines (Impak Kepada Pelancongan)

Selain impak sosial seperti kesedaran pendermaan organ, drama Korea juga terbukti mampu memberi kesan besar kepada sektor pelancongan.

Sebagai contoh, When Life Gives You Tangerines yang berlatarbelakangkan Jeju Island bukan sahaja mendapat sambutan global, malah berjaya menarik perhatian pelancong ke destinasi tersebut.

Keindahan semula jadi Jeju yang dipaparkan secara sinematik dalam drama ini mencetuskan keinginan penonton untuk merasai sendiri pengalaman berada di sana.

Selepas drama ini ditayangkan, jumlah pelawat antarabangsa ke Jeju meningkat sebanyak 17.5% year-on-year, mencecah sekitar 1.74 juta pelawat dalam tempoh Januari hingga September 2025. alert-info

Malah, Jeju Haenyeo Museum yang turut dipaparkan dalam drama ini mencatatkan peningkatan pelawat asing sebanyak 58.9% dalam tempoh yang sama. alert-info

Yang menariknya, cerita ini tidak terasa seperti kempen atau propaganda. Sebaliknya, mesej disampaikan secara halus melalui jalan cerita dan perkembangan watak.

Hasilnya:

  • Penonton lebih mudah menerima mesej
  • Wujud perbincangan dalam masyarakat
  • Ada perubahan sikap dan kesedaran secara tidak langsung


Contoh cara K-Drama atau K-Movie mempromosikan makanan mereka.


Contoh 3: Boleh Dikatakan Semua Cerita Korea (Impak Pengaruh Makanan Korea)

Pengaruh K-drama juga boleh dilihat dengan jelas dalam budaya makanan termasuk di Malaysia sendiri.

Hampir semua K-drama memperkenalkan elemen makanan sebagai sebahagian daripada penceritaan. Antara makanan yang sering dipapar ialah ramyeon, kimchi, tteokbokki dan Korean BBQ. Paparan makanan ini membuatkan penonton ingin cuba dan rasa sendiri.

Di Malaysia, trend ini boleh dilihat melalui peningkatan bilangan kedai makanan Korea yang semakin banyak di Malaysia. Selain itu, kemunculan pasaraya khas produk Korea seperti CU Mart, eMart24, K-Market dan K-Plus Market turut memudahkan akses kepada makanan dan bahan masakan Korea seperti kimchi, gochujang dan instant ramyeon.

Apa yang menarik, perubahan ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi dipengaruhi oleh pendedahan berterusan melalui drama dan filem Korea yang menjadikan makanan sebagai sebahagian daripada pengalaman penceritaan.

Ini menunjukkan bahawa impak K-drama bukan sahaja berlaku di negara asalnya, tetapi turut meresap ke dalam gaya hidup masyarakat di negara lain.


7. Malaysia: Kita Masih Belum Sampai Tahap Itu

Di Malaysia, kita ada industri kreatif yang mempunyai bakat dan potensi untuk pergi jauh. Tapi mindset kita masih:
  • Drama untuk slot TV
  • Ikut formula selamat
  • Genre berulang-ulang (curang, rumah tangga, konflik keluarga, gangsterisme)
Akibatnya, kita buat cerita untuk tontonan tempatan, bukan sebagai aset ekonomi global. Risiko kurang diambil, storytelling terhad dan nilai eksport minimum.


Joseon Exorcist yang kena cancel disebabkan ketidaktepatan sejarah


Cerita Korea Pun Tidaklah Semuanya Bagus

Walaupun kita banyak memuji industri hiburan Korea, perlu juga kita akui bahawa tidak semua karya mereka berjaya. Ada juga drama dan filem yang kurang mendapat sambutan atau gagal mencapai jangkaan penonton.

Sebagai contoh, Joseon Exorcist menerima kecaman hebat kerana isu ketidaktepatan budaya dan sejarah.

Akibat tekanan awam:

  • Drama dibatalkan selepas 2 episod
  • Pihak penaja menarik diri

Ini menunjukkan industri mereka sangat sensitif terhadap kualiti dan ketepatan serta penonton yang sangat tegas.


Kesimpulan

Kesimpulannya, kejayaan drama dan filem Korea bukan sekadar terletak pada jalan cerita yang menarik semata-mata tetapi hasil daripada gabungan polisi yang jelas, ekosistem industri yang kuat dan disiplin dalam menghasilkan karya yang realistik serta keberanian untuk menyentuh isu-isu besar dalam masyarakat.

Mereka melihat industri ini sebagai satu industri strategik dan aset ekonomi negara.

Dalam masa yang sama, kita juga perlu sedar bahawa kejayaan ini bukan sesuatu yang sempurna. Industri mereka tetap melalui kegagalan. Kendatipun begitu, mereka menjadikan setiap kegagalan itu sebagai ruang untuk belajar dan berkembang.

Industri kreatif Malaysia masih mempunyai ruang yang besar untuk diperbaiki, terutamanya dari segi mindset, keberanian bereksperimen dan kesungguhan dalam menghasilkan karya berkualiti tinggi yang mampu menembusi pasaran global.

Akhirnya, persoalannya bukan sama ada kita mampu atau tidak tetapi sejauh mana kita bersedia untuk membuat perubahan, mengambil risiko dan melihat industri ini sebagai satu pelaburan jangka panjang.

Ini sekadar pandangan saya. Sekian, terima kasih.

#Azaraslan

Post a Comment

أحدث أقدم

Baju Hujan Tahan Lasak Kalis Air

Maxtag Touch N Go Smart Tag Holder