Tahun 2020: Tahun Yang Penuh Pancaroba




2020. Tahun yang penuh pancaroba.

Sepanjang tahun 2020, banyak cabaran, rintangan yang perlu saya lalui untuk bina kembali kerjaya dari bawah.

Jawatan akhir saya di syarikat lama ialah sebagai Ketua Jabatan. Saya berhenti kerja kerana krisis syarikat yang amat teruk. Krisis tersebut membuatkan hidup saya terumbang-ambing untuk jangka masa yang lama. Impaknya sangat negatif, tapi saya cuba cari cahaya sepanjang jalan. Terima kasih kepada orang sekeliling yang beri sokongan kepada saya.

Saya menganggur dari Jun 2019 sehingga akhir bulan Februari 2020. 8 bulan menganggur. 297 percubaan memohon kerja di pelbagai medium dan tempat, 55 kali hadir sesi temuduga, akhirnya rezeki saya berada di INSKEN.

Minggu kedua masuk office, kena demam denggi pula. Maka masuklah Hospital Shah Alam. Dugaan sungguh. Macam-macam fikir. Dah la baru kerja. Kerja banyak lagi tak siap. Mujurlah majikan memahami situasi dan memberi sokongan moral. Terima kasih keluarga dan buah hati kerana ada waktu saya rebah.

Kemudian PKP pada 18 Mac. Kami di INSKEN, terus buat pelan tindakan bagaimana mahu membantu usahawan yang terjejas akibat COVID-19. Waktu kritikal antara bulan Mac sampai Jun, memang sibuk gila, demi membangunkan usahawan dan ekonomi negara melalui inisiatif INSKEN. Penat? Ya. Rasa puas dapat membantu mereka? Semestinya.

Ni belum cerita perjalanan Master saya lagi. Fuhh, memang berpeluh kalau fikir balik. Tak tidur malam nak siapkan research, padahal esok tu kena masuk office. Kitaran tidur memang terumbang ambing. Banyak kali juga MC dan terpaksa ambil cuti untuk selesaikan urusan Master. Alhamdulillah, saya berjaya graduate-on-time dengan keputusan yang memberangsangkan.

Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM)? Ya, ni juga perkara yang memberi makna dalam hidup. Perasaan membantu frontliners dari segi urusan logistik, kemudian kita sendiri pula jadi frontliners, memang suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Penat? Memang penat, tapi perasaan membantu negara yang sedang sarat dengan wabak ni, memberi kepuasan dalam hidup saya. Lagi-lagi kita dapat berbakti dalam misi kemanusiaan bersama orang rapat dan orang tersayang.

Saya juga diberikan mandat baru sebagai Pen. Komandan BSMM VAD 44 Shah Alam. Makin tambah paku di bahu, makin tinggi tanggungjawab dipikul. Moga mampu melaksanakan tugas dengan baik.

Kesimpulannya, tahun 2020 memang penuh pancaroba. Pelbagai jerih perih perlu dilalui, menyusur onak dan duri. Namun dalam setiap kesusahan pasti ada kemudahan. Dalam setiap cabaran pasti ada kemanisan di akhirnya.

Semoga tahun 2021 menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya.












Tags

Catat Ulasan

0 Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad

Below Post Ad

HTML/JavaScript