![]() |
| Sumber: Anwar Ibrahim Official Facebook Page |
Disclaimer: Artikel ini adalah pandangan saya selaku bekas pelajar Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi. Sama-sama kita baca untuk menambah ilmu dan meraikan pandangan.
Pendahuluan
Beberapa hari ni, media sosial kecoh apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, datang ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Ramai yang marah bila nampak sambutan rasmi dengan tarian, malah Trump pun nampak seronok berjoget masa turun dari Air Force One, menyantuni penari-penari yang berhimpun.
Ada yang kata, “Kenapa kita raikan penyokong besar Zionis Israel yang menzalimi rakyat Palestin?”
Soalan tu valid — sebab memang Amerika penyokong utama Israel. Tapi bila bercakap tentang hal geopolitik, kita tak boleh tengok semua benda secara hitam putih. Dunia ni ada macam-macam warna. Semua warna kita kena santuni.
Politik Antarabangsa Ni Penuh Berliku
Dari situ saya faham, dunia politik antarabangsa ni berliku dan bukan jalan yang lurus. Kena banyak read between the lines, kena take a step back and evaluate kenapa tindakan kerajaan begitu begini.
Setiap negara ada kepentingan tersendiri dari sudut ekonomi, keselamatan, pelaburan dan hubungan antarabangsa.
Kadang-kadang dalam diplomasi, beralah tak semestinya mengalah.
Ada waktu, senyum di depan musuh lebih baik daripada tunjuk marah di depan kamera, supaya musuh boleh nampak gesture kita.
Sebab tu ada pepatah Inggeris mengatakan:
“Keep your friends close, but your enemies closer.”
Dalam dunia diplomasi, rapat dengan musuh bukan bermaksud kita setuju dengan dia. Ia lebih kepada supaya kita tahu gerak langkahnya, dan boleh rancang strategi dengan bijak.
Adab Menyambut Tetamu & Seni Diplomasi
Dalam budaya kita pun, adab menyambut tetamu sangat penting walaupun tetamu tu mungkin bukan orang yang kita suka.
Islam ajar kita untuk bersopan santun, bukan buat lekeh dalam hal ni.
Sewaktu Trump secara spontan menari semasa disambut ketibaan beliau di Malaysia, ada golongan menganggap itu perkara remeh atau tidak perlu, tapi dalam dunia diplomasi, small things give big meaning.
Perkara seperti itu akan diingati oleh Trump sendiri. People remember moments.
Lebih menarik lagi, perkara ini turut dibuktikan melalui video yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Trump, yang memaparkan momen tarian sambutan dan detik beliau berjoget kecil bersama penari yang berhimpun.
Secara tak langsung, ia memberi publisiti besar kepada Malaysia.
Kadang-kadang perkara sekecil itu yang mencairkan ego besar seorang pemimpin dunia, dan dalam konteks diplomasi, itulah seni halus yang tak semua orang nampak.
Bila kerajaan sambut Trump dengan penuh protokol dan senyuman, ia bukan tanda setuju dengan dasar Amerika, tapi tanda hormat terhadap peranan diplomasi.
Dinamik Hubungan Malaysia dan Amerika
Kita kena akui, Malaysia banyak bergantung kepada Amerika dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, pelaburan, teknologi dan perdagangan.
Amerika adalah antara rakan dagang utama Malaysia, malah banyak barangan kita dieksport ke sana, termasuk komponen elektronik, semikonduktor, sarung tangan getah dan barangan pembuatan.
Menurut MATRADE, nilai dagangan dua hala pada tahun 2024 dianggarkan sekitar RM 324.91 bilion (US$71.4 bilion), menjadikan Amerika antara pasaran eksport terbesar Malaysia.
Amerika juga ada kedutaan di Kuala Lumpur, menandakan hubungan dua hala yang aktif dan panjang. (Saya ada buat penulisan pasal kedutaan, pesuruhjaya tinggi dan konsulat. Boleh baca sini: https://www.azaraslan.com/2025/10/kepentingan-kedutaan-pesuruhjaya-tinggi-dan-konsulat-malaysia-di-luar-negara.html?m=1)
Hubungan diplomatik rasmi antara Malaysia dan Amerika bermula pada 31 Ogos 1957 iaitu hari kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Amerika merupakan antara negara terawal yang mengiktiraf kemerdekaan kita dan menaik taraf Konsulatnya di Kuala Lumpur menjadi Kedutaan Amerika Syarikat.
Nak tak nak, Malaysia memang perlu jaga hubungan baik dengan kuasa besar dunia ni.
Sebagai contoh, semasa sidang ASEAN baru-baru ini, Malaysia dan Amerika menandatangani perjanjian perdagangan yang nampak seperti lebih menguntungkan pihak Amerika. Namun dalam konteks diplomasi, langkah sebegitu adalah strategi untuk membuka laluan kepada pelaburan, teknologi dan peluang pasaran yang lebih luas untuk negara kita.
Dalam sejarah Islam pun ada contoh yang sohor iaitu Perjanjian Hudaibiyah.
Nabi Muhammad SAW bersetuju dengan beberapa syarat yang nampak berat sebelah, tapi akhirnya perjanjian itu membuka jalan kepada kemenangan Islam yang lebih besar.
Begitulah juga seni politik antarabangsa. Tak semua keputusan popular itu bijak, dan tak semua keputusan bijak itu popular.
Israel dan Amerika
Dalam konteks hubungan diplomasi Malaysia, Israel berada di tahap berbeza dengan Amerika.
Malaysia tiada hubungan diplomatik langsung dengan Israel dan pendirian tegas ini berpunca daripada sokongan padu kita terhadap perjuangan rakyat Palestin. Kita dari dulu lagi memang pro-palestin dan non-partisan dalam hal ini.
Jadi, menjaga hubungan dengan Amerika tidak bermaksud kita berbaik dengan Israel. Kita pun tidak la sokong Amerika 100%. Ada yang kita sokong, ada yang tak.
Ia adalah dua hal yang berbeza, dan pemimpin kita perlu pandai seimbangkan antara prinsip dan realiti.
Trump & Diplomasi
Dalam seni diplomasi, orang macam Trump tak boleh dilawan dengan api dengan api, tetapi perlu dilayan dengan air, dengan berhemah.
Saya yakin PMX sendiri pun bukanlah “seronok sangat” nak sambut Trump, tapi sebagai ketua negara, dia perlu kendalikan situasi dengan rasional. Too many things at stake.
Sebab kalau Malaysia dilihat sombong atau kasar, kesannya bukan pada politik semata-mata tetapi pada pelaburan, ekonomi dan reputasi negara juga di mata dunia. Boleh baca artikel saya pasal Foreign Direct Investment (FDI) untuk dapatkan gambaran lanjut mengenai manfaatnya: https://www.azaraslan.com/2025/02/bagaimana-pelaburan-langsung-asing-fdi.html?m=1
Analogi Nasi Ayam
Bayangkan awak ada kedai nasi ayam.
Satu hari, datang pelanggan yang awak tak berapa gemar iaitu perangai keras kepala, cakap besar, dan pernah buat benda yang awak tak setuju.
Tapi pelanggan ni banyak duit, selalu beli dengan awak, dan bila dia datang, dia beli banyak terus.
Pendek kata, dia antara penyumbang besar jualan kedai awak.
Sekarang bayangkan kalau awak kata:
“Aku tak suka dia, jadi aku tak nak jual kat dia.”
Awak mungkin puas hati sekejap, tapi kedai awak akan rugi besar.
Pekerja terkesan, makanan tak terjual dan pelanggan lain pun mula menjauh bila dapat tahu awak layan pelanggan sebegitu.
Nak terus hidup dalam dunia perniagaan, kena pandai urus hubungan. Bukan sebab awak tunduk, tapi sebab awak faham strategi diperlukan dalam hal sebegini.
Begitulah juga dalam dunia diplomasi.
Amerika mungkin ada pendirian yang kita tak setuju, terutamanya tentang Israel dan Palestin, tapi mereka tetap antara pelanggan utama Malaysia dari segi perdagangan, pelaburan dan ekonomi.
Kalau kita layan dengan biadab, kitalah yang rugi sebab dunia ni saling bergantung antara negara lain.
Jadi, ini bukan soal nak tunduk atau mengalah. Ini adalah soal bijak berurusan sambil kekal berprinsip. Tolak tak rebah.
Tugas Pemimpin dan Rakyat
Rakyat pula, kalau tak setuju, boleh suarakan pendapat atau berdemo dengan tertib, sebab itu hak dalam demokrasi.
Tapi dalam masa sama, rakyat pun kena faham konteks bahawa bukan semua yang nampak lembut itu lemah, dan bukan semua yang nampak keras itu kuat.
Kenapa Kita Kena Ambil Tahu Hal Ni Semua?
Tapi realitinya, setiap keputusan diplomasi ada kesan langsung pada hidup kita.
Kalau hubungan dengan negara besar jadi tegang, pelabur boleh tarik diri, mata wang jatuh dan harga barang naik.
Sebaliknya, bila Malaysia pandai seimbangkan hubungan dengan kuasa besar sambil tetap tegas dalam isu Palestin, dunia akan lebih menghormati kita.
Itulah apa yang Malaysia buat iaitu kekal pendirian dengan Palestin, sokong inisiatif Sumud Flotilla dan pada masa yang sama, jaga hubungan dengan negara lain seperti Amerika. Ini bukan soal hipokrit tetapi ni adalah soal diplomasi dan untuk survive atas muka bumi ni. Kita kena terima bahawa Malaysia tetap memerlukan negara besar seperti Amerika dan China untuk jana pendapatan dan sustain the nation for national interest.
Pendek kata, isu global nampak macam jauh dari kita, tapi kesannya dekat dari apa yang kita sangkakan.
Dan bila rakyat faham rasional di sebalik keputusan politik, barulah negara jadi matang dan kuat.
Penutup
Artikel ni bukan nak “backup” PMX dan kerajaan.
Ia sekadar mengajak kita berfikir dengan rasional bahawa dalam dunia diplomasi, matlamat utama ialah kestabilan dan maruah negara.
Kita boleh terus menyokong Palestin sepenuh hati, sambil memahami bagaimana seni politik antarabangsa berfungsi.
Mohon maaf sekiranya pandangan saya tidak selari dengan pandangan anda.
Sekian, terima kasih.
Ahmad Azeem bin Ahmad Raslan (AZAR)
#Azaraslan #FSPPP #SiriPentadbiranAwam

Catat Ulasan