Kenapa Kita Kena Undi Dua Kali? Apa Perbezaan Antara Ahli Parlimen dan Ahli DUN?



Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera semua. Semoga semua sihat-sihat sahaja, dikurniakan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan.

Pilihanraya Negeri (PRN) ke-15 akan berlangsung tidak lama lagi. Hari mengundi bagi orang awam akan dijalankan pada 12 Ogos 2023 (Sabtu).

Sejajar dengan musim PRN ni, saya ingin berkongsi kepada anda semua berkenaan perbezaan ahli parlimen dan ahli DUN secara ringkas.

Bagi membuat perbezaan ini, saya bahagikan kepada 7 perkara iaitu:

    1. PERINGKAT PEMERINTAHAN
    2. KAWASAN
    3. BIDANG KUASA
    4. PENGARUH
    5. STRUKTUR KERAJAAN
    6. JUMLAH AHLI
    7. ISU-ISU YANG DITANGANI


Perkongsian ini adalah berdasarkan ilmu yang saya pelajari sepanjang 7 tahun dalam pentadbiran awam dan juga berdasarkan maklumat dari Perlembagaan Persekutuan, laman rasmi Parlimen Malaysia dan laman sesawang yang mempunyai reputasi yang baik. Jom kita baca.


UMUM

Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah wakil rakyat. Sungguhpun begitu, peranan mereka berbeza. Berikut adalah beberapa perbezaan utama antara mereka:


1. PERINGKAT PEMERINTAHAN

Ahli Parlimen

Ahli Parlimen adalah wakil rakyat di peringkat persekutuan / kebangsaan / negara. Mereka terlibat dalam membuat, menggubal, memberi komen terhadap undang-undang / dasar / inisiatif serta bertindak sebagai ejen mekanisme semak dan imbang (check and balance) terhadap kerajaan persekutuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)

ADUN adalah wakil rakyat di peringkat negeri. Mereka terlibat dalam membuat, menggubal, memberi komen terhadap undang-undang / dasar / inisiatif di peringkat negeri serta bertindak sebagai ejen mekanisme semak dan imbang (check and balance) terhadap kerajaan negeri.


2. KAWASAN

Ahli Parlimen

Setiap kawasan Parlimen mewakili satu kawasan geografi di Malaysia. Seramai 222 Ahli Parlimen Malaysia bersama-sama membentuk Parlimen Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)

Setiap ADUN mewakili satu kawasan geografi di dalam satu negeri di Malaysia. 600 ADUN dari seluruh negeri bersama-sama membentuk Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri.


TAMBAHAN INFO

Sempadan bahagian pilihan raya tidak semestinya tertakluk pada sempadan bahagian pentadbiran seperti daerah dan mukim.

Kawasan Parlimen dan DUN telah diwartakan setelah proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dirangka semula oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPRM) dan dipersetujui dalam parlimen.


3. BIDANG KUASA

Ahli Parlimen

Bidang kuasa Ahli Parlimen memeriksa, membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan perkara-perkara yang terletak di bawah kuasa Persekutuan, seperti undang-undang berkaitan dengan pendidikan, perkhidmatan kesihatan, pertahanan, ekonomi dan lain-lain.

Isu-Isu Yang Dibincangkan (Menerusi Parlimen):

  • Kewarganegaraan
  • Hal ehwal luar negeri, pertahanan dan keselamatan dalam negeri
  • Sistem keadilan sivil dan jenayah
  • Jentera kerajaan persekutuan
  • Kewangan, pertukangan, perdagangan dan perindustrian
  • Perkapalan, pelayaran dan perikanan
  • Perhubungan dan pengangkutan
  • Kerja-kerja dan kuasa Persekutuan
  • Pendidikan, kesihatan dan perubatan
  • Buruh dan keselamatan sosial
  • Tinjauan, siasatan dan penyelidikan bagi maksud Persekutuan
  • Kebajikan orang asli
  • Hari kelepasan (selain hari kelepasan negeri)
  • Media dan penapisan
  • Pekerjaan profesional (selain yang disebut satu per satu secara khusus)
  • Pertubuhan tidak diperbadankan dan koperasi
  • Pengawalan dan perlindungan daripada makhluk perosak pertanian serta pencegahan penyakit tumbuhan
  • Pelancongan


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)

Bidang kuasa ADUN berkisar kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan perundangan negeri, seperti kesihatan negeri, pendidikan negeri, pengangkutan negeri dan lain-lain.

Isu-Isu Yang Dibincangkan (Menerusi DUN):

  • Hal ehwal agama Islam dan adat Melayu
  • Hal ehwal tanah (termasuk Tanah Simpanan Melayu, tanah simpanan negeri, pemberian permit dan pajakan melombong)
  • Pertanian dan perhutanan
  • Kerajaan tempatan
  • Kerja-kerja negeri dan air
  • Jentera kerajaan negeri
  • Hari kelepasan negeri
  • Pewujudan kesalahan bagi undang-undang negeri
  • Siasatan bagi maksud negeri
  • Tanggung rugi bagi perkara dalam Senarai Negeri
  • Penyu dan penangkapan ikan di sungai
  • Rumah tumpangan dan rumah pemalaman
  • Tanah perkuburan dan tempat pembakaran mayat
  • Tempat kurungan binatang dan pencerobohan kerbau lembu
  • Pasar dan pasar ria
  • Pelesenan panggung, panggung wayang dan tempat hiburan awam (kecuali bagi Wilayah Persekutuan)


BIDANG KUASA BERSAMA

Senarai Bersama memberi kuasa kepada kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri untuk menggubal undang-undang bagi beberapa perkara. Sekiranya wujud percanggahan, maka undang-undang Persekutuan hendaklah mengatasi undang-undang negeri tersebut, seperti yang tertera dalam Perkara 75, Perlembagaan Persekutuan.

Senarai Bersama (Persekutuan + Negeri) Meliputi:

  • Kebajikan masyarakat
  • Biasiswa
  • Perlindungan binatang liar dan burung liar serta Taman Negara.
  • Penternakan, perkhidmatan veterinar dan pencegahan penganiayaan binatang
  • Perancangan bandar dan desa
  • Kuturayauan dan penjaja dari tempat ke tempat
  • Kesihatan awam, kebersihan dan pencegahan penyakit
  • Saliran dan pengairan
  • Pemulihan tanah lombong dan tanah yang telah terhakis
  • Langkah keselamatan kebakaran
  • Kebudayaan dan sukan
  • Perumahan dan amanah pemajuan
  • Bekalan dan perkhidmatan air (tertakluk kepada Senarai Persekutuan)
  • Pemeliharaan warisan

HAK ISTIMEWA SABAH DAN SARAWAK

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan beberapa hak istimewa kepada Sabah dan Sarawak yang tidak dinikmati oleh negeri-negeri di Semenanjung.


4. PENGARUH

Ahli Parlimen

Mereka mempunyai pengaruh dan kuasa untuk terlibat dalam merangka dasar peringkat persekutuan serta terlibat dalam perbincangan dan pengesahan undang-undang persekutuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)

Mereka mempunyai pengaruh dan kuasa untuk terlibat, bersuara dalam merangka dasar peringkat negeri selain terlibat dalam perbincangan dan pengesahan undang-undang negeri.


5. STRUKTUR KERAJAAN

Ahli Parlimen

Mereka merupakan anggota Parlimen Malaysia di Dewan Rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)

Mereka merupakan anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri masing-masing.


6. JUMLAH AHLI

Ahli Parlimen

Jumlah Ahli Parlimen bergantung pada jumlah kawasan Parlimen yang ditubuhkan. Jumlah kerusi Parlimen Malaysia ialah 222 kerusi.

Pecahan Kerusi Parlimen (222 kerusi):

  • Perlis: 3
  • Kedah: 15
  • Pulau Pinang: 13
  • Kelantan: 14
  • Perak: 24
  • Terengganu: 8
  • Pahang: 14
  • Selangor: 22
  • Kuala Lumpur: 11
  • Putrajaya: 1
  • Negeri Sembilan: 8
  • Melaka: 6
  • Johor: 26
  • Sabah: 25
  • Labuan: 1
  • Sarawak: 31

Jumlah: 222 kerusi


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)

Jumlah ADUN bergantung pada jumlah kawasan Pilihan Raya Negeri. Jumlah kerusi ADUN adalah 600 kerusi.

Pecahan Kerusi DUN (600 kerusi):

  • Perlis: 15
  • Kedah: 36
  • Pulau Pinang: 40 
  • Kelantan: 45
  • Perak: 59
  • Terengganu: 32
  • Pahang: 42
  • Selangor: 56
  • Kuala Lumpur: 0
  • Putrajaya: 0
  • Negeri Sembilan: 36
  • Melaka: 28
  • Johor: 56
  • Sabah: 73
  • Labuan: 0
  • Sarawak: 82

Jumlah: 600 kerusi


INFO TAMBAHAN

Kerusi Bahagian Pilihan Raya Persekutuan (atau Kerusi Parlimen) diwakili tanda P.xxx manakala kerusi Bahagian Pilihan Raya Negeri (atau kerusi DUN) diwakili tanda N.xx.


7. ISU YANG DITANGANI

Ahli Parlimen

Mereka lebih tertumpu kepada isu-isu peringkat nasional dan berkenaan dengan perundangan persekutuan.

Rujuk perkara 3.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)

Mereka lebih tertumpu kepada isu-isu peringkat negeri dan berkenaan dengan perundangan negeri.

Rujuk perkara 3.


KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat di atas, inilah perbezaan ringkas mengenai Ahli Parlimen dan Ahli DUN. Ahli Parlimen adalah wakil rakyat untuk menyuarakan isu-isu di peringkat persekutuan, manakala ADUN adalah wakil rakyat untuk menyuarakan isu-isu di peringkat negeri.

Maka sebab itulah kita perlu mengundi dua kali.

Semoga maklumat ini berguna untuk anda.

Selamat membuang undi untuk PRN ke-15 kali ini!

Sekian, terima kasih.


Rujukan:

01. Fungsi Parlimen Malaysia: https://www.parlimen.gov.my/fungsi.html?uweb=p#:~:text=Parlimen%20meluluskan%20undang%2Dundang%20persekutuan,hasil%2Dhasil%20cukai%20yang%20baru.

02. Bidang Kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri: https://www.myundi.com.my/dun-101/bidang-kuasa-kerajaan-persekutuan-dan-kerajaan-negeri

03. Perlembagaan Persekutuan

04. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR): https://www.spr.gov.my/

05. Laporan Kajian Semula Persempadanan: https://web.archive.org/web/20180412212213/http://www.spr.gov.my/sites/default/files/Jilid%201%20Kajian%20Semula%20Persempadanan%20V2.pdf

06. Apa Beza DUN & Parlimen Serta Kenapa Ada Dua Pilihan Raya?: https://says.com/my/seismik/pru15-apa-beza-dun-parlimen-serta-kenapa-ada-2-pilihan-raya

Catat Ulasan

0 Ulasan