Bluetooth Intercom



Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera semua. Semoga semua dipermudahkan urusan dan dikurniakan kejayaan dunia akhirat.


Secara umum termasuklah negara Malaysia, terdapat tiga lapisan utama dalam struktur pemerintahan yang berfungsi untuk memastikan kelancaran pengurusan negara dan kesejahteraan rakyat. Ketiga-tiga lapisan ini adalah Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan. Masing-masing mempunyai peranan dan kuasa yang tersendiri. Sebagai seorang alumni Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) UiTM, mengambil jurusan Diploma Pentadbiran Awam, Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran, dan Ijazah Sarjana Eksekutif Sains Pentadbiran, saya telah mendalami perbezaan tiga lapisan kerajaan ini sepanjang pengajian.


Artikel ini akan membincangkan perbezaan antara ketiga-tiga jenis kerajaan ini secara ringkas.


1. Kerajaan Persekutuan


Definisi: Kerajaan Persekutuan merujuk kepada kerajaan pusat yang mentadbir seluruh negara Malaysia. Ia dikendalikan oleh kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya umum, di mana rakyat Malaysia memilih wakil mereka untuk duduk di Parlimen Malaysia. Pemimpin utama ialah Perdana Menteri, dibantu dengan ahli-ahli jemaah menteri.


Fungsi dan Kuasa:


Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab terhadap dasar-dasar negara, pertahanan, keselamatan, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan hubungan luar negara.


Di bawah kerajaan persekutuan, terdapat dua dewan utama di Parlimen iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ahli Parlimen menduduki Dewan Rakyat manakala Ahli Senator menduduki Dewan Negara.


Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang yang berkuat kuasa di seluruh negara, termasuk di negeri-negeri.


Antaranya adalah isu-isu berkaitan kewangan, perdagangan antarabangsa, sistem pendidikan nasional dan polisi / dasar luar negeri.


Contoh Bidang Tanggungjawab:


  • Pengurusan kewangan negara (contohnya, bajet negara).
  • Polisi atau dasar ekonomi dan pembangunan.
  • Pentadbiran dan pengurusan pertahanan negara.
  • Penyediaan dan pembiayaan pendidikan serta kemudahan penjagaan kesihatan.


2. Kerajaan Negeri


Definisi: Setiap negeri di Malaysia mempunyai kerajaan negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar (bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia), Ketua Menteri (bagi negeri Melaka dan Sabah) dan Premier (bagi negeri Sarawak). Kerajaan negeri ini bertanggungjawab untuk mentadbir negeri mereka sendiri dan mempunyai kuasa tertentu dalam bidang yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Malaysia.


Fungsi dan Kuasa:


Kerajaan negeri mempunyai kuasa dalam bidang yang tidak ditetapkan sebagai kuasa eksklusif kerajaan persekutuan. Ini dikenali sebagai senarai negeri dalam Perlembagaan Malaysia.


Kerajaan negeri menguruskan hal ehwal negeri termasuk pembangunan tempatan, pentadbiran tanah, sumber alam semula jadi, perhutanan dan sebagainya.


Sebagai contoh, kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengenakan cukai tertentu seperti cukai parit dan taliair, cukai hasil hutan, cukai hiburan dan cukai tanah.


Di bawah kerajaan negeri, terdapat satu dewan iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diduduki oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). ADUN dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK).


Contoh Bidang Tanggungjawab:


  • Pembangunan negeri dan infrastruktur setempat.
  • Penyediaan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan di peringkat negeri.
  • Pengurusan tanah dan pembangunan hartanah.


3. Kerajaan Tempatan


Definisi: Kerajaan tempatan merujuk kepada pihak berkuasa yang menguruskan pentadbiran dan perkhidmatan di peringkat yang lebih kecil, seperti bandar, pekan atau daerah. Pihak berkuasa tempatan (PBT) ini dipilih atau dilantik untuk menguruskan urusan tempatan yang lebih dekat dengan rakyat. Pemimpin utama di peringkat PBT ialah Datuk Bandar atau Pengerusi.


Fungsi dan Kuasa:


Kerajaan tempatan berfungsi untuk memastikan kesejahteraan masyarakat setempat dengan menyediakan perkhidmatan asas seperti pengurusan sampah, penyelenggaraan jalan raya, pembinaan infrastruktur kecil dan penyediaan kemudahan awam seperti taman permainan dan pusat komuniti.


Mereka juga terlibat dalam pengawalan pembangunan tempatan dan kelulusan pembangunan hartanah, serta menguruskan cukai tempatan (seperti cukai pintu dan cukai perniagaan).


Kerajaan tempatan juga bertanggungjawab untuk melaksanakan dasar-dasar yang ditetapkan oleh kerajaan negeri dan pusat di peringkat yang lebih mikro.


Contoh Bidang Tanggungjawab:


  • Pengurusan kebersihan dan pembuangan sampah.
  • Penyediaan dan penyelenggaraan kemudahan awam.
  • Penguatkuasaan peraturan tempatan seperti peraturan bangunan dan perlesenan perniagaan.


Untuk maklumat lanjut mengenai kerajaan tempatan, boleh baca di sini: https://www.azaraslan.com/2025/01/kerajaan-tempatan-buat-kerja-apa-apa.html


Rajah Perbezaan Kerajaan


Berikut adalah ringkasan rajah untuk mudah faham tentang ketiga-tiga lapisan kerajaan dalam konteks Malaysia:

*Tukar ke layout horizontal atau rotate screen telefon sekiranya rajah tidak nampak penuh


AspekKerajaan PersekutuanKerajaan NegeriKerajaan Tempatan
DefinisiMentadbir seluruh negara Malaysia.Mentadbir negeri.Mengurus pentadbiran di peringkat bandar, pekan atau daerah.
Pemimpin UtamaPerdana Menteri.Menteri Besar/Ketua Menteri/Premier.Pengerusi atau Datuk Bandar (bergantung pada jenis PBT).
DewanParlimen (Dewan Rakyat) & Dewan Negara).Dewan Undangan Negeri (DUN).Tiada dewan; diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Bidang KuasaDasar negara, pertahanan, ekonomi, pendidikan, kesihatan, hubungan luar.Tanah, sumber semula jadi, perhutanan, pembangunan negeri.Kebersihan, pengurusan sampah, pembangunan kecil, perkhidmatan awam.
Contoh TanggungjawabMengurus dan merancang bajet negara, pertahanan, hubungan luar, pendidikanMengurus pembangunan negeri termasuk pengurusan tanah dan pengurusan hutan.Melaksanakan penyelenggaraan jalan raya, pengurusan sampah dan taman permainan.
CukaiCukai pendapatan, cukai korporatCukai tanah, cukai hasil hutan, cukai hiburan, cukai parit dan taliairCukai pintu, cukai perniagaan


Kesimpulan


Ketiga-tiga jenis kerajaan – Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, dan Kerajaan Tempatan – mempunyai peranan yang penting dan saling melengkapi dalam memastikan pengurusan negara dan kesejahteraan rakyat berjalan lancar. Kerajaan Persekutuan menguruskan hal ehwal yang melibatkan negara secara keseluruhan, kerajaan negeri bertanggungjawab atas hal ehwal di peringkat negeri, manakala kerajaan tempatan menangani perkara-perkara yang lebih spesifik di peringkat daerah atau bandar.


Pemahaman tentang perbezaan ini amat penting untuk memastikan fungsi-fungsi pemerintahan berjalan dengan efisien dan efektif.


Mohon maaf sekiranya ada kekurangan. Sekian, terima kasih.


Ahmad Azeem bin Ahmad Raslan (AZAR)

Alumni Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) UiTM
Diploma Pentadbiran Awam
Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kepujian)
Ijazah Sarjana Eksekutif Sains Pentadbiran


#azaraslan #siripentadbiranawam #spa

Post a Comment

Terbaru Lebih lama

Baju Hujan Tahan Lasak Kalis Air

Maxtag Touch N Go Smart Tag Holder