Ijazah Dalam Genggaman, Penuh Cabaran & Penceritaan

Gambar Konvokesyen Ijazah @ UiTM Rembau

Pernah suatu ketika dahulu, saya berada di fasa kejatuhan, di mana saya gagal mengekalkan momentum untuk merangkul Anugerah Naib Canselor Peringkat Ijazah.

Jauh di sudut hati, saya berasa sungguh sugul, sayu dan pilu, kerana gagal mencapai matlamat.

Sungguhpun begitu, saya percaya bahawa, kegagalan adalah kejayaan tertangguh. Maka saya terus optimis.

Dengan semangat dan azam baharu, saya pilih jalan untuk cuba berjaya bergraduasi pada tempoh yang dirancang (GOT).

Pelarasan demi pelarasan dilakukan, dek kerana cabaran dalam komitmen kerjaya, persatuan, organisasi, kelab dan keluarga semasa zaman belajar.

Betullah orang kata, air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Kejayaan perlukan pengorbanan. Pengorbanan perlukan usaha. Usaha perlukan masa.

Dengan izin Allah, saya berjaya menyarung jubah biru gelap bersulam satu jalur keemasan di tangan, dengan Ijazah Sarjana Muda Kelas Kedua (Tinggi).

Walaupun bukan seperti yang dihajatkan pada awalnya, namun perancangan Allah adalah yang terbaik. Allah gantikan dengan perkara yang lain seperti kesihatan, kawan-kawan yang sejati, setia sewaktu senang susah kita. Allah beri saya peluang untuk muncul dalam siaran media, memberi pandangan dan hujah di kaca televisyen. Allah beri saya peluang untuk menempa nama dalam pertandingan dan persidangan peringkat kebangsaan dan antarabangsa, merangkul kejayaan demi kejayaan, serta satu amanah terbesar dalam peringkat pengajian IPT, iaitu selaku Yang di-Pertua MPP UiTM NS Sesi 2017/18, menakhodai 10,000 orang pelajar UiTM NS.

Allah tarik sesuatu, untuk beri sesuatu yang lebih besar dari apa yang kita jangkakan.

Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kepujian) FSPPP UiTM ini saya dedikasikan kepada ibu ayah, keluarga, guru-guru, pensyarah-pensyarah, penasihat kelab, penasihat utama, orang teristimewa, sahabat handai, rakan seperjuangan, organisasi kerja, persatuan, Warga UiTM NS dan semua pihak yang menyokong saya secara langsung mahupun tidak langsung.

Tanpa anda siapalah saya. Terima kasih Allah atas penganugerahan yang cukup bermakna ini.

Semoga semua graduan menjadi seorang yang berilmu, berakhlak mulia, menabur bakti semula kepada agama, keluarga, bangsa dan ummah.

InsyaAllah.

Catat Ulasan

0 Ulasan