Shopee



Tahukah anda bahawa setiap kali rakyat Malaysia berada di luar negara sama ada untuk belajar, bekerja, melancong atau menetap di sana, mereka sebenarnya dilindungi oleh wakil rasmi kerajaan Malaysia? Perwakilan ini hadir dalam tiga bentuk utama, iaitu Kedutaan, Pesuruhjaya Tinggi dan Konsulat. Ketiga-tiga entiti ini memainkan peranan penting dalam menjaga kepentingan negara serta kebajikan rakyat Malaysia di luar tanah air.


Perbezaan Antara Kedutaan, Pesuruhjaya Tinggi dan Konsulat

Walaupun fungsi utamanya sama iaitu mewakili Malaysia di luar negara, terdapat beberapa perbezaan asas antara ketiga-tiga perwakilan ini.


Kedutaan

Kedutaan (Embassy) ialah pejabat perwakilan rasmi Malaysia di negara-negara bukan anggota Komanwel, seperti Jepun, Turki, Arab Saudi dan Perancis. Ketua kepada kedutaan dikenali sebagai Duta Besar (Ambassador).


Kedutaan berperanan dalam menjalankan hubungan diplomatik, politik, ekonomi dan kebudayaan antara Malaysia dan negara tuan rumah.


Pesuruhjaya Tinggi

Pesuruhjaya Tinggi (High Commission) pula ialah perwakilan Malaysia di negara-negara Komanwel seperti United Kingdom, Australia, India dan Singapura. Ia diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi (High Commissioner). Fungsinya hampir sama dengan kedutaan, cuma istilahnya berbeza kerana negara-negara berikut pernah berada di bawah jajahan British.


Sama seperti kedutaan, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia memainkan peranan penting dalam:

  • Mengukuhkan kerjasama dua hala antara kerajaan.
  • Membantu pelajar dan rakyat Malaysia yang tinggal di negara tersebut.
  • Mempromosikan kepentingan ekonomi, pelaburan dan pendidikan Malaysia.


Konsulat

Sementara itu, Konsulat atau Konsulat Jeneral (Consulate / Consulate-General) ialah pejabat tambahan Malaysia yang ditempatkan di bandar utama selain ibu negara, contohnya Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Hong Kong dan Los Angeles. Ia diketuai oleh Konsul Jeneral (Consul-General)


Fokus utama konsulat ialah urusan rakyat Malaysia seperti pasport, visa dan bantuan kecemasan.


Kesimpulan Kecil

Secara umum, Kedutaan dan Pesuruhjaya Tinggi tertumpu kepada urusan diplomatik antara kerajaan, manakala Konsulat memberi tumpuan kepada urusan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara.


Asas Undang-undang dan Kekebalan Diplomatik

Peranan diplomatik ini diiktiraf melalui Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961 dan Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular 1963.


Kedua-duanya memberi kekebalan kepada diplomat dan pegawai konsular supaya mereka boleh menjalankan tugas tanpa gangguan daripada kerajaan negara tuan rumah.


Kawasan kedutaan dan pesuruhjaya tinggi dianggap sebagai kawasan rasmi negara asal, walaupun secara undang-undang ia masih terletak dalam wilayah negara tuan rumah. Pihak berkuasa tempatan tidak boleh sesuka hati masuk ke dalam kawasan ini tanpa kebenaran. Namun, semua diplomat tetap perlu menghormati undang-undang dan peraturan negara berkenaan.


Kepentingan Dalam Isu Global

Kepentingan peranan ini dapat dilihat dengan jelas dalam beberapa peristiwa antarabangsa yang melibatkan rakyat Malaysia.


Global Sumud Flotilla (2025)

Baru-baru ini, aktivis kemanusiaan Malaysia yang menyertai misi bantuan ke Gaza telah ditahan oleh pihak berkuasa Israel. Disebabkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Israel, kerajaan tidak boleh berunding secara terus. Dalam hal ini, Wisma Putra menggunakan saluran diplomatik melalui negara ketiga seperti Jordan, Turkiye, Mesir, Amerika Syarikat dan negara ASEAN untuk mendapatkan maklumat dan membantu pembebasan aktivis berkenaan. Malaysia tidak ada hubungan dengan Israel kerana negara kita tegas menyokong perjuangan Palestin.


Insiden ini menunjukkan bahawa jaringan diplomasi antarabangsa sangat penting dalam melindungi rakyat Malaysia di luar negara.


Pemindahan Rakyat Malaysia di Sudan (2023)

Semasa konflik bersenjata berlaku di Sudan, Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum memainkan peranan besar dalam menyelamatkan rakyat Malaysia melalui operasi pemindahan darurat. Usaha ini dijalankan dengan kerjasama kerajaan Arab Saudi dan Mesir bagi memastikan keselamatan semua warganegara terjamin.


Pandemik COVID-19 (2020–2021)

Ketika sekatan penerbangan dan penutupan sempadan berskala global, ramai rakyat Malaysia terkandas di luar negara. Kedutaan dan pesuruhjaya tinggi membantu menguruskan penerbangan khas, dokumen perjalanan dan tempat tinggal sementara untuk membawa mereka pulang dengan selamat.


Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah (Arab Saudi) – Bantuan kepada Jemaah Haji dan Umrah

Konsulat Malaysia di Jeddah merupakan antara yang paling aktif di dunia kerana:

  • Ia berperanan membantu jemaah haji dan umrah Malaysia yang menghadapi masalah kehilangan pasport, kemalangan, atau ditahan pihak berkuasa Arab Saudi.
  • Sebagai contohn, setiap musim haji, konsulat akan membuka kaunter khas Tabung Haji dan Imigresen sementara bagi mengeluarkan dokumen perjalanan baharu.
  • Dalam kes kematian jemaah di Tanah Suci, konsulat juga membantu urusan pengebumian atau pemindahan jenazah.


Peranan Dalam Pentadbiran dan Diplomasi Negara

Dari sudut Sains Pentadbiran dan Hubungan Antarabangsa, kedutaan, pesuruhjaya tinggi dan konsulat merupakan pelaksana dasar luar negara yang dikawal selia oleh Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra). Mereka menjadi:

  • Saluran rasmi komunikasi antara kerajaan Malaysia dan kerajaan negara lain.
  • Pelindung hak serta kebajikan rakyat Malaysia di luar negara.
  • Wajah dan imej negara Malaysia di mata dunia.


Kehadiran mereka menunjukkan kecekapan sistem pentadbiran awam serta pendekatan diplomasi damai yang diamalkan Malaysia dalam arena antarabangsa.


Kesimpulan

Kesimpulannya kedutaan, pesuruhjaya tinggi dan konsulat Malaysia memainkan peranan penting dalam melindungi rakyat, memperkukuh hubungan antarabangsa dan menjaga nama baik negara.


Institusi ini bukan sekadar pejabat rasmi, tetapi simbol kedaulatan dan kebajikan negara Malaysia di luar sempadan.


Sebagai rakyat Malaysia, kita wajar memahami fungsi dan kepentingan mereka. Hal ini demikian kerana di sinilah letaknya nadi diplomasi, pentadbiran dan maruah negara Malaysia yang sebenar di peringkat antarabangsa.


Sekian, terima kasih.


Ahmad Azeem bin Ahmad Raslan (AZAR)

Alumni Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) UiTM
Diploma Pentadbiran Awam, 2013-2016
Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kepujian), 2016-2018
Ijazah Sarjana Eksekutif Sains Pentadbiran, 2018-2020


#Azaraslan #FSPPP #SiriPentadbiranAwam

Post a Comment

Terbaru Lebih lama

Baju Hujan Tahan Lasak Kalis Air

Maxtag Touch N Go Smart Tag Holder