Shopee



Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera semua. Semoga semua sihat-sihat sahaja dan dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan kesihatan berpanjangan.

Sedia maklumkah kita bahawa kadang-kadang perkara kecil yang kita abaikan boleh berkembang menjadi pengalaman yang mengejutkan? Baru-baru ini pada akhir bulan Januari 2026 saya terpaksa menjalani pembedahan kecemasan akibat abscess di kawasan groin (pangkal paha).

Menariknya, sepanjang pembedahan saya sedar sepenuhnya kerana doktor pakar menggunakan bius separuh badan (epidural). Biasanya orang dengar epidural semasa bersalin, tetapi sebenarnya ia juga digunakan untuk beberapa jenis pembedahan lain.

Pengalaman ini bukan sahaja mencabar dari segi fizikal, tetapi juga memberi pengajaran kepada saya tentang kesihatan, pencegahan dan pentingnya rawatan awal.


Sejarah Masalah Jangkitan

Sebenarnya ini bukan kali pertama saya mengalami masalah abscess di kawasan tersebut. Pada tahun 2025, saya pernah mendapat jangkitan yang sama. Pada waktu itu ia masih boleh dirawat dengan antibiotik sahaja tanpa perlu pembedahan.

Malang tidak berbau, kali ini, keadaan jadi berbeza. Jangkitan berkembang dengan sangat cepat, dan dalam hanya empat hari, benjolan membesar hingga lebih kurang 4 × 5 cm. Kesakitannya semakin ketara dan mula mengganggu pergerakan harian seperti berjalan atau duduk.

Sewaktu saya jumpa doktor pakar bedah iaitu Dr Wong Jo Lin di hospital, beliau terus minta saya admit ward straight away dan rancang untuk buat pembedahan pada hari yang sama. Masuk wad pukul 4.00 petang macam tu, pukul 7.00 petang dah standby ke dewan bedah (OT).


Pemeriksaan CT Scan

Sebelum pembedahan, doktor meminta saya menjalani CT Scan bagi memastikan kedudukan dan kedalaman abscess.

Saya pun pergi ke Jabatan Radiologi. Juru X-Ray menerangkan prosedur yang akan dibuat.

Sebagai sebahagian daripada prosedur, sejumlah cecair dimasukkan melalui saluran rektum untuk membantu menghasilkan imej yang lebih jelas, dan pewarna kontras dimasukkan melalui tangan.

Walaupun sedikit tidak selesa, prosedur ini penting untuk memastikan doktor mendapat gambaran yang tepat sebelum membuat keputusan rawatan.


Sebelum Dibawa Masuk ke Bilik Pembedahan

Sebelum dibawa masuk ke bilik pembedahan, saya sempat menghubungi beberapa ahli keluarga dan rakan rapat untuk memaklumkan bahawa saya akan menjalani pembedahan.

Walaupun doktor telah menerangkan bahawa prosedur tersebut adalah pembedahan yang biasa dilakukan, perasaan berdebar tetap ada. Dalam situasi seperti itu, sokongan daripada orang terdekat sangat memberi kekuatan.

Saya juga sempat bersalam dengan isteri saya sebelum dibawa masuk ke bilik pembedahan. Saat itu memang terasa agak emosional juga kerana tidak semua orang bersedia secara mental untuk melalui pengalaman seperti ini.

Selain memaklumkan kepada keluarga, saya turut memohon doa daripada rakan-rakan agar semuanya dipermudahkan. Dalam keadaan seperti ini, doa dan sokongan moral daripada orang sekeliling benar-benar memberi ketenangan kepada diri.


Epidural

Seperti dimaklumkan di atas, disebabkan abscess sudah membesar dan berada di kawasan sensitif, doktor menasihatkan pembedahan kecemasan pada hari yang sama saya warded.

Sebelum pembedahan, doktor bius (Dr. Aamir) menerangkan pilihan bius iaitu bius penuh (general anaesthesia) dan bius separuh badan (epidural/spinal). Dr. Aamir memaklumkan bius separuh badan sudah memadai untuk kes macam saya.

Selain itu, doktor juga menerangkan beberapa kesan sampingan yang mungkin berlaku bagi kedua-dua jenis bius tersebut supaya saya boleh membuat keputusan dengan lebih faham.


Kesan sampingan bius penuh (General Anaesthesia)

Bius penuh menyebabkan pesakit tidur sepenuhnya sepanjang pembedahan. Antara kesan sampingan yang mungkin berlaku ialah:

  • Rasa loya atau muntah selepas sedar
  • Tekak sakit akibat penggunaan tiub pernafasan
  • Pening atau rasa mamai selepas pembedahan
  • Mulut kering
  • Dalam kes yang jarang berlaku, boleh juga berlaku komplikasi pernafasan atau reaksi terhadap ubat bius


Disebabkan pesakit akan tidur sepenuhnya, proses pemulihan juga kadang-kadang mengambil masa sedikit lebih lama untuk benar-benar sedar dan stabil.


Kesan sampingan bius separuh badan (Epidural / Spinal)

Bius separuh badan pula hanya membuat bahagian bawah badan kebas sementara, tetapi pesakit masih sedar sepanjang prosedur. Antara kesan sampingan yang mungkin berlaku termasuk:

  • Kaki menjadi kebas dan tidak boleh digerakkan sementara waktu
  • Tekanan darah boleh turun sedikit
  • Menggigil selepas pembedahan
  • Sakit kepala selepas bius (dalam kes tertentu)
  • Rasa kebas mengambil masa beberapa jam sebelum hilang sepenuhnya
  • Namun begitu, bius jenis ini biasanya kurang memberi kesan kepada pernafasan dan pesakit boleh pulih dengan lebih cepat selepas pembedahan.


Kenapa doktor mencadangkan bius separuh badan?

Menurut doktor bius, dalam kes seperti saya yang melibatkan pembedahan di bahagian bawah badan, penggunaan bius separuh badan mempunyai beberapa kelebihan:

  • Tidak perlu ditidurkan sepenuhnya
  • Risiko komplikasi pernafasan lebih rendah
  • Pemulihan selepas pembedahan biasanya lebih cepat
  • Pesakit boleh kembali sedar sepenuhnya dengan lebih cepat


Selepas mempertimbangkan penerangan tersebut, saya memilih bius epidural yang membuat bahagian bawah badan kebas sementara tetapi membolehkan saya sedar sepanjang prosedur.


Sepanjang pembedahan, saya tidak merasa sakit pada kawasan yang dibedah. Cuma rasa seperti geli-geli sahaja. Saya masih boleh rasa sentuhan, tetapi langsung tidak merasa sakit.


Tambahan pula, saya memang tidak boleh menggerakkan kaki ketika itu kerana kesan bius masih kuat.


Saat Dibawa Masuk ke Bilik Pembedahan

Apabila tiba masa untuk pembedahan, saya dibawa masuk ke bilik pembedahan menggunakan katil hospital. Walaupun sudah bersetuju dengan jenis bius yang akan digunakan, perasaan berdebar tetap ada.

Apabila masuk ke dalam bilik pembedahan, suasananya sangat terang dengan lampu khas di atas meja pembedahan. Ketika itu barulah saya benar-benar sedar bahawa semuanya sedang berjalan mengikut prosedur sebenar.

Saya juga sempat melihat seorang jururawat menulis beberapa maklumat penting pada papan putih di dalam bilik pembedahan. Antaranya termasuk nama saya, pasukan yang terlibat, doktor yang bertanggungjawab, jenis pembedahan yang akan dijalankan serta masa prosedur bermula. Melihat semua maklumat itu direkodkan dengan teliti memberi sedikit keyakinan bahawa semuanya dilakukan secara sistematik dan teratur.

Walaupun cuba bertenang, perasaan takut dan berdebar tetap ada. Namun doktor dan pasukan perubatan banyak memberi kata-kata yang menenangkan dan menerangkan setiap langkah yang akan dilakukan.

Sebelum bius epidural diberikan, doktor meminta saya duduk sedikit membongkok supaya bahagian tulang belakang lebih mudah diakses. Ketika itu saya sempat ternampak jarum yang digunakan untuk prosedur tersebut. Sejujurnya, jarum itu memang kelihatan agak panjang dan secara automatik rasa sedikit berdebar. Saya pun tercakap, “Ni ke jarum nak cucuk? Besar juga ya jarum ni”. Sekali lagi doktor dan pasukan cuba menenangkan saya.

Apabila jarum dimasukkan, rasa sakitnya sebenarnya masih boleh dikawal. Ia lebih kepada rasa tekanan dan sedikit pedih seketika, macam kena gigit semut (biasa orang kata nak sedapkan hati hahaha, tapi ya sakit dia sikit je). Prosesnya juga agak cepat.

Tidak lama selepas itu, bahagian bawah badan saya mula terasa semakin kebas. Kaki terasa berat dan saya sudah tidak mampu menggerakkannya seperti biasa.

Saya juga perasan kaki saya diikat menggunakan strap pada meja pembedahan. Doktor memaklumkan bahawa ini adalah prosedur biasa untuk memastikan kaki tidak bergerak secara tidak sengaja semasa pembedahan berlangsung, walaupun pada ketika itu saya sendiri memang tidak mampu menggerakkannya kerana kesan bius.

Dalam keadaan tersebut, saya banyak berdoa dalam hati dan berserah kepada Tuhan agar semuanya berjalan dengan baik.


Semasa Pembedahan Berlangsung

Pembedahan tersebut berlangsung lebih kurang satu jam lebih. Walaupun saya sedar sepanjang prosedur kerana menggunakan bius epidural, saya tidak dapat melihat apa yang berlaku di kawasan pembedahan kerana ia ditutup dengan kain khas pembedahan.

Sepanjang masa itu, saya hanya dapat merasakan sentuhan ringan pada kawasan yang dibedah. Tiada rasa sakit, cuma terasa seperti sedikit tekanan atau rasa geli-geli sahaja.

Saya juga ada mendengar perbualan ringkas antara doktor dan pasukan perubatan yang menjalankan tugas masing-masing. Mereka kelihatan sangat fokus dan profesional sepanjang prosedur tersebut.

Saya sendiri lebih banyak berdiam dan cuba menenangkan diri sambil terus berdoa agar semuanya berjalan lancar.


Pemantauan di Recovery Bay

Selepas pembedahan selesai, saya tidak terus dibawa kembali ke wad. Sebaliknya, saya ditempatkan terlebih dahulu di recovery bay untuk pemantauan oleh jururawat.

Di situ, jururawat memantau keadaan saya seperti tekanan darah, kadar nadi dan tahap kesedaran bagi memastikan semuanya stabil selepas pembedahan.

Saya berada di recovery bay kira-kira satu jam sebelum dibenarkan kembali ke wad. Ketika itu, kesan bius epidural masih kuat dan bahagian bawah badan saya masih kebas sepenuhnya.

Walaupun begitu, saya berasa sangat lega kerana pembedahan telah selesai dengan selamat.


Kesan Selepas Bius & Pemulihan

Setelah kesan bius mula hilang selepas beberapa jam, saya mengalami beberapa kesan sampingan daripada bius iaitu pening, muntah, sakit belakang dan rasa terhuyung-hayang. Ini perkara biasa selepas epidural dan biasanya beransur pulih selepas beberapa hari.

Proses pemulihan memerlukan penjagaan rapi iaitu menjaga kebersihan luka, menukar dressing secara berkala, makan ubat yang diberikan dan mengehadkan aktiviti berat buat sementara waktu.

Bagi beberapa minggu pertama, saya perlu duduk atas bantal jenis donut untuk mengurangkan tekanan pada kawasan pembedahan. Solat juga dilakukan secara duduk pada peringkat awal, dan hanya selepas hampir sebulan saya mampu bersolat berdiri semula.

Hari demi hari, keadaan semakin pulih dan kesakitan mula berkurangan. Alhamdulillah.


Apa Kata Doktor: Punca Jangkitan

Doktor menjelaskan bahawa abscess ini berpunca daripada kelenjar peluh yang tersumbat, disebabkan kawasan tersebut sensitif, lembap dan terdedah kepada geseran.

Aktiviti saya sebagai long-distance rider juga mungkin menyumbang kepada abscess kerana kawasan tersebut berada dalam keadaan lembap dan tertekan untuk tempoh lama ketika menunggang motosikal.

Doktor turut menegaskan bahawa keadaan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, bukan hanya penunggang motosikal.



Pengalaman Bersama Dr Wong Jo Lin di KPJ Kuala Selangor

Sepanjang proses rawatan ini, saya berada di bawah jagaan Dr Wong Jo Lin, seorang doktor pakar bedah di KPJ Kuala Selangor.

Dari pertemuan pertama lagi, beliau sangat profesional, mesra dan mudah untuk berbincang. Setiap penerangan yang diberikan jelas dan mudah difahami, terutamanya apabila menerangkan keadaan abscess yang saya alami serta keperluan untuk menjalani pembedahan kecemasan.

Perkara yang saya sangat hargai ialah cara beliau berkomunikasi dengan pesakit. Beliau tidak tergesa-gesa dan mengambil masa untuk menjawab soalan kami dengan tenang. Ini membuatkan saya dan isteri rasa lebih yakin dan selesa sepanjang proses rawatan.

Sepanjang berada di wad, beliau juga kerap datang membuat pemeriksaan susulan untuk memastikan keadaan luka dan proses pemulihan berjalan dengan baik.

Secara peribadi, saya dan isteri berpendapat bahawa Dr Wong Jo Lin merupakan antara doktor yang sangat kami senangi dari segi layanan dan profesionalisme. Jika anda sedang mencari doktor pakar bedah yang berpengalaman dan mudah didekati, saya secara jujur sangat mengesyorkan beliau.

Untuk makluman, Dr Wong Jo Lin merawat pelbagai jenis keadaan berkaitan pembedahan am, antaranya:

  • Appendicitis
  • Hernia
  • Batu karang hempedu (Gallbladder stones) dan penyakit berkaitan
  • Penyakit usus besar dan kanser kolorektal
  • Masalah dan kanser payudara
  • Gangguan kelenjar tiroid
  • Ketumbuhan dan tumor tisu lembut
  • Penyakit sistem penghadaman (termasuk prosedur endoskopi / scope)
  • Penyakit vaskular seperti venous insufficiency dan akses dialisis AV
  • Jangkitan kulit dan tisu lembut
  • Abscess
  • Masalah dubur dan rektum seperti buasir (hemorrhoids), fistula dan lain-lain

Jika anda mengalami masalah kesihatan dalam kategori ini, dapatkan pemeriksaan awal secepat mungkin daripada doktor pakar supaya rawatan dapat diberikan dengan segera.

Terima kasih doktor atas rawatan dan nasihat yang diberikan!


Proses GL Insurans Etiqa Yang Pantas

Pengalaman admit hospital ini juga membuka mata saya tentang kepentingan insurans perubatan. Saya telah menggunakan insurans Etiqa hampir 6 tahun dan sangat berpuas hati dengan kelajuan prosesnya.

Semasa admit untuk pembedahan kecemasan ini, GL (guarantee letter) lulus dalam masa 11 minit sahaja. Bukan itu sahaja, semasa proses discharge pula, GL lulus dalam masa 20 minit sahaja.



Pengalaman ini benar-benar memudahkan proses rawatan dan mengurangkan tekanan dalam situasi yang sudah mencabar secara fizikal dan mental.

Etiqa cover hampir keseluruhan kos. Saya cuma perlu bayar dalam RM100 lebih sahaja untuk item yang tak cover.

Antara perkara yang saya suka dalam pelan insurans saya ialah Daily Guardian Benefits. Penjaga entitled untuk makanan di hospital. Di situ, kami dah boleh jimat duit.

Bagi sesiapa yang masih ragu-ragu tentang insurans, pengalaman saya ini membuktikan bahawa memilih insurans yang efisien dan mudah diuruskan sangat penting, terutamanya untuk kes kecemasan.


Proses Pemulihan Selepas Pulang ke Rumah

Selepas beberapa hari berada di wad, saya akhirnya dibenarkan pulang ke rumah untuk meneruskan proses pemulihan.

Doktor memberikan cuti sakit selama sebulan bagi memastikan luka pembedahan dapat pulih dengan baik. Tempoh ini sangat penting kerana badan memerlukan masa untuk benar-benar sembuh selepas melalui prosedur pembedahan.

Sepanjang tempoh pemulihan di rumah, pergerakan saya agak terhad terutama pada minggu-minggu awal. Saya perlu berhati-hati ketika berjalan, duduk atau melakukan aktiviti harian bagi mengelakkan tekanan pada kawasan luka pembedahan.

Selain itu, saya juga perlu menjaga kebersihan luka serta menghadiri temujanji susulan dengan doktor bagi memastikan proses penyembuhan berjalan dengan baik.

Dan.. Kena "puasa" dari naik motosikal buat sementara waktu. Sebab luka belum pulih.

Walaupun tempoh pemulihan mengambil sedikit masa, saya bersyukur kerana keadaan semakin bertambah baik dari hari ke hari.

Tuhan uji tanda Tuhan sayang.


Pengajaran Dari Pengalaman Ini

Beberapa perkara penting yang saya belajar daripada pengalaman ini:

  • Pertama, jangan abaikan simptom kecil pada tubuh. Benjolan kecil atau keradangan kadang-kadang boleh berkembang menjadi masalah serius dalam masa yang singkat.
  • Kedua, rawatan awal sangat penting. Semakin cepat anda dapatkan pemeriksaan, semakin mudah rawatan dapat dilakukan.
  • Ketiga, mencegah lebih baik dari mengubati. Menjaga kebersihan, mengelakkan kawasan lembap terlalu lama dan memeriksa sebarang benjolan adalah langkah penting. Kalau dah nampak ada benjolan abnormal tu, cepat-cepatlah ke klinik atau hospital.
  • Keempat, insurans bukan pilihan, tapi keperluan. Pengalaman ini mengingatkan bahawa perlindungan kesihatan adalah penting supaya tidak terbeban dengan kos rawatan yang tinggi.


Penghargaan dan Terima Kasih

Dalam kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang banyak membantu sepanjang saya melalui pengalaman ini.

Terima kasih khususnya kepada isteri saya yang sentiasa berada di sisi dari awal saya dimasukkan ke hospital sehinggalah proses rawatan dan pemulihan selesai. Tanpa sokongan dan penjagaan beliau, sudah tentu pengalaman ini akan menjadi jauh lebih sukar.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga dan rakan-rakan yang datang melawat di hospital serta yang menghubungi dan mendoakan kesihatan saya. Sokongan moral seperti ini sangat memberi semangat kepada pesakit untuk terus kuat menghadapi proses pemulihan.

Tidak lupa juga kepada pasukan Dr Wong Jo Lin, team medical dan jururawat yang telah memberikan rawatan terbaik sepanjang saya berada di hospital.

Sesungguhnya pengalaman ini mengajar saya untuk lebih menghargai kesihatan serta sokongan daripada orang-orang yang berada di sekeliling kita.


Penutup

Walaupun pengalaman ini agak mencabar, saya bersyukur kerana masalah ini dapat dirawat dengan cepat. Ia mengingatkan saya bahawa kesihatan bukan sesuatu yang boleh diabaikan, dan perkara yang kelihatan kecil kadang-kadang boleh menjadi serius jika dibiarkan.

Jika anda mengalami simptom seperti benjolan yang keras, sakit, bengkak atau jangkitan kulit, jangan tunggu terlalu lama untuk mendapatkan pemeriksaan doktor. Rawatan awal boleh membuat perbezaan yang besar dan mengurangkan risiko komplikasi.

Semoga perkongsian ini bermanfaat. Terima kasih.

#Abscess #Benjol #Nanah

Post a Comment

Terbaru Lebih lama

Baju Hujan Tahan Lasak Kalis Air

Maxtag Touch N Go Smart Tag Holder