Pengalaman Sebagai Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majikan Pandang Ke?



Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera semua. Semoga semua sihat-sihat sahaja dan dipermudahkan segala urusan dalam kehidupan.

Entri kali ini saya ingin menyentuh topik mengenai Ahli Majlis Perwakilan Pelajar.

Umum mengetahui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) adalah sebuah badan persatuan induk yang mewakili seluruh mahasiswa dalam universiti tersebut. Untuk menjadi seorang ahli MPP, pelajar tersebut perlu bertanding dalam Pilihanraya Kampus (PRK).

Sekiranya anda menjadi seorang MPP, anda boleh menggunakan platform ini untuk membuka potensi diri.

Selaku MPP, anda akan:

  • Membina jaringan (networking) dengan berjumpa ahli parlimen, menteri, tokoh-tokoh korporat, MPP universiti lain, tokoh agama, ahli politik, majlis tertinggi persatuan dan banyak lagi
  • Mengasah soft skills seperti ilmu komunikasi berkesan, ilmu kepimpinan, ilmu pengurusan masa, ilmu pengurusan tekanan, ilmu pembentangan dan banyak lagi
  • Mengasah hard skills seperti membuat kertas kerja, menulis surat rasmi, presentation slides
  • Menimba pelbagai pengalaman melalui persidangan, konvensyen, program, kursus dan lain-lain
  • Mendapat peruntukan elaun tertentu (sebagai contoh: elaun telefon)


Banyak lagi perkara yang anda boleh dapat sebagai ahli MPP sekiranya anda betul-betul meneliti peluang yang ada.

Berikut adalah perjalanan saya selaku MPP. Boleh tekan SINI.

Jika anda buat kerja dengan baik, universiti dan mahasiswa akan ingat anda. Jika anda buat kerja sambalewa, universiti dan mahasiswa juga tetap akan ingat anda.

Maka selaku MPP, mereka perlulah melaksanakan tanggungjawab sehabis baik untuk kemaslahatan mahasiswa dan universiti.

MPP ni biasanya akan jadi popular dalam kampus atau universiti.

Sungguhpun begitu, bagaimana jika anda dah habis penggal selaku MPP? Bagaimana jika anda telah tamat belajar?

  • Adakah jawatan MPP itu memberi impak semasa temuduga kerja?
  • Majikan pandang ke jawatan MPP ni?


Saya ada jawapan untuk soalan tersebut. Sungguhpun begitu, jawapan saya ini adalah berdasarkan pengalaman saya, pemerhatian saya, bacaan saya dan juga berdasarkan pengalaman orang lain. Saya tidak mewakili mana-mana pihak.

Okay tanpa melengahkan masa, jom kita mulakan.


ADAKAH JAWATAN MPP ITU MEMBERI IMPAK SEMASA TEMUDUGA KERJA?

Jawapannya, ya (dan tidak).

Perlu diingatkan bahawa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) adalah satu jawatan. Anda perlu  buktikan bahawa anda adalah MPP yang berkaliber.

Semasa temuduga, jika kita kata bahawa kita adalah seorang ahli MPP, jangan ingat penemuduga terus impressed dengan anda. Sebab apa? Sebab penemuduga nak tahu apa yang anda dah buat selaku MPP.

Tambahan pula, bila anda kata anda seorang ahli MPP, penemuduga akan uji cara anda menjawab soalan, mengolah jawapan. Mereka akan uji cara anda menyelesaikan masalah atau konflik.

Sekiranya anda sememangnya berkaliber (mempunyai ilmu kepimpinan, ilmu komunikasi berkesan dan dibuktikan dengan program dll), maka jawatan MPP itu akan memberi impak kepada anda dalam dunia kerjaya.

Sekiranya sewaktu temuduga lagi anda sudah terciduk, gagal menjawab soalan (tanya lain jawab lain), maka jawatan MPP itu akan memberi tamparan negatif buat anda.

Semasa saya aktif pergi interview kerja pada tahun 2019-2020, saya menghadiri satu temuduga yang memberi tamparan hebat kepada saya. Saya memberitahu penemuduga bahawa saya adalah seorang ahli MPP.

Maka penemuduga terus kata,

"So?"

Hahahah. Terdiam, terkesima saya. Rasa macam kena tampar bertubi-tubi, kena tembak atas dahi.

Mungkin penemuduga dah muak dan fed-up dengan MPP. Ataupun mungkin penemuduga ada pengalaman buruk dengan calon MPP.

Mungkin penemuduga dah masak dengan perangai calon MPP yang suka flex jawatan tapi hasil kerja tak semenggah atau cakap tak serupa bikin.

Apapun saya yakinkan penemuduga dengan memberitahu pengalaman saya, kemahiran saya dan sebagainya, Barulah respon dia berubah dari skeptikal menjadi positif.

Dari sini lah saya nampak bahawa jawatan MPP ni tiada makna sebenarnya, sekiranya tidak datang dengan kemahiran dan pengalaman yang boleh meyakinkan bakal majikan.

Bunyinya agak kasar tapi itulah realitinya.


MAJIKAN PANDANG KE JAWATAN MPP NI?

Jawapan saya sama seperti di atas, iaitu jawatan MPP hanya akan dipandang sekiranya kita membawa nama MPP tu dengan baik, melalui kemahiran dan pengalaman yang kita pamerkan semasa kerja.

Sebab itulah jawatan ini bukanlah sekadar mengejar populariti. Jawatan ini datang dengan tanggungjawab yang besar.

Jika kita betul-betul melaksanakan tanggungjawab itu sebaiknya, sememangnya jawatan MPP ni memanfaatkan kita dalam alam kerjaya. Sebab kita boleh guna kemahiran-kemahiran tersebut untuk kebaikan syarikat atau organisasi yang anda kerja.

Kena ingat satu perkara iaitu majikan cari orang yang boleh buat kerja. Tak kisah la anda MPP ke, AJK tertinggi persatuan ke apa ke, kalau anda tak memberi manfaat pada syarikat, maka syarikat tak akan ambil anda bekerja atau akan tamatkan kontrak kerja anda.


CONTOH 1:

Semasa anda dalam kepimpinan MPP, anda banyak membuat program. Setiap program yang dilakukan, pasti akan ada proses perancangan tentatif, perancangan kewangan, pembuatan kertas kerja, pencarian penaja dan sebagainya.

Setiap proses yang dilalui, memerlukan kemahiran ilmu komunikasi berkesan, ilmu pengurusan program, ilmu perancangan strategik, teknik membuat keputusan dan sebagainya.

Kemahiran ini semua anda telah gunakan semasa mengendalikan program bersama MPP. Semua ini telah menjadi suatu pengalaman pahit manis suka duka. Maka, anda boleh aplikasikan ilmu dan pengalaman ini dalam kerjaya anda.


CONTOH 2:

Dalam kepimpinan MPP, anda perlu mengetuai satu pasukan di bawah anda. Maka kemahiran kepimpinan akan diuji dan diasah di sini. Antara kemahiran dalam kepimpinan yang diperlukan ialah: 

  • Kemahiran Menguruskan Pasukan
  • Kemahiran Memberi Arahan Yang Jelas, Tepat dan Realistik
  • Kemahiran Membuat Keputusan
  • Kemahiran Pengurusan Konflik
  • Daya Pemikiran Kritis atau Kritikal
  • Kemahiran Menganalisis Situasi dan Maklumat
  • Kemahiran Memotivasikan Diri Sendiri dan Pasukan
  • Kemahiran Komunikasi Berkesan
  • Kemahiran Networking
  • Kemahiran Dalam Inovasi dan Kreativiti
  • Dan banyak lagi


Jika anda mempunyai kemahiran berikut, ditambah pula dengan pengalaman, maka majikan akan pandang anda sebagai seorang yang berkaliber.


KESIMPULAN

Saya selaku seorang bekas MPP yang pernah menjadi sekretariat MPP untuk 3 penggal dan kemudiannya menjadi seorang Yang di-Pertua MPP selama 1 penggal (maka pengalaman dalam ekosistem MPP ialah 4 tahun lebih), nasihat kecil saya ialah:

  • Sekiranya anda berhasrat untuk menjadi MPP, jadilah MPP yang bertanggungjawab. Gunakan peluang yang ada untuk tingkatkan kemahiran diri dan membuka potensi diri.
  • Jangan jadi tin kosong, makin digoncang makin kuat tapi isi tak ada. Maksudnya jangan jadi orang yang banyak cakap tapi ilmu tak ada.
  • Jadilah MPP yang cakapnya serupa bikin.
  • Peluang bukan datang selalu. Maka jika dah pegang jawatan, manfaatkan sebaiknya.
  • Jawatan MPP ini tidak ada makna sekiranya anda tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk menyokong kompetensi anda. Bukti kukuh bermaksud kemahiran, pengalaman yang boleh dilihat dan dinilai oleh pihak-pihak tertentu seperti bakal majikan atau majikan.


Nasihat saya ini adalah berdasarkan pengalaman saya juga. Saya pun tidak sempurna. Zaman jadi MPP dulu pun tidaklah sempurna. Banyak juga kekurangan.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua. Mohon maaf atas keterlanjuran kata dan salah silap. Terima kasih kerana membaca entri ini!


Ahmad Azeem bin Ahmad Raslan
Yang di-Pertua
Majlis Perwakilan Pelajar
UiTM Negeri Sembilan
Sesi 2017/18


#azaraslan

Catat Ulasan

0 Ulasan