10 Cabang Hala Tuju Ahli Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Selepas Sekolah dan SPM


Anda telah dapat 6 lencana kecekapan, seterusnya dapat lencana pemimpin, sekali gus anda ada 7 lencana yang dijahit di bahagian lengan kiri. Tahniah! Anda merupakan ahli aktif! Okay sekarang ni, apa hala tuju lepas sekolah? Anda tahu tak? Jika tak tahu, jom baca artikel saya sampai habis!

Anda akan dapat lihat sebenarnya BSMM menawarkan pelbagai peluang untuk diceburi!


Antara Petugas Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SKAM 3, Tragedi Banjir Shah Alam 2021


Kursus Pemimpin Kadet Belia BSMM Daerah Petaling 2022

Selingan sedikit:

"Awak cikgu sekolah ke?"

"Hai cikgu, hari ni ada aktiviti sekolah ke? (Sebab pakai baju BSMM hari sabtu)

"Eh, cikgu ada aktiviti sekolah ke hari ahad? (Sebab pakai baju BSMM hari ahad)

"Student universiti ke?"

"Doktor, oh doktor!" (Skrip sama untuk MA, Nurse) - Biasanya skrip ni akan ada pada waktu bencana, first aid standby atau menjaga pusat pemindahan sementara (PPS)

Skrip di atas ni saya dah biasa dan lali dengar sejak 9 tahun lepas.

Biasanya begini la. Kalau bukan student, maka jadilah cikgu. Kalau bukan kedua-duanya, maka kami jadilah doktor, nurse, MA dan sebagainya. Hehehe.

Sering kali juga saya mendengar soalan, "Ada lagi ke BSMM selepas sekolah?". Jawapannya ada.

Anda dah memenuhi skim lencana. Semua lencana dah dapat. Sekarang, macam mana? Takkan terkubur macam tu je?

Selepas peringkat sekolah, masih ada lagi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM). BSMM tidak terhenti setakat di sekolah sahaja. BSMM lebih dari itu. BSMM adalah rangkaian dalam badan kemanusiaan terbesar di dunia. BSMM mempunyai lebih daripada 190+ negara yang mempunyai fungsi sama, cuma namanya berbeza sama ada palang merah, bulan sabit merah atau kristal merah.

Artikel ini sesuai untuk guru-guru, pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah yang nak tahu apa yang BSMM tawarkan selepas tamat persekolahan. Sama-sama kita educate dan beri awareness kepada warga sekolah mengenai masa depan mereka dalam BSMM.

Berikut adalah pecahan hala tuju ahli BSMM selepas sekolah dan SPM:

Hala Tuju Ahli BSMM Selepas SPM



SERTAI PASUKAN BANTUAN SUKARELA (PBS)

Pasukan Bantuan Sukarela (PBS) atau lebih dikenali sebagai Voluntary Aid Detachment (VAD) ialah pasukan individu dewasa BSMM berumur 18 tahun dan ke atas. Pasukan ini boleh disertai seawal peringkat umur lepasan SPM.

BSMM ada ibu pejabat kebangsaan di Kuala Lumpur, dan ibu pejabat di setiap negeri di Malaysia. Di setiap negeri, ada BSMM di peringkat daerah/cabang. Di bawah setiap daerah/cabang, akan ada unit. Unit inilah yang kita rujuk sebagai PBS atau VAD.

Kebiasaannya, satu pasukan VAD terdiri daripada 20-40 anggota (juga dipanggil sebagai ahli PBS/VAD) dan diketuai oleh komandan yang melapor diri kepada Jawatankuasa BSMM Daerah masing-masing.

Setiap VAD mempunyai carta organisasinya masing-masing iaitu terdiri daripada komposisi berikut:

  • Komandan
  • Pen. Komandan
  • Kuartermaster
  • Ketua Seksyen Utama / Ketua Utama Seksyen
  • Ketua Seksyen
  • Penolong Ketua Seksyen

*Komandan, Pen. Komandan dan Kuartermaster (QM) adalah pegawai unit, dan layak memakai pangkat paku / pip. Gelaran mereka ialah tuan dan puan. Komandan (3 paku), Pen. Komandan (2 paku), Kuartermaster (1 paku).

*Ketua Seksyen Utama dikira Non-Commissioned Officer (NCO). Satu tangga lagi untuk jadi pegawai. Layak memakai pangkat epolet kosong.

*Ketua Seksyen dan Penolong Ketua Seksyen ibarat Ahli Jawatankuasa Unit yang menggerakkan portfolio tertentu. Ketua Seksyen layak memakai 3 stripe / jalur iaitu Sarjan. Penolong Ketua Seksyen layak memakai 2 stripe / jalur iaitu Korporal.


AKTIVITI DALAM PBS

Terdapat banyak aktiviti dalam PBS. Aktiviti dalam PBS bersifat matang, maju, dinamik dan menarik. Aktiviti yang dijalankan oleh PBS adalah seperti berikut:

  • Perkhidmatan Ambulans & Reaksi Kecemasan
  • Bantuan Krisis, Bencana & Operasi Menyelamat
  • Khidmat Komuniti & Khidmat Masyarakat
  • Kempen / Program Derma Darah
  • Khidmat Pertolongan Cemas
  • Pengurusan & Pentadbiran
  • Kursus Pensijilan & Kompetensi seperti Kursus Pertolongan Cemas Asas, Kursus Rawatan Rumah, Kursus Pendidikan Kesihatan, Kursus Bantuan Bencana & Operasi Menyelamat, dll
  • Perkhemahan BSMM
  • Program Atas Talian
  • Forum, Seminar, Konvensyen
  • Pasukan Sokongan Psikososial dan Kesihatan Mental (MHPSS)
  • Dan banyak lagi.


KELEBIHAN MENJADI AHLI PBS

Terdapat pelbagai kelebihan dan kebaikan menjadi ahli PBS, antaranya seperti berikut:

  • Ahli PBS didedahkan terhadap latihan mengenai pertolongan cemas. Latihan yang dimaksudkan adalah seperti Basic Life Support (BLS), Kursus Pertolongan Cemas Asas (PCA) dan Kursus Pertolongan Cemas Lanjutan (PCL) yang memerlukan ahli PBS mengendalikan peralatan perubatan yang canggih. Ahli PBS juga diberikan latihan mengenai Perkhidmatan Ambulans yang membolehkan mereka memandu ambulans (pilot) atau menjadi krew ambulans (crew). Setiap latihan yang diberikan mengenakan caj yang amat rendah atau tiada caj langsung. Setiap latihan yang ada, anda boleh pilih untuk turut serta ataupun tidak. Tiada paksaan.
  • Menjadi ahli PBS membuka peluang untuk seseorang individu menjalin rangkaian (networking) dan belajar sesuatu daripada ahli lain, belajar daripada program dan pengalaman. Ahli PBS terdiri daripada individu daripada pelbagai lapisan umur, masyarakat dan kerjaya yang berkongsi minat yang sama untuk berkhidmat kepada masyarakat. Ada yang bekerja dalam kerajaan, separa kerajaan, swasta dan sebagainya.
  • Jika sebelum ini anda daripada pergerakan belia, PBS merupakan platform yang terbaik untuk meneruskan khidmat dan minat anda selepas meninggalkan sekolah. Ini akan memastikan anda tidak mensia-siakan pengalaman dan pengetahuan yang telah anda perolehi sepanjang berkhidmat dalam BSMM di peringkat sekolah.
  • Berada dalam PBS juga memberi anda peluang untuk menjadi pemimpin dalam BSMM. Ramai juga ahli BSMM yang memegang jawatan di Jawatankuasa Daerah/Cabang, Negeri dan Kebangsaan, sebenarnya memulakan perjalanan mereka sebagai ahli PBS. Mereka bermula dari bawah.


BAGAIMANA UNTUK SERTAI PBS?

Zaman sekarang semuanya online sahaja. Anda boleh daftar di https://mrcscommunity.org.my. Zaman dahulu kala, sesiapa yang berminat perlu mengambil borang di pejabat daerah. Sekarang tidak lagi.


PBS ADA DI MANA?

Boleh turut serta PBS di bawah daerah masing-masing.

Boleh juga turut serta PBS BSMM di bawah universiti / kolej / pra-universiti / kolej tingkatan enam.


PILIHAN KEDUA: SERTAI KOKURIKULUM BSMM DI UNIVERSITI / KOLEJ

Ada sedikit perbezaan antara kokurikulum dan PBS. Kokurikulum ni biasanya semester 1 hingga semester 3 sahaja. Kemudian, habis koko.

Kalau nak sambung BSMM lepas koko, jom masuk PBS!


PILIHAN KETIGA: SERTAI KADET BSMM DI UNIVERSITI / KOLEJ

Di universiti terpilih, akan ada Program Kor Sukarelawan Polis (SUKSIS). Ada juga Program Kor Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Askar Wataniah.

BSMM ada ke program macam ni? Jawapannya, ada. Namun, di universiti tertentu sahaja.

Antara universiti yang menawarkan program sebegini ialah BSMM Cabang UiTM Puncak Alam.

Biasanya lepas mengikuti program ini, ahli BSMM tersebut akan meneruskan minatnya dalam PBS di luar universiti.


-----


SASARAN DAN HALA TUJU DALAM PBS

Okay sekarang anda dah turut serta PBS. Apa lagi yang anda boleh sasarkan dalam PBS ni? Berikut adalah hala tuju yang boleh disasarkan:


01. JURULATIH BSMM

Carta Alir


Ingat tak zaman sekolah dulu, akan ada pegawai BSMM datang mengajar kursus, kemudian jika anda lulus, anda dapat sijil? Sebagai contoh, sijil Kursus Pertolongan Cemas Asas (PCA). Mereka itu adalah jurulatih BSMM bertauliah.

Anda berminat untuk mengajar? Sekiranya jawapan anda ya, anda boleh lengkapkan sijil-sijil berikut untuk melayakkan diri bagi memohon lencana jurulatih.

KURSUS ASAS

  • Kursus Pendidikan Palang Merah Bulan Sabit Merah & Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa
  • Kursus Pertolongan Cemas Asas (PCA)
  • Kursus Pendidikan Kesihatan Asas
  • Kursus Rawatan Rumah (Home Nursing)
  • Kursus Bantuan Bencana & Operasi Menyelamat (BBOM)


KURSUS LANJUTAN

  • Kursus Pertolongan Cemas Lanjutan
  • Kursus Pengurusan & Pentadbiran


KURSUS UNTUK MELAYAKKAN DIRI ANDA SEBAGAI JURULATIH

Sekiranya anda dah dapat 7 kursus ni, anda boleh duduki kursus yang terakhir sebelum memohon kejurulatihan iaitu: Kursus Kaedah Mengajar.


KURSUS UNTUK MELAYAKKAN DIRI ANDA SEBAGAI JURULATIH KANAN

Sekiranya anda dah dapat 8 kursus di atas, anda boleh duduki kursus Bantuan Hidup Asas / Basic Life Support (BLS) dan Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (UUKA) untuk melayakkan diri anda menjadi Jurulatih Kanan.

Nak jadi Jurulatih Kanan ada syarat tambahan seperti:

  • Telah menyempurnakan 30 jam pengajaran bagi tiap-tiap tahap asas dan lanjutan
  • Telah menyempurnakan sekurang-kurangnya 5 Program One First Aider in Every Home setiap tahun.
  • Menyempurnakan 3 tahun khidmat sebagai jurulatih


Jadi jurulatih bertauliah ni, kita layak diberikan elaun.

Elaun jurulatih adalah seperti berikut:

  • Jurulatih Kanan = RM40 sejam
  • Jurulatih = RM40 sejam
*Kutipan di atas merujuk kepada pihak luar yang memanggil jurulatih BSMM (kecuali pihak-pihak tertentu yang mendapat pengecuali seperti hospital kerajaan, Angkatan Tentera DiRaja Malaysia, dll)
*Bayaran tidak diberikan kepada jurulatih yang mengajar ahli BSMM. Walau bagaimanapun, kos perbelanjaan jurulatih akan ditanggung sepenuhnya oleh penganjur. Jika ada bayaran, itu adalah token penghargaan.


SEBAGAI JURULATIH, ANDA:

  • Boleh menjana pendapatan sampingan melalui kejurulatihan;
  • Boleh mengajar ilmu Pertolongan Cemas Asas (PCA), Pertolongan Cemas Lanjutan (PCL) di industri perkilangan dan sebagainya;
  • Boleh mengajar kokurikulum BSMM di kolej atau universiti;
  • Menjadi role model kepada ahli BSMM yang lain.


Sekiranya anda ingin menetapkan hala tuju sebagai jurulatih BSMM, berikut adalah jalan yang perlu dilalui.

Paling utama, duduki sijil-sijil yang disebutkan di atas terlebih dahulu.


02. PINGAT ATAU ANUGERAH BSMM

Pernah nampak pegawai BSMM pakai pingat atau colour bar penuh di dada? Mereka dapat pingat tu atas pengiktirafan tertentu. Setiap pingat ada syarat tersendiri untuk mendapatkannya. Boleh lihat keterangan dalam gambar di bawah untuk maklumat lanjut:



Pingat & Anugerah BSMM


Pingat terkini ialah Pingat Semangat Kemanusiaan COVID-19. Boleh baca di sini untuk maklumat lanjut: https://www.azaraslan.com/2022/02/pingat-semangat-kemanusiaan-covid-19.html.


Pingat Semangat Kemanusiaan COVID-19



Sekiranya anda teringin nak pakai pingat seperti ini, anda perlu usaha sebaiknya. Apa yang penting, kita berbakti kerana agama, bangsa dan tanah air, bukan kerana inginkan populariti semata-mata.


03. RAPID DEVELOPMENT SQUAD (RDS)






Anda bayangkan polis ada skuad khas. Sama juga dengan askar dan bomba, masing-masing ada skuad khas. BSMM ada ke? Jawapannya, ADA. Mereka dipanggil Skuad Gerak Cepat atau nama glamornya ialah Rapid Development Squad (RDS).

Antara impian saya dalam BSMM ialah ingin menyarung baju merah penuh ini. Sungguhpun begitu, saya mempunyai banyak komitmen, maka saya tidak boleh memberi komitmen terhadap RDS. InsyaAllah mungkin suatu hari nanti, jika diizinkan Tuhan, tercapai jua hasrat ini.



Latihan Simulasi Antara-Agensi Daerah Keningau Negeri Sabah telah dijalankan.
Agensi yang terlibat ialah BOMBA, PDRM, BSMM, APM, KKM dan RELA.


Unit Khas Mencari dan Menyelamat Skuad Gerak Cepat (RDS) di bawah Unit Pengurusan Bencana BSMM IPK merupakan unit khas BSMM yang dilatih dengan kemahiran teknikal dan taktikal tertentu bagi membantu operasi menyelamat sewaktu bencana, kecemasan serta krisis, seiring dengan peranan Bulan Sabit Merah Malaysia sebagai badan sokongan kerajaan yang diberikan amanah dan tanggungjawab serta mandat seperti yang tertera didalam Arahan Majlis Keselamatan Negara no 18, 20 dan 21.

Nak jadi ahli RDS ni bukan senang. Banyak kriteria yang perlu dipenuhi. Banyak ujian yang dibuat untuk memilih calon yang terbaik.

Tengok video promo RDS ni: https://www.youtube.com/watch?v=3ftoEPyP23g

Rasa meremang woo!

Siapa yang boleh turut serta? Untuk makluman, Ianya adalah terbuka kepada semua sukarelawan dan staff BSMM yang berdaftar dan memenuhi kriteria seperti yang diperlukan.

Ujian fizikal RDS adalah seperti dibawah:

  • Ujian asas pengetahuan Bulan Sabit Merah Malaysia.
  • Ujian kecergasan litar (Push up, Sit up, Star Jump).
  • Larian 2.4km dalam tempoh ditetapkan.
  • Mengangkat beban seberat 50kg bagi lelaki dan 30kg bagi wanita.
  • Mengangkat dan menjulang tangga.
  • Ujian fobia ketinggian.


Kriterianya macam mana pula? Haa macam ni:

  • Terbuka kepada semua anggota sukarelawan / staff Bulan Sabit Merah Malaysia dan memiliki keahlian yang tidak tamat tempoh
  • Berumur 25-35 tahun dan memiliki ketinggian 160cm (lelaki) 150cm (Wanita) tanpa sepatu
  • Memiliki tubuh badan yang sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit kronik, rabun warna, kurang pendengaran dan telah disahkan oleh pengamal perubatan berdaftar
  • Memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia dan lulus Bahasa Malaysia / Bahasa Melayu (termasuk lulus Ujian Lisan) pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan
  • Memiliki Sijil Pertolongan Cemas Lanjutan (Advance First Aid) yang masih sah tempoh. Calon yang memiliki Sijil Basic Life Support (BLS) amatlah dialu alukan
  • Memiliki sijil Bantuan Operasi dan Menyelamat (BBOM)
  • Bagi calon yang memiliki Sijil State Disaster Response Team amatlah dialukan
  • Mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 2 tahun dalam tugas-tugas di lapangan terutamanya dalam respons bencana
  • Berminat untuk menjalankan tugas-tugas yang mencabar seperti menyelamat dan tugas-tugas respons di lapangan yang memerlukan ketahanan mental dan fizikal


Normal practice, anggota sukarelawan / staff yang berjaya dalam sesi pemilihan akan dimaklumkan melalui email dan surat rasmi ke BSMM Negeri dan diminta untuk menghadiri sesi latihan seterusnya. Saringan akan diteruskan sehinggalah mendapat calon terbaik pada akhirnya.

Jika berminat, boleh sentiasa check Facebook, website, Instagram, LinkedIn BSMM. Seingat saya recruitment RDS ni sekali setahun, dan akan dijalankan oleh pihak Ibu Pejabat Kebangsaan (IPK) BSMM.


04. STATE DISASTER RESPONSE TEAM (SDRT)

Pasukan eWASH, DECON Team
Sumber Gambar: FB BSMM Negeri Selangor

Frontliner Hospital Selayang COVID-19
Sumber Gambar: FB BSMM Negeri Selangor



Berdasarkan tajuk no 4 ini, fungsinya sama seperti RDS, cuma SDRT fokus pada negeri. Jika sesebuah negeri itu menghadapi bencana, maka SDRT akan turun padang terlebih dahulu.

Untuk menjadi pasukan SDRT, anda perlu disiap siaga dengan ilmu dan kemahiran terlebih dahulu.

Kriteria SDRT lebih kurang macam RDS, cuma mungkin tidak seketat RDS la.

Ada juga kursus-kursus tertentu yang perlu ada atau diambil seperti:

  • Program Latihan atau Kursus eWASH (Emergency Water And Sanitation Hygiene)
  • Kursus Bantuan Bencana & Operasi Menyelamat (BBOM)
  • Kursus Pertolongan Cemas Asas (PCA)
  • Kursus Pertolongan Cemas Lanjutan (PCL) - Lebih bagus jika ada
  • Kursus Pertolongan Cemas Psikososial - Jika ada memang bagus


Bila ada kursus dan latihan, barulah kita rasa lebih berkeyakinan dan kompeten untuk turun padang.

Info berkenaan SDRT ni boleh didapatkan daripada Jawatankuasa BSMM Daerah atau Negeri.


05. JAWATANKUASA BELIA BULAN SABIT MERAH MALAYSIA DAERAH/CABANG, NEGERI DAN KEBANGSAAN

Majlis Belia Kebangsaan (NYC) BSMM ditubuhkan untuk menambah baik struktur belia BSMM dan memperkasa ahli belia BSMM berumur 18-30 tahun. Penubuhannya dijelaskan di bawah Bahagian VI Perlembagaan PBSMM terkini (diluluskan pada 24 April 2021 di mana NYC terdiri daripada 10 Ahli Jawatankuasa. Majlis Belia perlu ditubuhkan di peringkat BSMM negeri, daerah dan cabang seperti yang diterangkan dalam garis panduan.

Nak memperkasa ahli belia (18-30 tahun), boleh turut serta JK Belia. Di sini anda boleh belajar cara mentadbir urus sebuah jawatankuasa.

Portfolio ditentukan oleh JK Belia sendiri. Pengerusi bersama AJK Tertinggi akan menentukan portfolio yang bersesuaian.

Setiap portfolio boleh menubuhkan sub-committee / jawatankuasa kecil di bawahnya. Hal ini bergantung kepada kapasiti yang diperlukan, dan keperluan daripada ketua portfolio itu sendiri.






Saya adalah Pengerusi Belia, Jawatankuasa Belia BSMM Daerah Petaling Sesi 2021/2024. Makna kata saya adalah pengerusi belia pertama untuk daerah.

Aspirasi saya sebagai pengerusi ialah untuk memperkasa belia dalam pelbagai aspek, khususnya belia sebagai tunjang utama membantu negara dan komuniti sekiranya berlaku bencana, kecemasan dan krisis.

BSMM adalah badan sokongan kerajaan. Peranan BSMM sangat besar. Dengan inisiatif yang betul dan mantap, kita boleh mendidik orang awam, beri nafas baharu pada belia dan boleh keluar daripada persepsi "BSMM ni NGO / setakat sekolah sahaja / terdiri daripada cikgu-cikgu / budak universiti".

Jika ada yang berminat untuk menjadi sub-committee (ahli BSMM atau bukan ahli), boleh contact saya terus di azeem.bsmm@gmail.com, bsmmyouth.petaling@gmail.com atau di talian +60 11-5425 4705.

Terima kasih.

Ahmad Azeem Bin Ahmad Raslan (AZAR)
Pengerusi Jawatankuasa Belia
BSMM Daerah Petaling 2021/2024


PERGERAKAN BELIA

Untuk mengetahui gerakan belia, boleh join group rasmi ini: 

https://t.me/mrcyouth


06. JAWATAN DI UNIT, DAERAH/CABANG, NEGERI DAN KEBANGSAAN

Jawatan saya yang terkini, menyandang pangkat 3 paku / pip, selaku Pengerusi Belia Jawatankuasa Belia Bulan Sabit Merah Malaysia Daerah Petaling


Teringin nak pakai pangkat bintang, crown, pip?

Nak pakai paku di bahu, ilmu BSMM mesti kena tahu.

Nak tahu lebih lanjut mengenai BSMM? Pastikan ada sedikit sebanyak ilmu pengetahuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM*) melalui pemahaman Akta 540 (Pemerbadanan PBSMM*) 1965, Akta 162 (Pertukaran Nama PPMM* ke PBSMM) 1975, Handbook No. 1 sehingga Handbook No. 12 serta Akta 512 (Geneva Convention Act) 1962.

Nak pegang jawatan di peringkat tertinggi, pastikan anda kumpul pengalaman dan jadi seorang ahli aktif.

Nak memegang jawatan, kena ada sijil asas dan lanjutan tertentu.

Nak pegang jawatan ni, kena bertanding kerusi. Sebab itu kena aktif supaya orang nampak kredibiliti, keaktifan anda. Anda perlu raih undi daripada jawatankuasa dan ahli yang hadir mesyuarat agung.

Berikut adalah lampiran pemakaian pangkat dalam BSMM:




Sumber Gambar: Wordpress BSMM Terengganu


07. MRC YOUTH 100 TASK FORCE


MRC YOUTH 100 ialah sebuah pasukan belia berumur 18-30 tahun di Ibu Pejabat Kebangsaan BSMM. Pasukan ini diwujudkan bagi membantu inisiatif IPK dalam melaksanakan tugasan dan projek tertentu.

Objektif penubuhan MRC YOUTH 100 adalah seperti berikut:

  • Untuk menggalakkan golongan belia menyertai program Bulan Sabit Merah Malaysia.
  • Membantu dalam projek dan aktiviti Bulan Sabit Merah Malaysia di peringkat kebangsaan.
  • Melatih ahli belia dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman bagi memastikan golongan ini berupaya untuk yang menyokong negara dalam pelaksanaan pembangunan organisasi BSMM seluruh negeri di Malaysia.
  • Melatih Ahli Belia Bulan Sabit Merah Malaysia menjadi pemimpin belia yang mampu berbakti kepada masyarakat dan negara, berlandaskan 7 prinsip palang merah bulan sabit merah.


Kelebihan menjadi ahli MRC YOUTH 100 adalah seperti berikut:

  • Dapat menimba ilmu dan kemahiran mengenai Palang Merah/Bulan Sabit Merah, pembangunan belia dan kesukarelawanan.
  • Dapat menyertai pelbagai program dan latihan yang diadakan oleh Bulan Sabit Merah Malaysia.
  • Peluang untuk menyertai pelbagai program belia antarabangsa.
  • Mendapat pengalaman internship.
  • Sijil penghargaan (sekiranya cukup kriteria iaitu berbakti selama 60 jam di BSMM negeri masing-masing dan 60 jam di IPK BSMM).
  • Membina rangkaian (networking) bersama Ahli BSMM pelbagai lapisan umur, masyarakat, latar belakang pendidikan dan profesion.


08. SUKARELAWAN AMBULANS

Ambulans di Ibu Pejabat Kebangsaan BSMM.


Pasukan Ambulans BSMM Negeri Selangor telah bergegas ke tempat kejadian insiden dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung di KLCC.



Anda berminat nak jadi ambulance crew atau ambulance driver / pilot? Dalam BSMM, kita ada perkhidmatan ambulans.

Berikut adalah sejarah mengenai perkhidmatan ambulans BSMM, dipetik daripada laman sesawang rasmi BSMM sendiri:

Bulan Sabit Merah Malaysia mula menyediakan Perkhidmatan Ambulans Kecemasan pada Mei 1969 selepas mengambil alih talian bantuan kecemasan 999 daripada Hospital Besar Kuala Lumpur. Perkhidmatan ambulans ini dilancarkan pada 4 Jun 1969, dengan persetujuan antara kerajaan dan BSMM, dengan kerjasama daripada Kementerian Perpaduan dan Pembangunan Sosial, dan Kementerian Kesihatan. Dari semasa ke semasa, kualiti perkhidmatan telah bertambah baik dan pada masa ini BSMM menyediakan perkhidmatan ambulans sepenuh masa kepada orang ramai untuk kecemasan, kemalangan dan kecederaan.

BSMM turut menawarkan perkhidmatan siap sedia ambulans (ambulance standby) untuk pemindahan pesakit (patient transfer), perhimpunan awam, hari keluarga, acara sukan, pameran, konsert dan banyak lagi pada kadar yang berpatutan.

Ambulance crew dan pilot terdiri daripada staf BSMM dan sukarelawan BSMM. Sekiranya anda berminat untuk terlibat dengan ambulans, anda boleh menjadi sukarelawan ambulans. Akan akan diberikan latihan dan kemahiran sebelum melakukan tugasan sebenar. Anda juga akan dibimbing oleh pegawai atau sukarelawan berpengalaman dalam mengendalikan kes, sehinggalah pegawai dan sukarelawan melihat anda sudah bersedia untuk menjalankan tugasan dengan pengawasan kadar minimum.

Nak jadi sukarelawan ambulans ni, anda perlu ada sijil berikut:

  • Kursus Pertolongan Cemas Asas (PCA)
  • Kursus Pertolongan Cemas Lanjutan (PCL)
Sekiranya anda berminat untuk menjadi ambulance driver / pilot, anda perlu ada lesen D penuh, bukan DA (automatik), sebab ambulans menggunakan gear manual.


09. BEKERJA DENGAN BULAN SABIT MERAH MALAYSIA

BSMM ni menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor. Anda boleh pergi ke laman media sosial rasmi, laman sesawang rasmi, Jobstreet, LinkedIn Bulan Sabit Merah Malaysia / Malaysian Red Crescent untuk melihat jawatan terkini (jika ada).

Laman sesawang rasmi: https://www.redcrescent.org.my

LinkedIn: https://www.linkedin.com/company/malaysian-red-crescent/

Jobstreet: https://www.jobstreet.com.my/en/companies/445803-malaysian-red-crescent


Pautan di atas ialah pautan Ibu Pejabat Kebangsaan BSMM. Ada juga BSMM negeri, daerah yang menawarkan jawatan kosong. Anda boleh search nanti. Paling mudah boleh check media sosial BSMM negeri dan daerah masing-masing.

Selain daripada kerja tetap / kontrak / separuh masa, pelajar tahun akhir yang nak jalani internship di BSMM pun boleh. Kebiasaannya, IPK BSMM ada menawarkan internship. Boleh emel IPK terus.

Jika anda nak explore international exposure, anda boleh la pertimbangkan untuk bekerja dengan International Federation of the Red Cross and Red Crescent Society (IFRC) atau International Committee of the Red Cross (ICRC).


10A. IBU PEJABAT IFRC DI GENEVA, SWITZERLAND

Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) ialah rangkaian kemanusiaan terbesar di dunia. Sekretariat IFRC menyokong Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah tempatan di lebih 192 negara, mengumpulkan hampir 15 juta sukarelawan untuk menjalankan aktiviti kemanusiaan.

Ibu Pejabat IFRC bertempat di Geneva, Switzerland. Jika anda mahu lihat tempat bermulanya pergerakan rangkaian kemanusiaan terbesar di dunia ini, maka bolehlah jadi ahli aktif sehingga mendapat perhatian BSMM daerah, negeri dan kebangsaan.

Jika anda beruntung, anda akan dipilih untuk mewakili BSMM ke Geneva dalam lawatan-lawatan tertentu. Sungguhpun begitu, ada kemungkinan kos penerbangan akan ditanggung sendiri atau ditanggung separuh. Jika anda beruntung, anda ditaja sepenuhnya. Kos-kos lain akan ditanggung oleh penganjur.


10B. MEWAKILI BSMM DALAM PROGRAM ANTARABANGSA

Ada lebih kurang 192 negara yang mempunyai pergerakan palang merah bulan sabit merah. Jauh perjalanan, luas pemandangan. Waktu ni la kita nak belajar budaya negara lain, belajar ilmu baharu, raih pengalaman baharu.

Pengalaman, ilmu, kemahiran yang dipelajari di negara orang, bolehlah bawa ke negara sendiri, kemudian diaplikasikan untuk kebaikan bersama.


10C. MISI KEMANUSIAAN ANTARABANGSA

Teringin tak untuk respon misi kemanusiaan di negara lain? BSMM biasa menghantar bantuan kemanusiaan di negara yang sedang menghadapi bencana dan sebagainya. Sewaktu Tragedi Banjir Tsunami di Indonesia, BSMM menghantar wakil ke sana bagi untuk misi kemanusiaan. Ni salah satu contoh. Anda juga boleh pergi, sekiranya anda mempunyai masa, tenaga, kepakaran, ilmu, kemahiran.

Misi Bantuan Kemanusiaan PBSMM Ke Gaza, Palestin 2010

Cerita Tn. Nasir Khan Abdul Rahman: 15 tahun berbakti dalam 46 misi, 26 negara

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/08/316179/15-tahun-berbakti-dalam-46-misi-26-negara


-----


BAGAIMANA UNTUK SERTAI BULAN SABIT MERAH MALAYSIA?

Zaman sekarang semuanya online sahaja. Anda boleh daftar di https://mrcscommunity.org.my. Zaman dahulu kala, sesiapa yang berminat perlu mengambil borang di pejabat daerah. Sekarang tidak lagi.

Haa amacam? Nampak menarik tak? Hehe. Jangan lepaskan peluang ini okay?

Sekian dahulu hala tuju ahli BSMM selepas sekolah dan SPM. Saya akan tambah lagi dari semasa ke semasa. Jika ada ahli BSMM yang otai-otai nak tambah, boleh komen di bawah ya.


KESIMPULAN




Di sini saya telah kumpulkan 10 hala tuju ahli BSMM selepas sekolah. Boleh baca satu persatu.

Sesuai untuk guru-guru, pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah yang nak tahu apa yang BSMM tawarkan selepas tamat persekolahan.

Sama-sama kita educate dan beri awareness kepada warga sekolah mengenai masa depan mereka dalam BSMM.

Perjalanan mereka boleh dibentuk dari belia lagi. Youth Empowerment.

Mohon maaf atas kekurangan. Semoga bermanfaat. Sekian, terima kasih!


Ahmad Azeem Bin Ahmad Raslan, PSK

Pengerusi Jawatankuasa Belia

Bulan Sabit Merah Malaysia Daerah Petaling

Sesi 2021/2024


#BSMM #EmpoweringYouth #MalaysianRedCrescent


https://www.redcrescent.org.my




Catat Ulasan

0 Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad

Below Post Ad

HTML/JavaScript