BUDAK KELAS BELAKANG ADA MASA DEPAN KE?





BUDAK KELAS BELAKANG ADA MASA DEPAN KE?
Tempoh Membaca: 3-5 Minit

Hari ini, saya ada berborak dengan kawan lama pasal perguruan. Secara tak langsung, tiba-tiba mengimbau kembali memori lipatan sejarah belaka.

Tahun 2018, waktu saya menyandang amanah sebagai seorang guru ganti Bahasa Melayu, saya mengajar tingkatan 4 dan 5. Persediaan untuk SPM. Satu kelas hadapan, empat kelas belakang.

Sesi Pengajaran & Pembelajaran (P&P) amat mencabar. Cara P&P untuk kelas depan, tidak boleh diguna pakai untuk mengajar pelajar kelas belakang.

Budak kelas hadapan senang dibentuk. Ada keinginan nak belajar. Ada keinginan untuk mencapai cita-cita. Manakala budak kelas belakang, payah. Kebanyakan mereka tidak menunjukkan sifat untuk belajar. Malas datang ke sekolah. Bila ditanya cita-cita, mereka pun tak tahu hala tuju nak jadi apa. Ada yang datang sekolah pun sebab kena paksa.

Senario mengajar budak kelas belakang; kita ajar kat depan, mereka selamba berborak kat belakang, pergi meja kawan-kawan. Diberinya nasihat, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Pening. Kerah otak juga saya fikir, macam mana la nak ajar budak-budak ni. Bila jadi macam ni, saya terus teringat arwah Cikgu Norashikin Talhah, bekas guru Bahasa Melayu yang mengajar saya dulu.

Arwah pernah berkata waktu zaman sekolah dahulu. Waktu tu saya tingkatan 5 kalau tak silap. Tahun 2012. Arwah bercakap di atas pentas Dewan Alamanda SMK Seksyen 19. Ucapannya panjang dan bermakna. Antara ayat arwah yang penuh hikmah ialah:

"Semua pelajar ada masa depan. Termasuklah pelajar-pelajar kelas belakang. Kita cuma perlu kenal pasti dan bukakan jalan untuk mereka nampak. Kita bimbing apa yang boleh dan selebihnya biarlah dia mencorakkan kehidupannya sendiri. Sekurang-kurangnya pelajar tersebut mempunyai hala tuju dalam kehidupan." (Bukan ayat sebenar tetapi maksudnya macam ini)

Ayat ini, akan saya ingat sampai mati, sebab saya percaya semua orang ada masa depan. Itulah yang memotivasikan diri saya untuk ajar pelajar kelas belakang.

Saya ubah cara P&P. Untuk kelas belakang, kita jadi macam member mereka. Banyakkan sesi interaktif. Dia gurau dengan kita, kita gurau balik, tapi semuanya ada batasnya lah.

Sampai satu masa, sifat hormat sesama sendiri itu telah ada. Sekurang-kurangnya 3/4 daripada kelas itu dah boleh ikuti sesi P&P saya. Lagi 1/4 tu, ada yang tidur, ada yang memang xnak belajar. Tapi saya cuba buat yang terbaik, dan saya tak give up.

Segala yang saya buat, saya buat untuk anak murid. Kita nak tengok mereka jadi "orang". Biar kita penat tak apa, janji anak murid faham apa yang kita ajar. Itulah yang membuatkan saya seronok dan rasa sangat puas hati.

Setiap permulaan pasti ada pengakhirannya. Begitu juga jawatan saya sebagai guru ganti. Tak pernah terfikir bahawa rakan sekerjaku ialah guru-guruku sendiri. Tak pernah terfikir saya akan masuk bilik guru sebagai guru, bukan sebagai pelajar. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Pengalaman juga mematangkan kita.

As time goes by, pada tahun 2019, saya menghadiri satu majlis di kawasan perumahan.
Waktu tengah duduk di kerusi, tiba-tiba kedengaran suara dari belakang, "cikgu, oh cikgu!".
Saya ditegur sapa oleh bekas anak murid. "cikgu ingat saya tak cikgu?". Jujur kata, saya tak ingat nama, tapi saya cam muka dia dan saya tahu dia kelas mana. Dia pelajar SPM. Kelas belakang.

Selepas bertanya khabar apa semua, tiba2 dia kata:

"Cikgu, untuk result SPM haritu, saya dapat A dalam Bahasa Melayu. Terima kasih cikgu sebab ajar saya. Ilmu-ilmu yang cikgu ajar dalam kelas tu, saya pakai waktu jawab exam".

Fuhh... Dalam hati Tuhan je yang tahu betapa gembiranya saya. Sekurang-kurangnya ilmu yang kita berikan tu, ada juga orang guna. Ada juga dimanfaatkan oleh bekas pelajar. Feeling tu tak boleh dijual beli. Kita rasa macam, kita dah cuba yang terbaik untuk mendidik anak bangsa.

Ni lah sedikit sebanyak pengalaman saya sebagai guru ganti.

Kesimpulannya, semua orang ada masa hadapan. Tak kisah la kelas belakang atau depan. Cuma perlu ada motivasi, tunjuk ajar, bimbingan untuk terus maju. Perlu tahu cara untuk membuka potensi atau tackle hati mereka, sebab setiap orang kehidupannya tak sama. Jangan disamakan kasut kita dengan kasut dia, saiz tak sama. Sepatutnya, fahami dia, baru keluarkan tindakan yang sepatutnya.

Sejujurnya, saya rindu sangat nak mengajar lagi. Dalam darah ni mengalir semangat nak mendidik anak watan. InsyaAllah mungkin suatu hari nanti, jika ada rezeki lagi.

Terima kasih kerana membaca. Maaf coretan kali ni memang panjang sungguh.
P/S: Gambar di bawah adalah kertas peperiksaan yang saya tanda dan beri markah.

#SMKS19 #GuruGanti #SMKS19Ohsem

Catat Ulasan

0 Ulasan