Panduan Proses Perkahwinan Islam Di Malaysia



Anda nak bernikah? Alhamdulillah, ini adalah satu langkah murni. Macam mana nak nikah? Susah ke? Jawapannya, tak susah sangat pun. Berikut adalah prosesnya. Kita cuma perlu ikut sahaja.

Saya sertakan juga ringkasan proses di akhir halaman.


01. DUDUKI KURSUS PRA-PERKAHWINAN

Perkara paling utama kena buat ialah duduki kursus pra-perkahwinan. Sekarang ni kursus pra-perkahwinan boleh diambil secara online atau bersemuka.

Kursus pra-perkahwinan ini boleh diambil secara berseorangan atau berpasangan. Maksudnya kalau anda nak pergi seorang tanpa pasangan pun boleh. Nak pergi secara berasingan pun boleh.



02. DAFTAR BORANG NIKAH SECARA ONLINE

Tahniah! Anda sudah selesai menduduki kursus pra-perkahwinan. Kini, anda berada di langkah kedua. Zaman sekarang ini dah zaman teknologi. Nak isi borang nikah pun boleh buat online sahaja. Tak perlu nak ke pejabat agama untuk ambil borang secara manual (kecuali negeri Sabah).

Berkenaan daftar borang nikah secara online ni, portalnya tak semestinya sama bagi setiap negeri. Jika pihak lelaki orang Selangor, anda kena daftar borang nikah di laman SPPIM. Jika calon isteri orang Kelantan, maka calon isteri kena daftar borang nikah di laman e-Qaryah.

Berikut adalah senarai portal daftar borang nikah online bagi setiap negeri di Malaysia:

Ikut sahaja panduan daftar borang nikah di setiap portal. 

Sebagai contoh, saya adalah orang Selangor. Maka, saya perlu daftar borang nikah melalui SPPIM. Calon isteri (kini dah jadi isteri saya) ialah orang Kelantan. Maka, beliau perlu daftar borang nikah melalui e-Qaryah.

Semasa isi borang, anda boleh save atau simpan borang tersebut. Boleh sambung isi kemudian.

Pastikan anda sediakan semua dokumen dan salinan dokumen yang diperlukan.



03. BUAT UJIAN SARINGAN PRA-PERKAHWINAN (HIV) DI KLINIK KESIHATAN / KLINIK KERAJAAN

Keputusan ujian saringan pra-perkahwinan (HIV) hanya boleh dilakukan di klinik kesihatan kerajaan. Keputusan daripada klinik swasta atau hospital swasta tidak diterima. Ini adalah bagi mengelakkan sebarang manipulasi terhadap keputusan ujian yang dijalankan.

Nak buat ujian saringan pra-perkahwinan ni, kedua-dua belah pihak perlu buat janji temu online melalui aplikasi MySejahtera oleh KKM. Aplikasi lain adalah seperti JanjiTemu dan QMed. Tapi rasanya sekarang semua dah centralized dalam MySejahtera.

Apapun nak mudah dan senang, buatlah janji temu online melalui aplikasi MySejahtera. Jika anda nak walk-in, tiada masalah, cuma ada kebarangkalian tinggi slot penuh. Daripada anda bazirkan masa sebegitu, lebih baik anda buat janji temu.

DAN, PASTIKAN ANDA DOWNLOAD BORANG UJIAN SARINGAN HIV DI LAMAN DAFTAR BORANG NIKAH ONLINE ANDA. Jika anda daftar borang di SPPIM, maka download di SPPIM. Jika anda daftar guna e-Qaryah, maka download di e-Qaryah.

Bawa borang tu ke klinik. Mereka tak sediakan borang tersebut. Kalau anda terlupa bawa borang, nanti anda kena reschedule balik appointment.

Saya terlupa bawa borang waktu nak buat ujian, last-last kena reschedule. Rugi ambil cuti. Silap sendiri juga la waktu tu.

Borang yang betul ialah apabila nama dan butiran diri anda dicetak sekali dalam borang ujian saringan pra-perkahwinan tersebut. 



04. PIHAK LELAKI DAPATKAN COP / STAMP DAN TANDATANGAN PENOLONG PENDAFTAR PERKAHWINAN (PPP) MENGIKUT KARIAH

Pihak lelaki kena buat janji temu dengan PPP kariah masing-masing. Bawa semua borang dan dokumen yang diperlukan beserta salinan seperti yang dinyatakan di portal. Boleh rujuk portal masing-masing.

Bila jumpa dengan PPP ni, bolehlah recap balik ilmu-ilmu agama. Kadang-kadang PPP ni akan tanya soalan agama seperti rukun iman, rukun islam, rukun solat, doa iftitah, doa qunut, sujud sahwi dan sebagainya. Standby je hahaha. Standby ni untuk diri sendiri juga.

PPP saya tidak ada tanya soalan, cuma PPP saya memberikan sedikit tazkirah ringkas berkenaan perkahwinan dan kekeluargaan. Kita ambil iktibar, ilmu dan pengajaran untuk diamalkan kelak.


05. PIHAK LELAKI HANTAR BORANG NIKAH KE PEJABAT AGAMA ISLAM DAERAH (PAID) BAGI MENDAPATKAN KEBENARAN NIKAH

Setelah pihak lelaki selesai melengkapkan perkara 01, 02, 03 dan 04, maka pihak lelaki boleh bawa semua borang daftar nikah online di portal yang telah ditandatangan oleh PPP dan bawa borang tersebut ke Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) masing-masing.

Pesanan ikhlas, sila datang ke PAID seawal yang boleh, sebab first come first served. Anda kena ambil nombor giliran. Jika anda datang awal, maka anda dapat selesai urusan awal. Jika anda datang lewat, maka petang la baru balik.

Standby sekali duit untuk pemprosesan borang. Boleh la standby dalam RM20-RM100. Standby lebih tak apa, tak kalut.

Kelulusan dan pengesahan biasanya boleh siap pada hari yang sama. Ada juga PAID yang mengambil masa 1-2 minggu.

Ingat, setelah borang diproses dan disahkan oleh PAID, maka borang tersebut hanya sah untuk 90 hari iaitu 3 bulan sahaja. Maka pihak lelaki perlu serahkan ke pihak perempuan secepat mungkin.


06. PIHAK PEREMPUAN AMBIL BORANG DAN DOKUMEN DARI PIHAK LELAKI KEMUDIAN PIHAK PEREMPUAN DAPATKAN COP / STAMP DAN TANDATANGAN PENOLONG PENDAFTAR PERKAHWINAN (PPP) MENGIKUT KARIAH

Proses sama macam di perkara 04. Pihak perempuan juga kena dapatkan cop / stamp dan tandatangan PPP.

Pihak perempuan perlu print dan bawa borang nikah perempuan.

Pihak perempuan juga perlu bawa borang nikah pihak lelaki semasa jumpa PPP.

Jika pihak lelaki tinggal di Selangor dan pihak perempuan duduk di Kelantan, maka pihak lelaki perlu pos dokumen ke Kelantan atau pergi ke Kelantan serahkan borang ke pihak perempuan. Walau apapun situasinya, borang pihak lelaki perlu diberikan kepada pihak perempuan.


07. PIHAK PEREMPUAN HANTAR BORANG NIKAH KE PEJABAT AGAMA ISLAM DAERAH (PAID) BERSAMA-SAMA DENGAN BORANG KEBENARAN NIKAH PIHAK LELAKI

Perkara ini lebih kurang perkara 05, cuma pihak perempuan perlu bawa borang nikah pihak lelaki ke sana. Jika pihak lelaki tinggal di Selangor dan pihak perempuan duduk di Kelantan, maka pihak lelaki perlu pos dokumen ke Kelantan atau pergi ke Kelantan serahkan borang ke pihak perempuan. Walau apapun situasinya, borang pihak lelaki perlu diberikan kepada pihak perempuan.

Borang tersebut perlulah original / asli dan bukan borang fotostat atau diimbas / scan.

Standby sekali duit untuk pemprosesan borang. Boleh la standby dalam RM20-RM150. Standby lebih tak apa.

Kelulusan dan pengesahan biasanya boleh siap pada hari yang sama. Ada juga PAID yang mengambil masa 1-2 minggu.

Jika dah lulus dan sah, pejabat agama daerah akan contact anda untuk collection. Anda kena ambil borang dan dokumen tersebut,  hantar ke PPP semula atau bawa semasa hari pernikahan. Ni ikut budi bicara PPP la.

Ada PPP yang nak kita pegang dulu borang tu. Nanti waktu nikah, bawa je. Tu macam situasi kami la. Tok kadi sempoi sangat haha.

*Sekiranya anda tinggal dalam daerah yang sama, anda boleh hantar sekali harung borang lelaki dan perempuan.


08. TUNGGU MAJLIS AKAD NIKAH. BUAT PERSEDIAAN MAJLIS KAHWIN

Alhamdulillah, sekiranya kedua-dua belah pihak dah selesai perkara 01 hingga 07, maka selesailah semuanya. Sekarang ni anda hanya perlu tunggu tarikh nak nikah.

Anda boleh la gunakan masa yang ada untuk membuat persediaan perkahwinan seperti tempahan baju nikah, tempahan dewan / ruang makan, pembelian cincin / gelang emas, persediaan mas kahwin, hantaran dan sebagainya.


09. HARI MAJLIS AKAD NIKAH

Pastikan anda bawa kad pengenalan dan dokumen-dokumen kahwin. Jurunikah akan check. Pastikan bawa duit untuk mas kahwin.

Kadang-kadang ada jurunikah atau tok kadi yang akan bertanya soalan agama sebelum ijab qabul. Soalan yang dimaksudkan adalah seperti "berapa rukun iman?", "berapa rukun Islam?", "cuba baca doa qunut". Standby jelah just incase.

Setelah selesai akad nikah, jurunikah akan berikan surat / sijil nikah sementara. Sijil tersebut perlu disimpan dan dibawa untuk proses memohon kad nikah.

Selain itu, sediakan duit / upah untuk jurunikah.


INFO PENTING MENGENAI MAS KAHWIN

Kalau anda declare mas kahwin tu 300 tunai, maka anda kena bawa 300 tunai depan tok kadi. Jika anda declare mas kahwin 15,000 tunai, maka anda kena bawa 15,000 ringgit tunai tu depan tok kadi. Anda tak boleh bawa cheque, sebab anda dah mention tunai dalam borang nikah yang disahkan.

Jika tak ada tunai depan tok kadi, maka dikira mas kahwin itu hutang. Hutang wajib dilangsaikan lepas akad.

Ada juga hujah yang mengatakan mas kahwin boleh dibuktikan dengan resit atau bukti pembayaran.

Ni berdasarkan pengalaman saya sendiri semasa kahwin. Tok kadi dah inform awal-awal sebelum majlis. Masa majlis pun dia check kita bawa tunai ke tak (sebab dia lihat berdasarkan borang kahwin kita yang tulis tunai). Maka, saya bawa cash / tunai.

Tok kadi saya tak terima cek sebab cek ni boleh dimanipulasi. Boleh jadi cek tendang, cek kosong atau kita tak ada duit. Tok kadi saya juga tak terima online transfer sebab kita dah mention tunai. Maka duit tersebut perlu ada dalam majlis.

Ada senario saya baca di media sosial di mana tok kadi membawa mesin duit untuk kira sama ada duit tu cukup ke tidak. Seandainya 70,000 ringgit tunai mas kahwin, maka 70,000 ringgit tunai itu la yang dikira depan kita guna mesin. Kalau nak kira 70,000 guna tangan, jenuh la juga.

Jika mas kahwin dibayar tunai, maka mas kahwin dikira tunai. Manakala jika mas kahwin dibayar secara cheque atau bank draf, maka mas kahwin dikira hutang.

Urusan mas kahwin tidak boleh dibuat main-main. Sebab perkara ini berkenaan sah ke tidak pernikahan majlis akad nikah.

Mufti juga ada kupas pasal perkara ini. Boleh rujuk di bahagian rujukan.

Kalau tak nak pening-pening, tak payah sebut mas kahwin tunai atau hutang, sebab benda ni sunat, bukan wajib.

Lagi satu, kalau sebut HUTANG, nanti orang sekeliling akan ingat kita ni sengkek, tak ada duit. Tak ke haru biru majlis nanti? Nanti lain pula jadinya. Jadi buah mulut. Tak semua orang faham konsep TUNAI dan HUTANG ni. Mulut manusia ni laser.

Apa yang penting kita kena rajin membaca dan merujuk pakar dalam bidangnya.

Rujukan tambahan:

01. Guna Cek Kosong Untuk Mas Kahwin - Ustaz Azhar Idrus: https://www.youtube.com/watch?v=Bb0-QYN2_iM

02. Apa Hukum Nikah Jika Mas Kahwin Guna Bank Draft Tapi Akad Nikah Secara Tunai? - UAI: https://www.youtube.com/watch?v=8LLlls-OC0w

03. Guna Cek Akad Tunai - Ustaz Azhar Idrus: https://www.youtube.com/watch?v=FtvpfsYPJqg

04. Hukum Mas Kahwin Akad Tunai Harga Gelang - Ustaz Azhar Idrus: https://www.youtube.com/watch?v=qKPptS6QOO4

05. AL-KAFI #1341: ADAKAH DIBOLEHKAN PENGGUNAAN REPLIKA CEK MAS KAHWIN SEMASA AKAD NIKAH: https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3624-al-kafi-1341-adakah-dibolehkan-penggunaan-replika-cek-mas-kahwin-semasa-akad-nikah?fbclid=IwAR1ZYPvdG2_MVjGq6ipIXY0XLp2SlLDynzHDTWzKTfNLBTP1Yyy_wQbKo3c




10. PROSES MEMOHON KAD NIKAH

Anda boleh mohon kad nikah di PAID negeri anda bernikah.

Untuk memohon kad kahwin, anda perlu semua dokumen yang diisi, ditandatangan semasa hari pernikahan. Ini termasuklah salinan kad pengenalan semua. Bawa sekali surat nikah sementara. Anda juga perlu sediakan duit untuk pemprosesan kad nikah.

Kad kahwin ni bergantung pada negeri. Ada negeri boleh siap dalam masa sebulan. Ada negeri ambil masa 2-3 bulan. Ada negeri ambil masa 1 hari - 1 minggu.


11. PENGAMBILAN KAD NIKAH

Waktu ambil kad nikah, bawa sijil sementara pernikahan. Standby dalam RM20 macam tu untuk pengambilan kad. Nanti PAID akan bagi kad nikah dan dokumen-dokumen berkaitan.

Maka, selesailah semuanya. Kad nikah tu boleh simpan dalam dompet atau beg dan boleh ditunjukkan bila perlu atau pihak tertentu minta.


RINGKASAN

LELAKI

    1. Ambil kursus kahwin 
    2. Isi borang online (semua negeri kecuali Sabah)
    3. Print borang sekiranya dah lengkap dan sediakan dokumen yang diperlukan
    4. Print borang HIV dan buat ujian HIV
    5. Dapatkan tandatangan dan cop Penolong Pendaftar Nikah (PPP)
    6. Hantar borang beserta dokumen ke pejabat agama daerah
    7. Kalau dah siap semua, datang dan ambil borang dan dokumen dari pejabat agama daerah
    8. Serahkan borang dan dokumen kepada pihak perempuan untuk tindakan selanjutnya

 

PEREMPUAN

    1. Ambil kursus kahwin
    2. Isi borang online (semua negeri kecuali Sabah)
    3. Print borang sekiranya dah lengkap dan sediakan dokumen yang diperlukan
    4. Print borang HIV dan buat ujian HIV
    5. Dapatkan tandatangan dan cop PPP (bawa sekali borang lelaki)
    6. Hantar borang beserta dokumen ke pejabat agama daerah (bawa sekali borang lelaki)
    7. Kalau dah siap semua, datang dan ambil borang dan dokumen dari pejabat agama daerah
    8. Hantar borang dan dokumen semula ke PPP, atau bawa semasa hari pernikahan (ni ikut budi bicara PPP)


Semoga artikel ini membantu anda. Untuk segala dokumen yang diperlukan tu, rujuk garis panduan dekat portal. Semua dah ada.

Semoga urusan perkahwinan anda dipermudahkan! Sekian, terima kasih.

#perkahwinan #borangnikah

Catat Ulasan

0 Ulasan