Perbezaan Antara ADUN dan Ahli Majlis



Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera semua.


PERINGKAT KERAJAAN

Umum mengetahui bahawa kerajaan mempunyai tiga peringkat iaitu:

  • Kerajaan Persekutuan
  • Kerajaan Negeri
  • Kerajaan Tempatan


Kerajaan Persekutuan mempunyai wakil rakyat yang dipilih melalui pilihanraya. Wakil rakyat peringkat kebangsaan adalah Ahli Parlimen.

Kerajaan Negeri juga mempunyai wakil rakyat yang dipilih melalui pilihanraya. Mereka dikenali sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri).

Bagaimana pula dengan Kerajaan Tempatan? Kerajaan Tempatan pernah ada pilihanraya untuk pemilihan Ahli Majlis namun kali terakhir diadakan pada tahun 1963. Sejak 1963 sehingga kini, tiada lagi Pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diadakan. Ahli Majlis dilantik oleh Kerajaan Negeri, berlandaskan garis panduan dan kriteria yang ditetapkan.


PERBEZAAN AHLI MAJLIS DAN ADUN

Dalam sesebuah negeri akan ada Kerajaan Negeri. Di bawah Kerajaan Negeri, akan ada Kerajaan Tempatan. Kerajaan Negeri dianggotai ADUN manakala Kerajaan Tempatan dianggotai Ahli Majlis.

Ahli Majlis dan ADUN adalah dua entiti yang mempunyai peranan dan tanggungjawab yang berbeza. Berikut adalah ringkasan perbezaan bagi setiap portfolio:


Ahli Majlis

  • Merujuk kepada individu yang menjadi ahli dalam sebuah majlis tempatan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Dewan Bandaraya (DB), Majlis Bandaraya (MB), Majlis Perbandaran (MP) atau Majlis Daerah (MD).
  • Bertanggungjawab terhadap perkhidmatan tempatan seperti pengurusan sampah, penyediaan infrastruktur tempatan dan kemudahan awam di dalam kawasan PBT.
  • Memainkan peranan penting dalam mengawal perancangan dan pembangunan tempatan serta memenuhi keperluan komuniti setempat.


Berapa Banyak PBT di Malaysia?

Berdasarkan laman web rasmi Kementerian Pembangunan & Kerajaan Tempatan (KPKT), jumlah PBT adalah sebanyak 149 buah PBT (termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), iaitu 12 buah Dewan/Majlis Bandaraya (DB / MB), 39 buah Majlis Perbandaran (MP) dan 98 buah Majlis Daerah (MD). Terkini ialah Majlis Daerah Putatan dan Majlis Daerah Pitas, Sabah.

Rujuk senarai PBT di sini: https://jkt.kpkt.gov.my/index.php/ms/SUK&PBT/Senarai/SenaraiPBT


Berapa ramai Ahli Majlis dalam suatu-suatu PBT?

Hal ini bergantung pada keperluan dan kapasiti PBT.

Sebagai contoh, senarai Zon Ahli Majlis 2022, Majlis Bandaraya Pasir Gudang ialah 24 ahli majlis. Rujuk sini: https://www.mbpg.gov.my/ms/mppg/pengurusan/profil-ahli-majlis

Majlis Bandaraya Pulau Pinang juga mempunyai 24 ahli majlis. Rujuk di sini: https://www.mbpp.gov.my/ms/korporat/pengurusan/pengurusan-tertinggi/profil-ahli-majlis

Majlis Perbandaran Selayang juga mempunyai 24 ahli majlishttps://www.mps.gov.my/ms/mps/pengurusan/profil-ahli-majlis

Majlis Daerah Kuala Pilah pun 24 ahli majlishttps://mdkp.gov.my/ms/mdkp/pengurusan/profil-ahli-majlis

Berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan, Para 10(b), bilangan minimum Ahli Majlis ialah 8 orang dan tidak lebih daripada 24 orang. Sebesar atau seramai mana penduduk kawasan tersebut, maksimum adalah 24 orang.


Bidang Kuasa Kerajaan Tempatan

PBT telah diberikan kuasa yang luas di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (seperti Akta 171 dan Akta 172). Antaranya seperti berikut:

  • Pentadbiran Tempatan: Menjalankan pentadbiran dalam kawasan tempatan, termasuk pengurusan sumber manusia, kewangan, dan perancangan.
  • Perancangan Pembandaran: Merancang dan mengawal pembangunan bandar dan kawasan tempatan, termasuk peruntukan zon, lesen pembangunan, dan perancangan infrastruktur.
  • Pengurusan Infrastruktur: Menguruskan infrastruktur tempatan seperti jalan, saliran, bekalan air, sistem kumbahan, pencahayaan awam, dan lain-lain.
  • Kebersihan Awam: Menjaga kebersihan kawasan tempatan, termasuk pengumpulan sisa pepejal, pengurusan kawasan lapang, dan kawalan vektor.
  • Pendidikan dan Kebudayaan: Menyokong program pendidikan tempatan, memelihara institusi pendidikan, dan mempromosikan kebudayaan tempatan.
  • Perkhidmatan Kesihatan Tempatan: Menyediakan perkhidmatan kesihatan, termasuk klinik tempatan, kesedaran kesihatan, dan pemantauan kawalan penyakit.
  • Kawalan Pencemaran dan Alam Sekitar: Menjaga alam sekitar tempatan, mengawal pencemaran, dan memastikan kelestarian alam sekitar.
  • Pelesenan dan Penguatkuasaan: Melaksanakan perlesenan dan mengawal penguatkuasaan undang-undang tempatan, termasuk peraturan perniagaan dan pematuhan undang-undang.
  • Hal Ehwal Sosial dan Kebajikan: Menyediakan perkhidmatan sosial, bantuan kemanusiaan, dan memastikan kesejahteraan sosial dalam komuniti tempatan.
  • Rekreasi dan Kebudayaan: Menyediakan kemudahan rekreasi, taman awam, dan aktiviti-aktiviti budaya untuk komuniti tempatan.
  • Pengangkutan Awam Tempatan: Pihak berkuasa tempatan boleh terlibat dalam penyediaan atau penyokongan pengangkutan awam dalam skala tempatan.

Secara amnya, bidang kuasa PBT ini boleh dikategorikan kepada alam sekitar, orang awam, sosial dan juga pembangunan.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)

  • Merujuk kepada wakil yang terpilih untuk mewakili kawasan (berdasarkan persempadanan pilihan raya negeri) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi sesuatu negeri di Malaysia.
  • Bertanggungjawab untuk membincangkan dan mengemukakan isu-isu perundangan serta dasar / polisi di peringkat negeri.
  • Memainkan peranan penting dalam proses perundangan negeri, termasuk penyediaan dan pembaharuan undang-undang negeri.
  • Mewakili suara penduduk kawasan DUN masing-masing, di mana mereka berperanan dalam membentuk undang-undang, dasar dan bajet negeri.


Berapa Ramai ADUN di Malaysia?

Jumlah ADUN bergantung pada jumlah kawasan Pilihan Raya Negeri. Jumlah kerusi ADUN adalah 600 kerusi.

Pecahan Kerusi DUN (600 kerusi):

  • Perlis: 15
  • Kedah: 36
  • Pulau Pinang: 40 
  • Kelantan: 45
  • Perak: 59
  • Terengganu: 32
  • Pahang: 42
  • Selangor: 56
  • Kuala Lumpur: 0
  • Putrajaya: 0
  • Negeri Sembilan: 36
  • Melaka: 28
  • Johor: 56
  • Sabah: 73
  • Labuan: 0
  • Sarawak: 82

Jumlah: 600 kerusi


Isu-Isu Yang Dibincangkan oleh ADUN (Menerusi DUN):

  • Hal ehwal agama Islam dan adat Melayu
  • Hal ehwal tanah (termasuk Tanah Simpanan Melayu, tanah simpanan negeri, pemberian permit dan pajakan melombong)
  • Pertanian dan perhutanan
  • Kerajaan tempatan 
  • Kerja-kerja negeri dan air
  • Jentera kerajaan negeri
  • Hari kelepasan negeri
  • Pewujudan kesalahan bagi undang-undang negeri
  • Siasatan bagi maksud negeri
  • Tanggung rugi bagi perkara dalam Senarai Negeri
  • Penyu dan penangkapan ikan di sungai
  • Rumah tumpangan dan rumah pemalaman
  • Tanah perkuburan dan tempat pembakaran mayat
  • Tempat kurungan binatang dan pencerobohan kerbau lembu
  • Pasar dan pasar ria
  • Pelesenan panggung, panggung wayang dan tempat hiburan awam (kecuali bagi Wilayah Persekutuan)


BIDANG KUASA BERSAMA

Senarai Bersama memberi kuasa kepada kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri untuk menggubal undang-undang bagi beberapa perkara. Sekiranya wujud percanggahan, maka undang-undang Persekutuan hendaklah mengatasi undang-undang negeri tersebut, seperti yang tertera dalam Perkara 75, Perlembagaan Persekutuan.

Senarai Bersama (Persekutuan + Negeri) Meliputi:

  • Kebajikan masyarakat
  • Biasiswa
  • Perlindungan binatang liar dan burung liar serta Taman Negara.
  • Penternakan, perkhidmatan veterinar dan pencegahan penganiayaan binatang
  • Perancangan bandar dan desa
  • Kuturayauan dan penjaja dari tempat ke tempat
  • Kesihatan awam, kebersihan dan pencegahan penyakit
  • Saliran dan pengairan
  • Pemulihan tanah lombong dan tanah yang telah terhakis
  • Langkah keselamatan kebakaran
  • Kebudayaan dan sukan
  • Perumahan dan amanah pemajuan
  • Bekalan dan perkhidmatan air (tertakluk kepada Senarai Persekutuan)
  • Pemeliharaan warisan


KESIMPULAN

Perbezaan utama adalah ahli majlis terlibat dalam urusan tempatan di bawah PBT, manakala ADUN adalah wakil yang terpilih untuk membahas dan menggubal undang-undang dan dasar di peringkat negeri.

Sungguhpun begitu, peranan mereka melengkapi antara satu sama lain. Ahli Majlis dirunding dalam sesuatu perkara utk dapatkan insight sosial dan politik dalam sesuatu kawasan. Dengan maklumat yang ada, ADUN boleh membuat pertimbangan dalam penggubalan dasar, undang-undang dan inisiatif peringkat negeri.

Semoga sedikit sebanyak memberi pencerahan kepada semua. Sekian, terima kasih.

Catat Ulasan

0 Ulasan