Nak Bercuti Dalam Hutan? Boleh La Pilih Sekeping Serendah!

Berkawan sejak zaman sekolah rendah. Persahabatan nak dekat 20 tahun lebih.


Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera kepada semua sidang pembaca sekalian. Semoga semua pembaca dikurniakan rezeki melimpah-ruah, dipermudahkan segala urusan dan diberikan kejayaan di dunia dan di akhirat.

Entri kali ini, saya berhasrat untuk berkongsi mengenai satu tempat yang menarik yang saya dan rakan-rakan pernah pergi untuk staycation / vacation / retreat.

Biasanya kita akan bercuti di homestay, apartment tepi pantai ataupun sungai. Kali ni kami pergi retreat di hutan. Ya, benar, di hutan, dikelilingi pokok dan tumbuh-tumbuhan.

Dekat mana tu? Lokasi tempat ialah di Sekeping Serendah di Serendah, Selangor. Lokasi ni dekat dengan Air Terjun Serendah dan tempat ni memang jauh dari bandar. Nak sampai ke sini pun kena lalu kawasan kampung terlebih dahulu. Seingat saya, kampung yang dilalui ialah kampung orang asli.

Di laman sesawang rasmi Sekeping Serendah, mereka menghuraikan lokasi mereka seperti berikut:


"Sekeping Serendah is a private retreat attempting to tread lightly on the land. The very transparent and open sheds celebrate the beauty of the natural environment surrounding them. The 10 sheds are intentionally kept basic and free from lavishness, set within a 5 acres tropical rainforest. They float gently over the forest floor beside a bubbling brook.

The sheds are seen more as ‘glorified tents’ to provide basic shelter for its inhabitants as they commune with the land."


Secara ringkasnya, konsep tempat ini ialah back to nature. Sambil menikmati keindahan alam, hutan dan menghirup udara, anda boleh berkomunikasi dan mengeratkan silaturahim sesama rakan-rakan dan keluarga.

Di Sekeping Serendah ni, ada banyak jenis chalet yang boleh disewa. Ada yang jenis glass house / glass box / glass shed. Ada jenis mud shed. Ada yang jenis wooden cabin (timber shed). Ada juga yang jenis dorm kayu (warehouse).



-----


Berikut adalah komen dan review saya bagi setiap kategori seperti yang dikategorikan di bawah:


Capaian Internet & Signal (WiFi)

Dekat sini, phone signal memang tak ada ataupun terlalu rendah. Maklumlah, duduk hutan, memang tak dapat la phone signal. So, pihak Sekeping Serendah menyediakan kemudahan WiFi. Sungguhpun begitu, WiFi ni pun suam-suam kuku juga. Pendek cerita, WiFi sini sekadar untuk anda text WhatsApp kasi lepas tick sahaja. Kalau nak upload gambar ke, buat IG story ke, memang tak lepas. Anda rekod lah dulu, then bila dah habis vacation, haa uploadlah bertubi-tubi hahahah.

Pandangan saya, lokasi ini memang direka khas untuk pengunjung berinteraksi dengan kawan-kawan dan keluarga. Phone tu memang kena simpan tepi. Oleh sebab itu, just enjoy the moment.

Memandangkan sini line pun tak ada, maka bawalah gameboard, kad poker, kad UNO dan sewaktu dengannya untuk kill the time. Kalau tak, pishang mat masing-masing. Hahaha.


Keselamatan

Untuk keselamatan ni, setiap rumah ada penggera keselamatan kecemasan (panic button). So, kalau ada apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku, boleh tekan penggera keselamatan. Dia punya penggera tu macam suis lampu. Tekan lama-lama, nanti dia akan hasilkan bunyi kecemasan.

Mula-mula kami ingatkan lampu, so kami pun tekan la. Rupanya alarm. Hahaha. Nasib baik alarm ni jenis kena tekan lama.

Selain daripada panic button, pihak chalet menyediakan lampu kecemasan dan loceng kecemasan juga.

Kalau ada bawa barang berharga seperti kamera, bolehlah simpan dalam peti keselamatan (safety box).

Maklumat lanjut mengenai keselamatan boleh check sini: https://www.sekeping.com/serendah/safety-features.


Kolam Renang (Swimming Pool)

Sambil mandi, sambil menikmati keindahan alam

Haa, dekat sini ada swimming pool. Ada dua swimming pool. So, anda boleh la mandi-manda. Waktu kami pergi sini dulu, kami mandi swimming pool pada waktu petang dan pagi. Memang syok woo! Sambil mandi, sambil melayan kesejukan hutan.


Barbeku | Barbeque (BBQ)

Barbeku udang dan banyak lagi.


Berita gembira untuk yang suka berbarbeku (ber-BBQ)! Di lokasi ini, pihak Sekeping Serendah menyediakan set BBQ di chalet. BBQ pit disediakan, BBQ wire mesh juga disediakan. Arang batu pun disediakan. Kalau tak cukup, boleh request dekat pihak pengurusan.

Oleh sebab itu, tak perlulah membawa set BBQ ke sini, sebab sudah disediakan. Kalau nak bawa arang batu extra tu boleh la. Apa yang penting, jangan lupa bawa makanan-makanan untuk dibakar semasa BBQ nanti. Nanti tak pasal-pasal makan daun sat gi, huhuhu.

Nanti sambil berbarbeku, boleh la open story, bersembang dengan rakan-rakan apa yang terbuku di hati, ditemani angin malam, api suam-suam menghangatkan kesejukan.


Bilik Air

Bilik air disediakan di setiap chalet. Oleh sebab itu, jangan risau okay? Anda tak perlu menunaikan hajat di semak-semak belukar atau disebalik pokok.

Dekat chalet, ada pemanas air, so boleh la mandi air panas. Tisu tandas pun ada.

Tuala tidak disediakan. Pastikan anda bawa tuala mandi sendiri. Sabun mandi apa semua, kena bawa sendiri. Tiada berus gigi pakai buang ataupun hygiene kit macam hotel biasa sediakan tu.


Bilik Tidur



Bilik tidur ni berbeza bagi setiap chalet. Macam chalet yang kami diami iaitu Glass Shed, kami ada dua katil queen size. And then ada extra tilam.

Dekat chalet, ada disediakan kelambu sebab hutan banyak nyamuk. Pihak chalet juga menyediakan lingkaran nyamuk untuk menghalau nyamuk. Boleh la guna.


Dapur

Setiap chalet ada pantry, tapi tak semua pantri ada dapur. Ni berdasarkan apa yang ditulis di laman sesawang rasmi mereka.

Tempat kami duduk iaitu Glass Shed, ada kemudahan dapur. Perkakas dapur seperti kuali, microwave, pinggan mangkuk, cawan semua ada. Peti ais pun ada juga. So nanti makanan-makanan dan minuman leftovers tu boleh la simpan buat makan sarapan pagi keesokan harinya.

Lagi satu benda, dapur di chalet kami unik sikit. Singki dia ada dekat luar tingkap. Tergantung. Kalau malam-malam tu seriau juga la kot-kot ada benda lalu. Huhuhu.


Besar Ke Tempat Ni? Ada Tempat Boleh Jalan-Jalan Ke Dalam Kawasan Sekeping Serendah?

Ada. Besar juga la. Waktu kami tinggal sini, kami pusing juga kawasan yang ada pada waktu malam. Gerak ramai-ramai la. Kami ikut laluan yang ada sahaja. Kami tak ikut laluan yang tiada lampu.

Tapi kalau pusing-pusing pun, dalam tu ada chalet-chalet lain jelah, dengan kolam renang. Setakat nak tahu apa ada dalam tu dan nak ambil angin malam, okay sahaja.


Dekat Luar Kawasan Sekeping, Ada Tempat Lain Yang Boleh Singgah Ke?

Air Terjun Serendah

Lepak sini kejap sebelum check-in chalet.

Ada. Ada Air Terjun Serendah. Boleh la kalau nak mandi air terjun.

Selain itu, ada kampung orang asli. Kalau nak melawat boleh la, tapi kena ada kebenaran dulu kalau tak silap. Tak boleh main terjah je.

Kalau nak lepak-lepak makan minum pekena roti canai dengan teh tarik tu memang tak ada la. Dekat sini tak ada warung atau gerai.

Di samping itu, kalau anda suka memancing, haa berdekatan kawasan Sekeping ni ada kolam ikan juga. Boleh la kalau anda kaki pancing.

Kalau tempat yang jauh-jauh tu ada la. Boleh la nak pergi Kuala Kubu Bharu ke, Empangan Selangor ke. Ni semua ambil masa 30-40 minit la ke destinasi. Nak pergi Genting Highlands atau Fraser Hills pun boleh. Ambil masa dalam 1 jam lebih la ke destinasi.


Adakah Tempat Ini Sesuai Untuk Keluarga?

Bahagian tempat duduk ni tak ada tempat sandar. So boleh jatuh ke bawah.


Pandangan saya, bergantung pada jenis chalet. Chalet jenis Glass Shed 2 iaitu chalet yang kami duduki tidak sesuai untuk keluarga yang mempunyai anak kecil, sebab ada banyak lubang-lubang yang boleh mengakibatkan kanak-kanak terjatuh. Glass Shed 2 ni dia tinggi sikit. Ada tiang yang menyokong chalet. Kena naik tangga untuk sampai ke chalet.

Kalau ahli keluarga semua dah besar panjang, maka ini tidak akan menjadi masalah.

Pendek kata, anda kena check chalet mana yang anda nak duduki.


Adakah Tempat Ini Sesuai Untuk Pasangan (2 Orang)?

Hmm... Bagi saya, tempat ni agak seram untuk datang dua orang sahaja. Maklumlah, ni kawasan hutan. Kalau anda jiwa kental dan betul-betul cintakan alam, boleh la datang.

Ada ja chalet yang dikhaskan untuk 2 orang.


Adakah Tempat Ini Sesuai Untuk Team Perempuan Sahaja?

Saya ada terbaca satu review dekat internet bahawa ada sekumpulan perempuan yang menginap di chalet Sekeping Serendah, namun mereka ada bad experience disebabkan ada lelaki yang mengacau mereka.

Saya check website, mereka pun dah ada pasang CCTV di kawasan-kawasan strategik dalam Sekeping Serendah tu. So, maksudnya mungkin ini tindakan yang dilakukan sejurus perkara ini berlaku.

Kalau nak datang, tiada masalah. Datang la. Cuma, hati-hati dan sentiasa peka dengan persekitaran.

Sebagai langkah berjaga-jaga, boleh juga standby Pepper Spray dalam beg. Kalau ada orang kacau, kita boleh guna spray tu.

Ada je geng perempuan yang datang dan memberikan rating yang baik. Ni boleh search review dekat sini: https://www.tripadvisor.com/Hotel_Review-g4341064-d677341-Reviews-Sekeping_Serendah_Retreat-Serendah_Selangor.html.


Harga Macam Mana? Kat Mana Nak Tempah?

Boleh check sini: https://www.sekeping.com/serendah/booking/. Kami dulu ambil Glass Shed 2. Segala butiran ada di pautan ini.


Setiap Chalet Ada Maksimum Penghuni. Kalau Nak Bawa Lebih, Boleh Ke?

Macam kami, kami gerak 7 orang. Glass Shed 2 boleh terima 6 orang sahaja. So, kami cakap elok-elok la dengan pihak pengurusan. Pihak pengurusan beri kebenaran, dan ada sedikit penambahan duit la sebab dah lebih daripada kapasiti yang ditetapkan.


Lokasi Sekeping Serendah Kat Mana?

Dekat sini: https://goo.gl/maps/j8EWtYNQWdTtu1Y66. Maklumat lanjut boleh ke laman sesawang rasmi Sekeping Serendah di sini: https://www.sekeping.com/serendah/.


Soalan Cepumas: Tempat Ni "Keras" Ke?

Haa, kita kan di hutan, so kenalah jaga diri. Hutan ni memang tempat benda-benda "keras". Oleh sebab itu, jaga percakapan. Jangan cakap besar, jangan bongkak. Jangan terlalu liar sangat.

Hutan ni tempat dia. So benda tu memang ada. Kita jangan dok seru-seru. Kalau duk seru, memang mari la ceritanya.

Kalau risau nak ke tandas, ajak la kawan teman. Jangan disebabkan nak tunjuk macho, maka kita pergi tandas seorang.

Jangan tinggal chalet seorang. Kalau semua keluar, maka keluarlah sekali. Lebih selamat dalam kelompok daripada berseorangan.


-----


PENUTUP

Tempat ni best untuk lepak sebenarnya. Konsep back to nature ni memang menarik. Setting tempat sebegini sebenarnya menyuruh anda untuk berbual sesama rakan dan keluarga, dan ketepikan telefon buat sementara waktu.

Cuma kalau nak lagi best, datanglah beramai-ramai. Kalau datang berdua, bagi saya macam tak fun sangat. Lagi satu tempat ni pun menyeramkan juga. Tengok saja la tempat tidur. Tempat tidur jenis terbuka. Maksudnya anda akan menghadap hutan. Tingkap jenis kaca, tak ada tirai atau langsir nak tutup sepenuhnya.

Kalau anda nak berbulan madu kat sini, pastikan jiwa anda kental la. Hahaha.

Sekali lagi diingatkan, jangan mulut puaka atau jangan cakap besar. Nanti tak pasal-pasal ada benda datang mengganggu.

Nak pergi tandas sebelah malam, bawa la teman untuk teman di luar. Tandas dia pun menyeramkan juga pada sebelah malam. Macam ada orang intai-intai. Mana taknya, tandasnya pun ada macam ruang-ruang yang menghadap hutan juga.

Kesimpulan untuk review dan semua komen di atas, tempat ni best. Boleh explore macam-macam. Ada kelainan sebab konsepnya pun menarik. Nak try benda baru, inilah tempatnya!


InsyaAllah, kawan sampai Syurga.


Sekian, terima kasih.

#azaraslan #azarnakcerita


Catat Ulasan

0 Ulasan