Shopee



Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera.


Tamat pengajian Diploma Pentadbiran Awam adalah satu pencapaian yang membanggakan. Namun bagi ramai graduan, ia juga menandakan bermulanya satu persoalan besar: "Lepas ni aku nak buat apa?"


Adakah lebih baik sambung belajar ke peringkat ijazah? Atau terus terjun ke dunia pekerjaan untuk mengumpul pengalaman?


Mungkin juga ada yang terfikir untuk cuba bidang lain yang lebih dekat dengan minat mereka.


Dalam artikel ini, kita akan sama-sama bincangkan pilihan-pilihan yang ada — lengkap dengan kelebihan dan kekurangan setiap laluan — supaya anda boleh membuat keputusan yang terbaik untuk masa depan.


Artikel ini adalah berdasarkan pandangan, pengalaman penulis, serta melihat kepada pengalaman orang lain. alert-info


1. Ambil Cakna Realiti Pasaran Kerja Kini

Kepada Graduan Diploma Pentadbiran Awam (DPA), pasti ramai yang berhasrat untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan. Ini satu impian yang baik — sejajar dengan struktur pembelajaran DPA yang memang direka untuk melahirkan kumpulan pentadbir.


Namun, realitinya:


  • Peluang kerja dalam sektor awam sangat kompetitif.
  • Bilangan kekosongan sektor awam terhad berbanding jumlah graduan yang memohon.
  • Banyak permohonan kerja sektor awam memerlukan pengalaman atau kelayakan lebih tinggi.


Akibatnya, ramai graduan memilih untuk:


  • Bekerja di sektor swasta, dalam bidang pentadbiran atau bidang lain.
  • Mengambil pekerjaan luar bidang buat sementara waktu (contoh: retail worker, insurance agent, financial advisorcustomer service).
  • Menceburi gig economy, contohnya menjadi rider penghantaran, freelance penulis kandungan, pereka grafik atau mengambil upah kerja sambilan (part-time) untuk menjana pendapatan.
  • Sambung belajar untuk memperkukuh peluang kerjaya.
  • Menyertai badan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia dan lain-lain. Walaupun agensi ini berkait dengan kerajaan, namun penggunaan jurusan Diploma Pentadbiran Awam itu bergantung pada jawatan yang dipegang juga. Jika jawatan lebih kepada operasi, maka ilmu itu tidaklah dapat diamalkan secara direct, berbanding mereka yang memegang jawatan pentadbiran dan pengurusan.


Penting untuk tahu bahawa graduan perlu ada pelan alternatif dan bersikap fleksibel untuk memajukan diri ke depan. Sama ada nak sambung belajar atau terus kerja, itulah pilihan yang graduan perlu buat. Jemput baca point seterusnya.


2. Hala Tuju Selepas Tamat Diploma

Setelah tamat diploma, ada beberapa jalan yang boleh dipilih, seperti:


  • Sambung belajar
  • Terus bekerja
  • Ambil kursus sijil profesional
  • Bangunkan profil profesional


Setiap pilihan ada kelebihan dan kekurangannya tersendiri.


a. Sambung Belajar Full Time vs Part Time

Lumrahnya, selepas tamat diploma, ramai yang memilih untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah.


Pilihan utama:

i. Sambung Belajar Secara Full Time

Kelebihan:

  • Fokus penuh pada pelajaran.
  • Dapat pengalaman hidup kampus sepenuhnya.
  • Lebih cepat tamat belajar (terutama kalau boleh tolak jam kredit).


Kekurangan:

  • Tiada pendapatan tetap.
  • Kos sara hidup mungkin tinggi.


Sesuai untuk:

  • Mereka yang nak selesaikan ijazah secepat mungkin.


ii. Sambung Belajar Secara Part Time

Kelebihan:

  • Boleh bekerja sambil belajar — ada pendapatan.
  • Pengalaman kerja jadi nilai tambah semasa graduasi.


Kekurangan:

  • Jadual padat dan memerlukan disiplin tinggi.
  • Tempoh pembelajaran menjadi panjang.


Sesuai untuk:

  • Graduan yang mahu berdikari awal atau mahu kurangkan hutang pendidikan.


Kebanyakan universiti kini menawarkan program e-PJJ (Pembelajaran Jarak Jauh), pembelajaran hujung minggu, dan kelas malam untuk pelajar part-time.


Pengalaman Peribadi: Sambung Belajar Sambil Bekerja

Saya sendiri pernah menyambung pengajian sarjana (master) secara separuh masa sambil bekerja sepenuh masa.

Memang mencabar dari segi masa dan tenaga, tapi pengalaman itu banyak mengajar saya tentang disiplin dan pengurusan diri.

Kalau nak tahu lebih lanjut tentang realiti sambung belajar sambil bekerja, saya kongsikan pengalaman penuh di sini:

➡️ Pengalaman & Realiti Sambung Master Sambil Bekerja


Pilihan sambungan:

Sambung dalam bidang sama

Contoh: Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran.

Kelebihan: Boleh tolak jam kredit daripada diploma, jimat masa dan kos.

Nota: Sesuai untuk yang minat bidang seperti pentadbiran, dasar awam dan hubungan antarabangsa.


Sambung dalam bidang lain

Contoh:

  • Undang-undang (Law)
  • Pengurusan Sumber Manusia (HR)
  • Data Management / IT
  • Banking & Finance
  • Public Relations / Mass Communication
  • Business Management
  • Office Management


Kelebihan: Mendapat kemahiran khusus dan peluang kerja lebih luas.


Tip: Jika bercita-cita menjadi peguam, lebih baik terus sambung belajar dalam bidang Law.


Nak tahu lebih lanjut tentang jenis-jenis jurusan yang boleh dipilih? Boleh baca artikel ini: https://www.azaraslan.com/2023/07/apakah-jenis-jurusan-yang-boleh.html


b. Terus Masuk Dunia Kerja

Graduan juga boleh terus bekerja selepas tamat pengajian. Antara kerja yang bertaraf diploma ialah:


  • Jawatan pentadbiran/kerani di sektor swasta.
  • Admin Assistant, Executive Assistant, HR Assistant, Customer Service.
  • Program latihan seperti MySTEP atau PROTÉGÉ (terhad, dan kebanyakannya untuk ijazah — namun peluang kontrak untuk diploma ada jika mencari dengan teliti).


Pros & Cons Terus Masuk Dunia Kerja

Kelebihan:

  • Cepat dapat pendapatan tetap berbanding sambung belajar.
  • Kumpul pengalaman kerja awal — kelebihan dalam jangka masa panjang.
  • Boleh belajar berdikari lebih awal dari segi kewangan.


Kekurangan:

  • Persaingan tinggi untuk jawatan eksekutif atau lebih tinggi dengan hanya kelayakan diploma.
  • Gaji permulaan lebih rendah berbanding graduan ijazah.
  • Peluang kenaikan pangkat lebih terhad dalam sesetengah industri.


c. Ambil Kursus Jangka Pendek / Sijil Profesional Secara Online atau Offline

Kalau belum bersedia untuk sambung degree, boleh juga ambil:

  • Kursus jangka pendek secara online atau physical.
  • Mengikuti sijil profesional.


Berkenaan kursus online:

  • Banyak kursus percuma untuk daftar dan belajar (contohnya di Coursera, Alison, e-Latih).
  • Biasanya percuma untuk enroll dan lengkapkan kursus, tapi jika nak sijil rasmi, perlu buat bayaran.
  • Walaupun tanpa sijil rasmi, pengalaman dan ilmu itu boleh membantu membina profil profesional.
  • Sesetengah platform menyediakan participation slip, menandakan kita turut serta kelas tersebut.


Contoh kemahiran yang boleh dipelajari:

  • Data entry
  • Basic project management
  • Strategic management
  • Microsoft Excel
  • Communication and negotiation skills


Tentang e-Latih, sebuah inisiatif kerajaan Malaysia melalui HRD Corp.

  • Platform ini menawarkan ribuan kursus percuma dalam pelbagai bidang seperti pengurusan, keusahawanan, teknologi maklumat, komunikasi, dan banyak lagi.
  • Kursus di e-Latih boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia tanpa bayaran.
  • Sebilangan kursus menawarkan sijil penyertaan percuma, manakala ada juga yang menyediakan sijil berbayar jika diperlukan.


Berkenaan kursus fizikal (offline):

Selain kursus dalam talian, graduan juga boleh mempertimbangkan untuk menyertai kursus fizikal yang dianjurkan oleh pusat latihan, agensi kerajaan ataupun institusi swasta.


Kelebihan utama kursus fizikal ialah:

  • Interaksi secara langsung dengan tenaga pengajar dan rakan peserta.
  • Latihan praktikal dan aktiviti berkumpulan yang memperkasa kemahiran sebenar.
  • Networking — berpeluang membina hubungan profesional yang boleh membantu dalam kerjaya.


Contoh kursus fizikal yang popular:

  • Kursus Komunikasi Korporat
  • Kursus Pengurusan Projek Asas
  • Latihan Kemahiran Komputer
  • Bengkel Resume dan Persediaan Temuduga


Kursus seperti ini boleh menaikkan nilai tambah dalam resume dan menarik perhatian majikan untuk memilih kita bagi fasa seterusnya iaitu saringan dan temuduga.


d. Bangunkan Diri dan Profil Profesional

Berikut adalah perkara yang boleh dibuat oleh graduan:

  • Bina profil LinkedIn seawal mungkin. Lagi bagus kalau dapat create account LinkedIn sewaktu zaman belajar.
  • Sertai program alumni, aktiviti kesukarelawanan atau kelab profesional untuk networking dan peluang kerjaya.
  • Kumpul semua pengalaman keterlibatan dalam projek, tugasan besar, pengalaman sukarelawan dan pengalaman kokurikulum dalam satu portfolio. Portfolio tu boleh jadi supporting documents sewaktu kita menghantar resume.


Zaman sekarang, majikan suka buat background check mengenai kita dalam platform media sosial. Jadi, pastikan kita menulis perkara yang elok. We are responsible for whatever we wrote or upload on social media. Sebab itu, kita perlu berfikir panjang sebelum muat naik sesuatu di media sosial.


3. Memilih Jalan Yang Sesuai

Bagaimana nak pilih jalan yang sesuai?

  • Kenal pasti kekuatan diri: Tanya diri sendiri, aku boleh ke sambung jurusan ni? Aku boleh ke kerja sambil belajar? Betul ke ni apa yang aku nak? Kalau ada apa-apa jadi, aku boleh survive tak? Aku punya support system okay tak? Apapun yang paling penting ialah diri kita sendiri. Kita perlu cari sebab dan pegangan yang kita boleh pegang. Kalau kita goyang, kita akan kembali mengingati pegangan ini, dan memberi kekuatan untuk kita habiskan pengajian.
  • Fikir jangka masa panjang: Jangan pilih sambung belajar atau kerja hanya sebab ikut kawan. Pilihlah bidang yang kita ada rasa minat nak ceburi dan belajar. Setiap keputusan yang kita buat, adalah irreversible. Ini bukan game yang kita boleh load save game untuk patah balik ke last checkpoint.
  • Kenal pasti pada sasaran kita lagi 5 tahun akan datang: Ni penting, supaya kita dapat rancang perjalanan tu. Ini bertindak sebagai panduan kita untuk terus berada dalam landasan yang betul.
  • Kenal pasti jurusan nak disambung: Kalau memang berhasrat nak sambung law, boleh la sambung law terus. Sama juga macam HR. Kalau memang dah minat, sambung je terus dalam bidang yang specialise / specific.


4. Penutup: Diploma Bukan Noktah, Tapi Permulaan

Tamatnya pengajian diploma bukan bermaksud tamatnya perjuangan. Sebaliknya, ia adalah permulaan untuk membina masa depan.


Apa pun pilihan yang diambil — sambung belajar, bekerja atau ambil sijil tambahan — apa yang penting ialah teruskan bergerak ke depan. Rezeki itu luas dan peluang sentiasa ada untuk yang bersedia mencarinya.


Ingat, jangan tunggu peluang datang. Peluang tidak datang bergolek. Ciptalah peluang itu sendiri. Man jada wajada, siapa berusaha dia berjaya.


Kalau anda rasa artikel ini membantu, jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan yang lain. Semoga bermanfaat!


Sekian, terima kasih.


Ahmad Azeem bin Ahmad Raslan (AZAR)

Alumni Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) UiTM
Diploma Pentadbiran Awam, 2013-2016
Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kepujian), 2016-2018
Ijazah Sarjana Eksekutif Sains Pentadbiran, 2018-2020


#UPUOnline #Azaraslan #DiplomaPentadbiranAwam #IjazahSarjanaMudaSainsPentadbiran #DPA #BAS

Post a Comment

Terbaru Lebih lama

Baju Hujan Tahan Lasak Kalis Air

Maxtag Touch N Go Smart Tag Holder