Ulang Alik Kerja Jarak Jauh 100km Dengan Motosikal Kapcai




Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera buat semua sidang pembaca. Semoga semua dipermudahkan segala urusan dan sihat-sihat sahaja. Lebih kurang 3-4 bulan menyepi, kali ini baru saya ada masa nak menulis artikel lagi.

Untuk artikel kali ini, saya ingin menulis berkenaan kelebihan dan cabaran ulang alik kerja jarak jauh dengan motosikal kapcai.

Saya menunggang motosikal kapcai untuk pergi kerja sejauh 100km. 50km sehala. Sudah lebih kurang 2 tahun saya berulang-alik jarak jauh. Masih berulang sehingga kini.

Ramai juga yang ulang-alik 100km. Yang ulang-alik sampai 120km, 140km, 160km ke 200km dua hala, anda memang cekal. Tabik spring! Semoga rezeki kita semua diberkati.

Motosikal yang saya gunakan sejak zaman sekolah ialah Suzuki Shogun Axelo 125 S. Sudah 12 tahun guna motor yang sama. Masih steady, gagah walaupun usianya dah tua. Tak pernah ada masalah enjin setakat ini. Cuma masalah wear and tear tu biasalah sebab dimamah usia.

Okay sebelum itu, apa maksud kapcai? Jika berdasarkan blog motosikal dan Wikipedia, kapcai adalah berasal dari perkataan CubChai iaitu Cub dari Motor Honda Cub yang dibawa masuk oleh Tan Sri Boon Siew manakala Chai adalah berasal daripada perkataan Leng Chai yg membawa maksud seorang lelaki segak dan tampan. “Chai” yang dimaksudkan ialah Tan Sri Boon Hiew itu sendiri.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula, maksud kapcai ialah motosikal berkuasa rendah yg murah harganya.

Okay jom kita mula.


KELEBIHAN ULANG ALIK KERJA JARAK JAUH DENGAN MOTOSIKAL

01. JIMAT PETROL

Pengunaan petrol untuk motosikal adalah jauh lebih rendah berbanding kereta. Bayangkan, kos petrol kereta RM70 seminggu (tangki penuh). Kos petrol motosikal saya ialah RM25 seminggu (tangki penuh). Dekat situ dah ada penjimatan yang sangat banyak.

Kalau nak lihat penggunaan petrol, boleh guna Setel. Senang nak track.

Use Setel as your constant companion on the road. Join Setel with my referral code and we’ll both earn RM5 after you spend RM30 on fuel, Deliver2Me, or at Kedai Mesra.

My referral code: mxjxw

https://www.setel.com/ref/mxjxw 



02. TIDAK DICAJ TOL

Motosikal tak ada caj tol. Maka tak perlu la lalu palang dan bayar tol. Dekat sini dah boleh jimat duit.


03. JIMAT MASA

Sebagai seorang penunggang motosikal, anda boleh jimat banyak masa atas jalan raya. Hal ini demikian kerana anda boleh menyelit dan memintas kesesakan lebuh raya dengan mudah.

Di Malaysia, setakat saya menulis ini (11 Jun 2024), motosikal dibenarkan untuk lane splitting dan lane filtering.

Lane splitting ini ialah satu cara pemanduan di mana penunggang motosikal akan bawa motosikal di atas garisan pembahagi jalan, ketika kereta sedang bergerak ke hadapan dengan arus yang sama. Sementara tu, lane filtering ni bila motosikal ‘mencilok’ di jalan yang ada ruang untuk sampai ke hadapan apabila kereta sedang berhenti, contoh apabila lampu trafik merah atau trafik perlahan.

Dilampirkan contoh untuk maklumat lanjut:


Menunggang motosikal lebih jimat masa. Sebagai contoh, saya duduk di Rawang dan bekerja di Petaling Jaya. Saya perlu keluar rumah jam 6.30-6.45 pagi. Jika keluar jam 7.00 pagi, maka anda akan sampai ke pejabat pada jam 8.30 pagi dan ke atas. Waktu masuk pejabat ialah 8.30 pagi.

Jika saya bergerak ke pejabat dengan motosikal, saya boleh keluar lambat. Jika saya keluar rumah jam 7.30 pagi, saya akan tiba di pejabat pada jam 8.15 pagi.

Bayangkan, bergerak dengan kereta mengambil masa sekurang-kurangnya 1 jam setengah ke 2 jam. Ini tak termasuk sekiranya ada kemalangan, jalan tutup, VIP lalu dan sebagainya.

Jika saya bergerak dengan motosikal, saya boleh sampai pejabat dalam masa 45 minit ke 1 jam.


04. SENANG NAK LETAK KENDERAAN

Memandangkan saiz motosikal kapcai adalah kecil, maka mudah la untuk letak kenderaan. Nak parking dekat bahu jalan pun boleh, atas kaki lima pun boleh, asalkan tempat tu boleh letak kenderaan dan tidak menghalang lalu lintas.

Jika anda perlu pergi ke kedai untuk makan pun, anda tak perlu pening-pening nak cari parking. Kalau gerak dengan kereta, mungkin cari parking dah ambil masa 20-30 minit. Waktu rehat 1 jam je. Waktu tu la nak makan, nak ke tandas, nak pergi sembahyang. Kan pening kepala tu.


05. CUKAI JALAN SERENDAH RM2 SAHAJA, INSURANS PUN MURAH

Cukai jalan serendah RM2, insurans boleh dapat bawah RM200. Jika nak dibandingkan dengan kereta, kita dah kena sediakan sekurang-kurangnya RM1000. Banyak kita boleh jimat di situ.


CABARAN DAN HALANGAN MENUNGGANG MOTOSIKAL JARAK JAUH UNTUK KERJA

01. HARI-HARI / BANYAK KALI KENA ISI PETROL

Moto kapcai ni tangki dia kecil je, melainkan moto tangki (street bike, naked bike) atau skuter seperti SYM Husky yang baru dilancarkan bulan April tahun ni.

Bila tangki kecil, hari-hari la kena isi petrol. Macam Suzuki Shogun Axelo, kapasiti tangki hanyalah 4.1 liter. 100km tu consume dalam 3 ke 4 liter.

Moto macam Yamaha FZ150i, tangki dia 12 liter. Skuter SYM Husky tangki dia 15 liter.

Hari-hari isi petrol, siapa tak penat kan, hahaha.


02. CUACA

Cuaca adalah antara musuh utama penunggang motosikal.

Tidak seperti kereta, motosikal tidak mempunyai bumbung untuk melindungi penunggang daripada terkena air hujan. Oleh sebab itu, penunggang motosikal perlu memakai set pakaian hujan yang lengkap bagi mengelakkan diri dibasahi hujan.

Sungguhpun begitu, jika hujan terlalu lebat, penunggang motosikal tidak disarankan untuk meneruskan perjalanan kerana ini akan membahayakan diri sendiri. Penunggang motosikal atau rider akan terdedah kepada pelbagai cabaran keselamatan.


03. KESELAMATAN

Sebagai seorang rider, anda lebih berisiko untuk terlibat dengan kemalangan ataupun kecederaan. Motosikal tidak mempunyai kerangka luaran yang boleh melindungi diri anda seperti kereta. Oleh sebab itu, sekiranya ada kenderaan melanggar kita, anggota badan kita yang akan jatuh terlebih dahulu. Penunggang motosikal perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.

Kadang-kadang walaupun kita dah bawa moto dengan elok, ada saja kenderaan pacuan empat roda dan dua roda yang buat hal seperti pancung tajam, tak bagi signal dan sebagainya.

Ada sesetengah tempat juga mempunyai haiwan melintas.


04. KEPENATAN

Nak tunggang motosikal sekali sekala jarak jauh mungkin tiada masalah. Namun sekiranya kita tunggang motosikal 5-6 hari seminggu untuk tujuan pekerjaan, badan dan otak kita akan mula penat.

Apabila badan dan otak penat, ini akan mengakibatkan penunggang motosikal hilang fokus, mengantuk dan micro sleep.


05. PENYELENGGARAAN

Motosikal yang digunakan untuk kerja jarak jauh, perlu diselenggara secara berkala bagi memastikan prestasi motosikal sentiasa berada di tahap yang optimum.


06. RUANG SIMPANAN

Ruang simpanan motosikal adalah terhad. Jika mahu bawa barang yang banyak, anda perlu beli storage box.

Boleh beli di sini: Serdang Motorcycle - Shopee Page

*Link di atas adalah link affiliate. Sedikit sebanyak boleh bantu saya jana pendapatan. Terima kasih atas sokongan.

Contoh Box


TIPS DAN CADANGAN

01. TOPI KELEDAR / HELMET

Pakai helmet yang berkualiti. Pastikan ada logo SIRIM atau logo keselamatan.

Jika ada bajet, pakailah helmet full face. Helmet full face mempunyai ciri-ciri keselamatan menyeluruh. Helmet open-face terdedah dagu. Kalau terlibat dengan kemalangan, dagu kita boleh terseret atas jalan.

Helmet full face tidak semestinya dipakai oleh penunggang motosikal berkuasa tinggi sahaja.

Boleh beli di sini: Serdang Motorcycle - Shopee Page


Contoh Helmet Open Face

Contoh Helmet Full Face


02. JAKET

Jaket: Pakai jaket motosikal yang ada padding. Andai kata kita terlibat dengan kemalangan, padding cushion akan mengurangkan kesakitan tubuh badan.

Nota: Jangan pakai jaket yang over-sized atau terlalu panjang kerana ia berisiko untuk tersepit di bahagian rantai mahupun tayar.

Boleh beli di sini: Serdang Motorcycle - Shopee Page


Contoh Jaket


03. SARUNG TANGAN

Sarung tangan amat penting jika anda mahu travel jauh. Sarung tangan boleh mengelakkan tangan kebas ketika menunggang motosikal.

Boleh beli di sini: Serdang Motorcycle - Shopee Page


Contoh Glove


04. KASUT

Untuk keselesaan dan keselamatan atas jalan raya, pakailah kasut. Elakkan memakai selipar. Jika berlaku kemalangan, kaki anda akan terdedah kepada kecederaan teruk kerana tiada sebarang perlindungan. Sebaiknya pakailah kasut yang sesuai kerana selain memudahkan anda untuk menukar gear dengan baik, ia juga boleh menyelamatkan kaki anda daripada terdedah risiko kecederaan teruk.

Boleh beli di sini: Serdang Motorcycle - Shopee Page


Contoh Kasut



05. KELENGKAPAN HUJAN

  • Beli baju hujan dan seluar hujan yang berkualiti.
  • Beli boot cover untuk kalis hujan di bahagian kaki.
  • Beli bag cover untuk kalis hujan. Jika ada bajet lebih, beli beg kalis air terus.
  • Boleh beli di sini: Serdang Motorcycle - Shopee Page


Contoh Boot Cover
Contoh Baju Hujan


06. ELAKKAN BERPAKAIAN SERBA HITAM. JIKA PAKAI HITAM, SILA PAKAI VEST BERPEMANTUL (REFLECTOR VEST)

Ketika ingin menunggang motosikal, anda sangat tidak digalakkan untuk memakai pakaian serba hitam atau gelap, terutamanya pada waktu malam. Hal ini akan menyukarkan kenderaan atau pengguna lain untuk menyedari keberadaan anda.

Sebaiknya, pakai pakaian yang terang dan juga vest / jaket keselamatan pembalik cahaya bagi memudahkan orang lain melihat anda.





07. ELAKKAN MEMAKAI SELUAR PENDEK / THREE QUARTER

Memakai seluar pendek ketika menunggang motosikal boleh menyebabkan anda mengalami risiko kecederaan yang lebih teruk sekiranya anda terjatuh atau terlibat kemalangan. Sebaiknya, pakailah seluar panjang dan selesa bagi keselamatan anda.


08. SERVIS MOTOSIKAL SECARA BERKALA

  • Sentiasa check angin tayar. Boleh isi angin tayar 2 kali sebulan. Kalau rajin, boleh check tiap-tiap minggu.
  • Beli minyak enjin yang premium. Minyak enjin yang berkualiti lebih sedap dibawa jarak jauh dan lebih baik untuk enjin. Saya servis motosikal setiap 2000km, dan tukar oil filter setiap kali servis.
  • Tukar sprocket dan rantai jenis o-ring. Rantai ini lebih sesuai untuk ulang-alik jarak jauh. Harganya mahal sikit tapi berbaloi. Rantai o-ring lambat loose. Disarankan setiap 500km atau seminggu sekali, kita minyakkan / spray rantai.
  • Buat major service motosikal setiap 20,000km.


Kalau anda tinggal dekat sekitar Rawang, dan nak nak cari tempat servis motosikal yang bagus, boleh datang ke Tayar & Roda Motosikal. Saya memang servis moto di bengkel ni. Antara sebab saya suka datang sini ialah:

  • Servis bagus.
  • Khidmat pelanggan bagus.
  • Mekanik tak kedekut ilmu. Mekanik suka berkongsi ilmu.
  • Owner dan sebilangan pasukan ialah graduan GIATMARA dalam kursus perkhidmatan pembaikan motosikal.

WhatsApp Kedai: wa.me/60104472615


09. STANDBY BARANGAN KECEMASAN

Boleh standby barangan kecemasan seperti first aid kit, pengedap tayar (tyre sealer)toolkit, pam tayar dan "cacing" / set penyumbat tayar dalam box atau beg. Kalau tayar bocor atas highway atau jalan raya, boleh guna "cacing". Kalau bergerak jarak jauh dan tiada stesen minyak berdekatan, boleh standby sbotol berisi petrol. Barang-barang ini boleh mengelakkan kita tersidai di tepi jalan.

Cacing tayar


10. BEREHAT JIKA PENAT

Akhir sekali, rehatlah jika penat. Bawa jarak jauh ni ada waktu badan kita penat, otak penat. Jangan teruskan perjalanan jika terlalu penat. Khuatir nanti micro sleep. Saya pun dah beberapa kali kena macam ni. Apa yang saya buat ialah saya rehat sebentar di R&R, regangkan badan dan minum air manis untuk kembalikan tenaga.


11. TAYAR

Jika nak beli tayar, boleh ambil kira kriteria di bawah:

  • Lebih cengkaman pada permukaan basah
  • Bunga tayar tahan lama
  • Sesuai untuk kegunaan harian dan pemanduan jarak jauh


Tayar yang saya gunakan


12. BACK SUPPORT UNTUK POSTUR BADAN

Kita sebagai rider bawa motor jarak jauh, memang penat. Badan akan rasa sengal-sengal dan sudah pasti susah nak kekalkan postur badan yang betul. Maka, disarankan beli lumbar support dan pakai semasa menunggang motosikal.

Contoh back support


13. BLIND SPOT MIRROR

Saya guna blind spot mirror untuk melihat bahagian yang saya tak nampak. Maklumlah kadang-kadang kereta laju, motor laju. Kadang-kadang penglihatan terlindung. Kita punya side mirror pun tak la besar sangat. 

Blind spot mirror dan phone holder


14. PHONE HOLDER

Phone holder ni sesuai kalau nak check GPS / Google Maps / Waze. Elakkan main telefon dalam raga depan. Nanti tak pasal-pasal terlibat dengan kemalangan. Saya pun dah pernah menyaksikan benda ni depan mata, sebab leka main telefon. Telefon letak dekat raga.

Contoh phone holder


15. TOPENG / BALACLAVA

Kenapa perlu pakai balaclava?
  • Serap peluh
  • Elak rambut melekat dekat span helmet
  • Mengelakkan helmet daripada berbau
  • Elakkan rambut gatal-gatal
  • Untuk kebersihan helmet
  • Untuk elak sunburn

Topeng / Balaclava


16. BERHEMAHLAH DI ATAS JALAN RAYA

Pastikan kita menghormati pengguna jalan raya yang lain. Atas jalan raya bukan ada motor sahaja, tetapi ada kereta, lori, van dan sebagainya.

Kalau nak mencilok, kena pandai tengok situasi. Jangan main pancung je. Jangan main terjah je. Nanti akan effect kenderaan lain. Tak pasal-pasal ada yang accident.

Kalau jalan sesak, dan jalan sempit, bawa la dalam kelajuan yang masuk akal. Jangan speeding. Kalau kereta memang tak bagi ruang, bagi hon. Tapi hon tu jangan la berkali-kali. Kita hon untuk bagi dia sedar akan keberadaan kita. Kalau jalan memang sempit dan tak ada ruang, apa perlu kita buat? Kita sabar. Kalau boleh cilok dengan selamat, maka ciloklah. 

Lagi satu, setiap moto ada signal. Maka gunalah signal kalau nak bergerak ke kiri atau ke kanan. Signal tu penting untuk orang belakang tahu kita nak ke mana.

Dan, kalau dah nampak kereta depan dah bagi signal, bagi la laluan. Jangan la perah atau lock throttle tu. Kita perlu saling menghormati dan melihat pada situasi. Ada waktu boleh laju, ada waktu kita perlahankan kenderaan.

Kalau ada apa-apa terjadi, cuba sabar dan chill. Kalau nak marah sekali pun janganlah sampai tendang pintu kereta, tendang cermin sisi kereta dan gaduh-gaduh. Kita perlu jadi matang. Cuba selesai cara baik selagi boleh.

Pesanan ringkas untuk diri saya dan semua rider juga.


*Hampir semua link di atas adalah link affiliate. Boleh la tekan dan beli melalui link tu. Sedikit sebanyak boleh bantu saya jana pendapatan. Terima kasih atas sokongan.


Banyak lagi tips lain. Ni antara yang dikongsikan kepada saya oleh rakan-rakan moto, mekanik dan internet. Ada juga dari pengalaman sendiri.


KESIMPULAN

Adakah motosikal kapcai mampu bertahan untuk ulang-alik kerja jarak jauh? Jawapannya, YA. Mampu bertahan, dengan syarat, iaitu kena servis on time, bawa dengan berhemah dan bahan yang rosak atau tidak elok perlu diganti secepat mungkin.

Abang ipar saya membawa motosikal kapcai Honda Future, ulang-alik Kedah ke Pulau Pinang lebih dari 10 tahun. Masih pakai moto sama dan masih steady sehingga hari ini.

Abang ipar saya lagi seorang pun pakai motosikal kapcai juga, jenis Honda Dash, ulang-alik kerja jarak jauh bertahun-tahun lamanya. Motor masih gagah perkasa.

My personal pick, memang jentera Suzuki. Tahan lasak, tak banyak kerenah dan tak banyak modal nak keluar.

Bawa motosikal jarak jauh memang banyak kelebihan, dan banyak juga rintangan. Apa yang penting, sentiasa berhati-hati di jalan raya. Sentiasa banyakkan berdoa semoga selamat pergi dan balik. Sebagai rider, kita lebih terdedah kepada bahaya. Seandainya kita terlibat dalam kemalangan, anggota badan kita akan jatuh terus. Perit jika difikirkan.

Untuk kurangkan kesakitan, tingkatkan keselamatan motor. Belilah set kelengkapan pakaian yang ada padding dan sebagainya.

Sediakan barang-barang kecemasan. Sediakan payung sebelum hujan. Malang tidak berbau.

Jika ada bajet lebih, boleh lah buat pertimbangan untuk beli moto yang cc besar. Lebih sedap bawa dan lebih cepat sampai ke destinasi. Moto kapcai ni pun ada had dia. Lagi banyak kita push, boleh jadi lagi pendek la hayat dia. Mana taknya, meraung semua part-part kat moto tu. Huhu.

Semoga bermanfaat!

Mohon maaf atas kekurangan.

#Azaraslan #MotorcycleCommuting #LongDistanceRiding #MotorcycleLife #RideSafe


Catat Ulasan

2 Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
  1. Terima kasih untuk informasi ini. Pengalaman bertahun2 di kumpulkan sebagai manafaat para bikers & bakal bikers.

    BalasPadam

Top Post Ad

Below Post Ad

HTML/JavaScript