Belajar Bidang Lain, Kerja Bidang Lain



Zaman Sekolah: Aliran Sains Tulen

Zaman IPT: Sains Pentadbiran (Diploma, Degree, Master)

Bidang Kerja: Graphic Designer / Video Editor / Marketing & PR / Website Designer / Digital Marketer


Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera semua, semoga semua sihat-sihat sahaja, dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan rezeki melimpah-ruah.

Topik kali ini agak berat sedikit. Perkara ini pernah terlintas dalam fikiran saya juga. Mungkin perkara ini juga pernah bermain di fikiran tuan-tuan dan puan-puan.

Pasti ada yang merasakan bahawa kita perlu bekerja dalam bidang yang kita belajar di menara gading. Mana tidaknya, bayangkan anda belajar 4-5 tahun dalam bidang kejuruteraan atau apa-apa bidang, kemudian anda bekerja dalam bidang lain, tak ke rasa sia-sia ilmu tu sebab kita tak praktikkan ilmu tersebut?

Jika lihat secara zahir, boleh dikatakan ada keralatan di situ, sebab kita tak praktikkan apa yang dipelajari. Lumrahnya, jika kita belajar kursus kejuruteraan, mestilah kita nak ceburi dalam industri berkaitan dengan jawatan berkaitan.

Adakah kita rugi dan sia-siakan masa belajar? Ataupun sebenarnya okay sahaja?

Perspektif yang saya akan utarakan ini adalah hujah dan buah fikiran saya sendiri (berdasarkan pengalaman, pembacaan, analisis). Saya tidak mewakili mana-mana pihak. Hanya lebih kepada percambahan minda.

Okay baik, jom kita lihat dari perspektif berikut.


-----


PERSPEKTIF JIKA BELUM MULA BELAJAR: MEMILIH BIDANG PENGAJIAN YANG DIRASAKAN TEPAT DARI AWAL

Dalam kehidupan seharian, hari-hari kita akan membuat keputusan secara langsung mahupun tidak langsung. Ada keputusan besar, ada keputusan kecil.

Keputusan besar adalah seperti berkahwin, memilih kerjaya dan memilih bidang pengajian. Bukan setakat itu, kita juga kena buat kajian menyeluruh mengenai sesuatu kos yang kita bakal ceburi, seperti peluang kerjaya, kebolehpasaran graduan, subjek yang dipelajari dan sebagainya.

Sebab apa perlu buat semua ini? Sebab ini adalah soal masa depan. Kita perlu jawab soalan ini:

  • Apa cita-cita kita?
  • Adakah kita minat kos / program / jurusan ini?
  • Boleh carry on tak jurusan ni? Ukur baju badan sendiri
  • Ada peluang pekerjaan tak selepas habis belajar?
  • Jika ada, peluang tu cerah atau malap?


Sesuatu jurusan yang kita ceburi akan mengambil masa bertahun lamanya untuk ditamatkan. Sebagai contoh, diploma 3 tahun, ijazah 2-4 tahun. Sekilas pandang, seseorang mungkin akan habiskan masa 5-6 tahun untuk belajar.

Jika kita memang nekad untuk pilih belajar jurusan yang kita tidak minat atau belajar jurusan yang mempunyai peluang pekerjaan yang sukar (setelah membuat kajian, analisis), maka kita perlu tanggung keputusan itu (asasnya, setiap keputusan kita lakukan memang kita kena bertanggungjawab).

Tanggung keputusan seperti:

  • Peluang pekerjaan sangat sukar, maka kita perlu bersaing dengan lepasan graduan, penganggur dan job hopper. Kita perlu ada kebolehpasaran graduan yang sangat hebat.
  • Menghabiskan jurusan yang tidak diminati. Barang kali akan tertekan dengan subjek yang dipelajari sebab sukar difahami, tidak kena dengan jiwa. Boleh membawa kepada pelbagai cabaran lain seperti perubahan tingkah laku, depression dan kena buang universiti.


Nak tingkatkan kebolehpasaran graduan, maka perlulah:

  • Cemerlang dalam akademik
  • Aktif dalam aktiviti dalam dan luar universiti
  • Jap, CGPA atau kemahiran? Dua-dua kena kukuh ke? Baca SINI.
  • Pegang jawatan dalam persatuan bagi mengasah bakat kepimpinan dan pengurusan
  • Bukan itu sahaja, anda juga perlu mengasah soft skill dan hard skill
  • Soft skill seperti komunikasi berkesan, ilmu pembentangan, pengurusan masa
  • Hard skill seperti Adobe Photoshop, Microsoft Powerpoint (percaya atau tidak, dengan Powerpoint, kita boleh buat satu pembentangan yang sangat profesional, boleh buat animasi setanding syarikat korporat gergasi dsb)
  • Anda perlu bina networking semasa program, konvensyen, delegasi dsb


Maka sebab itulah, decision making capability / kebolehan membuat keputusan perlu dibuat sebaiknya sejak dari awal lagi. Kemahiran ini perlu disedari dan perlu diasah pada waktu muda.

Nak ada decision making capability yang bagus, memerlukan kita untuk menilai, mengkaji sesuatu terlebih dahulu. Kena tapis maklumat, kena analisis maklumat, kena lihat kelebihan dan kekurangannya.

Sebagai contoh, anda belajar 5 tahun dalam bidang HR, kemudian akhirnya anda bekerja dalam bidang digital marketing. Anda masuk pemasaran digital sebab anda minat. Bayangkan sekiranya 5 tahun tersebut digunakan untuk belajar digital marketing, sudah pasti anda sudah menjadi digital marketing specialist, boleh demand gaji lebih tinggi dan boleh bina career path dengan lebih jelas. Fikirkan sejenak.

Sebab itulah kita perlu menganalisis maklumat, bertanya pada diri sendiri akan kemahuan kita dan membuat keputusan yang kita rasa tepat. Sebab sekiranya kita sudah ambil keputusan itu, kita yang akan laluinya. Mak ayah, adik-beradik dan kawan-kawan hanya boleh memberi sokongan sahaja. Yang melaluinya sebenarnya adalah kita sendiri. Ada juga pihak yang akan mempersoalkan dan nak lihat kita jatuh.

Kesimpulannya, kita boleh bekerja dalam bidang yang diingini, sekiranya kita memilih bidang pengajian yang tepat dari awal lagi.


PERSPEKTIF JIKA SUDAH HABIS BELAJAR: BIDANG YANG DIPELAJARI, BOLEH DIGUNAKAN UNTUK KERJA FREELANCE

SITUASI 1: SEDANG MENCARI KERJA

Ramai orang dambakan kerja idaman atau kerja yang mengikut bidang yang dipelajari, namun tak semua berpeluang untuk merasainya. Ada orang memohon kerja banyak kali, tapi tak dapat.

Sebagai contoh, anda mempelajari jurusan Graphic Design, maka semestinya anda mahu ceburi kerjaya dalam bidang yang sama. Sasaran utama mungkin sebagai Graphic Designer.

Sungguhpun begitu, untuk dapatkan jawatan ini, anda perlu bersaing dengan ramai lagi pesaing yang terdiri dalam kalangan lepasan graduan, pengganggur dan individu yang ingin menukar kerja. 

Kebarangkalian untuk dapat jawatan tersebut, boleh jadi cerah dan boleh jadi tipis, bergantung kepada situasi semasa.

Dalam tempoh pencarian kerja yang mungkin memakan masa berbulan atau bertahun lamanya, anda tetap perlu cari duit untuk menampung kos sara hidup.

Maka, anda boleh gunakan ilmu yang dipelajari dalam bidang graphic design untuk membuat kerja freelance.

Sebagai contoh, anda boleh mengambil upah kerja freelance seperti membuat poster, banner, bunting, resume, booklet dan banyak lagi. Pada masa yang sama, anda teruskan pencarian mencari kerja.

Antara platform terbaik untuk mencari kerja freelance ialah https://www.upwork.com/ (Upwork). Anda boleh juga mempromosikan khidmat freelance anda di media sosial. Di sini, anda akan menyedari kepentingan ilmu pemasaran digital, kerana ilmu pemasaran digital sedikit sebanyak akan membantu anda untuk mempromosikan khidmat freelance anda dengan lebih berjaya.

Secara tidak langsung, ilmu yang dipelajari tidak disia-siakan, malah diamalkan. Secara tidak langsung, telah menjadi pengalaman (baik dan buruk). Anda juga pasti akan timba ilmu baharu sepanjang menawarkan khidmat kerja (seperti ilmu keusahawanan sebab anda menawarkan servis, kemudian ilmu khidmat pelanggan sebab anda berurusan dengan pelanggan). Duit dapat, ilmu dapat, pengalaman pun dapat.

Perkara inilah yang akan menjadi nilai tambah untuk dimasukkan dalam resume, curriculum vitae (CV) dan segala ilmu dan pengalaman ini boleh digunakan sebagai contoh untuk hujah semasa temuduga.

Macam saya, saya melalui 297 permohonan kerja sebelum dapat tempat kerja lama saya iaitu INSKEN. Proses nak dapatkan kerja itu sangat sukar, maka sepanjang fasa itu, saya membuat kerja freelance untuk menampung sara hidup. Kerja freelance yang saya buat adalah seperti video editing dan graphic design. Melalui upah freelance itulah saya gunakan untuk makan, minum, bayar bil telefon, isi minyak kereta / motorsikal dan sebagainya.


SITUASI 2: SUDAH BEKERJA

Nak buat freelance apabila sudah bekerja ni, banyak cabarannya.

Tak semua orang mempunyai masa dan tenaga yang mencukupi untuk buat kerja freelance ni. Lagi-lagi bila kerjayanya amat sibuk ataupun sudah berkeluarga ataupun kedua-duanya sekali.

Pandangan saya, nak buat freelance job bila sudah bekerja ni memerlukan motivasi yang amat jelas. Sebagai contoh:

  • Sebab gaji sedia ada tidak cukup, maka perlu buat kerja freelance untuk tambah pendapatan sampingan bagi menampung kos sara hidup yang tinggi
  • Sebab nak bayar hutang
  • Sebab nak kumpul duit untuk big event / project seperti kahwin, nak pergi bercuti, umrah, haji dsb


Jika ada suatu motivasi yang sangat jitu, kukuh dan jelas, maka kita akan buat kerja freelance menggunakan ilmu yang dipelajari sebelum ini.

Dulu waktu saya kecil, ayah saya bekerja di sebuah bank di ibu kota. Beliau ambil jurusan arkitek. Beliau ambil upah membuat kerja lukisan kejuruteraan sebab nak tampung keluarga. Gaji bank waktu tu tak banyak. Zaman 90'an.


-----


KESIMPULAN

Belajar bidang lain, kerja bidang lain mempunyai perspektif yang berbeza di mata setiap orang. Jika dilihat dari segi positif, maka positiflah ia. Jika dilihat dari segi negatif, maka negatiflah ia.

Apa yang pasti, orang boleh pilih untuk mengambil kerja lari bidang atau apa-apa kerja sekali pun sebab nak tampung kos sara hidup yang tinggi. At the end of the day, you need to put food on the table. Bil elektrik, air, telefon, ansuran kereta semua tetap menunggu pada hujung bulan. Tak ada diskaun. Semua perlu dibayar.

Jika dilihat secara realistik, maka anda dapat lihat perspektif seperti yang saya kupas di atas.

  • Jika anda betul-betul mahu menjadi seorang graphic designer profesional, belajar terus jurusan tersebut. Be a master in the field. Tetapkan matlamat dari awal.
  • Jika anda betul-betul mahu menjadi seorang pegawai HR yang berjaya, maka belajar terus jurusan berkaitan dengan HR. Tetapkan matlamat dari awal.
  • Jika anda belajar bidang pengurusan, kemudian anda ceburi bidang digital marketing, anda perlu usaha lebih sedikit daripada orang lain bagi membuktikan anda layak memegang jawatan tersebut, seperti mengambil sijil kompetensi.


Buatlah keputusan yang terbaik (dengan maklumat, kajian, analisis) bagi mengelakkan penyesalan di kemudian hari. Jangan buat keputusan sebab orang lain suruh. Jangan buat keputusan ikut emosi semata-mata. Buat keputusan mesti ikut rasional dan disulami emosi.

Takdir Tuhan yang tentukan. Namun tak bermaksud kita boleh membuat keputusan sambalewa. Tuhan menilai tindakan dan keputusan kita. Buatlah keputusan sebaiknya.

Jika ditakdirkan kita belajar bidang lain, kerja bidang lain, maka adalah hikmah disebaliknya. Kita cuba berlapang dada dan bersyukur dengan apa yang ada. Apapun, kita tetap kena terus usaha. Man jadda wajada, siapa berusaha dia berjaya.

Jika kita tersalah langkah, kita adalah manusia. Pasti ada kesilapan. Kita cuba yang terbaik untuk masa sekarang, sebab past is past, and we need to keep moving forward.

Pesanan ini buat diri saya juga.

Mohon maaf atas terkasar bahasa atau tersilap bicara. Perspektif yang saya utarakan ini adalah hujah dan buah fikiran saya sendiri (berdasarkan pengalaman, pembacaan, analisis). Saya tidak mewakili mana-mana pihak. Hanya lebih kepada percambahan minda.

Terima kasih semua.

#azaraslan #kerjaya #pendidikan

Catat Ulasan

0 Ulasan