![]() |
Ilustrasi dijana oleh ChatGPT |
Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera. Semoga sidang pembaca sihat-sihat sahaja dan dipermudahkan segala urusan dalam kehidupan serta dikurniakan kejayaan di dunia dan akhirat.
LinkedIn adalah platform profesional yang semakin penting dalam dunia kerja moden. Bagi graduan yang baru memasuki dunia kerjaya, LinkedIn boleh menjadi alat yang sangat berkuasa untuk meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan. Walaupun ramai graduan mungkin tidak menyedari kepentingannya, platform ini bukan sahaja berfungsi untuk mencari pekerjaan tetapi juga untuk membina rangkaian profesional yang boleh memberi impak besar dalam perjalanan kerjaya mereka.
Mengapa LinkedIn Penting untuk Graduan?
LinkedIn menawarkan lebih daripada sekadar peluang mencari kerja. Berikut adalah beberapa sebab utama mengapa LinkedIn sangat penting untuk graduan:
Peluang Pekerjaan yang Luas
LinkedIn digunakan oleh banyak syarikat dan recruiter untuk mencari calon yang sesuai. Dengan memiliki profil LinkedIn yang lengkap dan optimum, graduan berpeluang dilihat oleh recruiter yang sedang mencari bakat baru untuk menyertai pasukan atau syarikat yang mereka bekerja.
LinkedIn juga membolehkan graduan mencari pekerjaan berdasarkan lokasi, industri dan kemahiran. Dengan mengikuti syarikat yang relevan, graduan juga dapat menerima perkembangan terkini tentang peluang pekerjaan yang sesuai dengan minat dan kelayakan mereka.
Membangun Rangkaian Profesional
LinkedIn membolehkan graduan berhubung dengan orang lain secara maya, termasuk alumni universiti, rakan zaman belajar, rakan sekerja, HR, bakal majikan dan majikan. Rangkaian ini sangat penting kerana banyak peluang pekerjaan boleh diperoleh melalui hubungan peribadi dan recommendation.
Meningkatkan Kredibiliti
Dengan mempamerkan pengalaman akademik, latihan industri dan kemahiran (soft skill or hard skill) di LinkedIn, graduan dapat menunjukkan kepada recruiter bahawa mereka sudah bersedia untuk menghadapi dunia kerja. Profil yang lengkap dan profesional akan memberi keyakinan kepada recruiter untuk memilih graduan sebagai calon yang layak bagi menyandang jawatan yang diiklankan.
Tips LinkedIn Optimization untuk Graduan
Sekarang, jom kita lihat bagaimana graduan boleh mengoptimumkan profil LinkedIn mereka untuk meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan.
Perbaharui Profil Anda Secara Menyeluruh
- Foto Profil Profesional: Gambar profil yang kemas dan profesional adalah penting. Elakkan gambar kasual dan pastikan ia sesuai dengan industri yang anda ingin ceburi.
- Headline yang Jelas dan Menarik: Gunakan headline untuk menonjolkan matlamat kerjaya anda. Sebagai contoh: "Graduan Pemasaran Digital | Berminat dalam Pengurusan Media Sosial dan Search Engine Optimisation".
- Ringkasan (About): Gunakan ringkasan ini untuk memperkenalkan diri anda secara ringkas. Ceritakan siapa anda, apa yang anda pelajari dan apa yang anda ingin capai dalam kerjaya. Fokuskan pada kemahiran yang relevan dengan bidang yang ingin anda ceburi.
Kongsikan Pencapaian dan Kemahiran
Masukkan pengalaman latihan industri, projek besar atau pengalaman sukarelawan yang relevan. Pilih kemahiran yang menunjukkan keupayaan anda dalam bidang yang anda minati. Sebagai contoh, kemahiran seperti kemahiran komunikasi, pengurusan masa, penggunaan perisian tertentu atau pengalaman kerja berpasukan dalam projek.
Ramai graduan berasa bimbang apabila melihat iklan kerja yang menyatakan "fresh graduate are welcome to apply", tetapi dalam masa yang sama mensyaratkan pengalaman 1-2 tahun. Ini sememangnya satu cabaran yang biasa, tetapi inilah pentingnya LinkedIn. Anda boleh 'buktikan' pengalaman dan kemahiran melalui kandungan yang dikongsi, serta cara anda membina profil yang menonjolkan projek, latihan industri atau apa-apa aktiviti yang berkait dengan dunia sebenar.
Sebagai contoh, saya sendiri aktif dalam aktiviti sukarelawan bersama Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dan sering terlibat dalam latihan serta program kemasyarakatan. Selain itu, saya juga melengkapkan beberapa kursus percuma dalam talian seperti Project Management melalui platform Massive Online Open Courses (MOOC) anjuran Open University of Australia. Maka, saya kongsikan perkara ini di LinkedIn untuk menunjukkan inisiatif saya dalam career progression / career development.
Ingat: pengalaman tak semestinya datang dari kerja yang bergaji. Projek semasa pengajian, latihan praktikal, kerja sukarela, jawatan dalam persatuan dan kursus tambahan (contohnya Google Certification, Canva Design, Data Analysis, dsb.) juga boleh dikira sebagai bukti kebolehan anda. Jangan takut untuk tonjolkan apa yang anda ada.
Gunakan URL LinkedIn yang Custom
Pastikan URL LinkedIn anda mudah diingati dan kelihatan profesional. Anda boleh mengubah URL LinkedIn kepada linkedin.com/in/namaanda, menjadikannya lebih mudah dicari dan diingati.
Saya punya URL LinkedIn: https://www.linkedin.com/in/azaraslan/
Aktifkan Profil dengan Kandungan Yang Bermanfaat
LinkedIn bukan sahaja untuk mempamerkan pengalaman, tetapi juga untuk berkongsi artikel, berita dan maklumat berkaitan industri. Dengan menjadi aktif di platform, graduan dapat menunjukkan minat mereka dalam perkembangan industri dan membina kredibiliti dalam bidang yang diminati.
Sebagai contoh, saya sendiri sering berkongsi tentang penulisan blog saya di LinkedIn, termasuk artikel berkaitan pendidikan dan kerjaya dari laman Azaraslan.com. Ini bukan sahaja menunjukkan minat dalam dunia penulisan dan pemasaran digital, tetapi juga membantu saya membina personal branding secara konsisten.
Luaskan Rangkaian Anda
Salah satu langkah penting dalam menggunakan LinkedIn adalah membina rangkaian profesional. Graduan perlu connect dengan alumni universiti, rakan sekerja, rakan zaman belajar, HR practitioner, ahli profesional dalam industri untuk membuka peluang kerjaya. Rangkaian ini boleh memberi anda peluang yang lebih luas dalam mencari pekerjaan.
Minta Recommendation
Recommendation daripada pensyarah, rakan sekerja atau majikan semasa latihan industri boleh memberi lebih kredibiliti kepada profil anda. Sebaiknya, mintalah recommendation daripada orang yang pernah bekerja rapat dengan anda dan yang boleh memberi testimoni positif mengenai kemahiran dan etika kerja anda.
Bayangkan recommendation ini seperti Google Review. Semakin banyak ulasan positif yang anda terima, semakin tinggi tahap kepercayaan orang terhadap anda. Begitu juga di LinkedIn, lebih banyak testimoni yang baik tentang anda, lebih mudah untuk recruiter atau bakal majikan meyakini keupayaan anda walaupun belum ada pengalaman kerja sepenuh masa.
Ikuti Syarikat dan Individu yang Relevan
LinkedIn membolehkan anda mengikuti syarikat dan individu yang mempunyai pengaruh dalam industri yang anda minati. Dengan mengikuti mereka, anda akan mendapat informasi terkini mengenai peluang pekerjaan dan perkembangan industri yang relevan dengan minat kerjaya.
Kesilapan Biasa Graduan di LinkedIn yang Perlu Dielakkan
Ramai graduan yang baru mula menggunakan LinkedIn sering membuat beberapa kesilapan yang boleh memberi kesan kepada imej profesional mereka. Berikut adalah antara kesilapan yang perlu dielakkan:
Profil Tidak Lengkap atau Dibiarkan Kosong
Salah satu kesilapan paling besar adalah membuat akaun LinkedIn, tetapi tidak mengisinya dengan maklumat penting. Profil kosong atau separuh lengkap memberi gambaran bahawa anda tidak serius dalam mencari kerja.
Guna Gambar Profil yang Tidak Profesional
Gambar dengan latar belakang bercuti, selfie atau tanpa gambar langsung boleh mengurangkan keyakinan recruiter terhadap anda. Gambar profesional (walaupun diambil menggunakan telefon) dengan latar belakang yang clear seperti warna putih lebih disarankan.
Tidak Menyatakan Matlamat Kerjaya atau Headline yang Kabur
Sesetengah graduan hanya menulis "Looking for Job" atau "Fresh Graduate" tanpa menyatakan bidang atau minat khusus. Headline adalah ruang untuk menonjolkan keunikan dan hala tuju anda, maka janganlah bazirkan peluang ini.
Tidak Aktif Langsung di LinkedIn
Ada graduan yang buat profil, kemudian tinggal begitu sahaja, sampai usang dibuatnya. LinkedIn adalah komuniti profesional dan menjadi pasif bermakna anda terlepas peluang untuk membina hubungan, mendapatkan maklumat dan dikenali dalam industri.
Paling tidak pun, buka la LinkedIn tu seminggu sekali. Repost posting yang bermanfaat, komen secara ilmiah, beradab dan membina, atau sekurang-kurangnya like posting orang lain. Tindakan-tindakan kecil ini pun sudah cukup untuk menunjukkan anda aktif dan berminat dalam dunia profesional.
Spamming atau Terlalu Agresif dalam Permintaan Kerja
Menghantar mesej kepada ramai recruiter secara rawak dengan ayat seperti "tolong bagi saya kerja" boleh dilihat sebagai tidak profesional. Bangunkan pendekatan yang lebih strategik seperti membina hubungan terlebih dahulu, kemudian nyatakan minat anda dengan sopan.
Tidak Perbaharui Profil Secara Berkala
Dunia kerja bergerak pantas, dan profil anda perlu mencerminkan perkembangan semasa. Sama ada kursus baru, pencapaian kecil, pengalaman sukarelawan atau projek sampingan, masukkanlah perkara-perkara ini dalam LinkedIn dari semasa ke semasa.
Gagal Gunakan Kata Kunci (Keyword)
Recruiter sering menggunakan fungsi carian untuk mencari calon berdasarkan kemahiran dan bidang. Tanpa kata kunci yang sesuai (seperti “digital marketing”, “data analysis”, “public relations”), profil anda mungkin tidak muncul langsung dalam carian atau search engine.
LinkedIn Ni Terasa Fake?
Dalam dunia profesional, menonjolkan kekuatan, pencapaian dan kemahiran bukanlah satu bentuk penipuan atau fake, tetapi ianya lebih kepada membentuk personal branding.
- Menulis tentang pencapaian bukan bermakna angkuh, tapi sebenarnya menunjukkan nilai yang anda boleh bawa ke organisasi.
- Guna bahasa profesional bukan bermaksud kita berpura-pura, tapi sebenarnya kita menghormati konteks platform dan audiens LinkedIn yang bersifat profesional.
- Berkongsi pandangan positif bukan bermaksud hidup kita sempurna, tapi menunjukkan kita ada growth mindset dan tahu membawa diri di tempat kerja.
Kalau ada yang beranggapan LinkedIn ini nampak “fake”, lebih baik kita “tunjuk sisi terbaik diri individu” secara jujur dan terkawal daripada langsung tidak aktif dan membiarkan peluang kerjaya berlalu begitu sahaja.
Apapun, kalau seseorang itu menipu kelayakan, mereka pengalaman kerja atau berpura-pura menjadi pakar dalam sesuatu yang dia tidak tahu langsung, maka itu memang fake dan akhirnya akan memakan diri sendiri.
Graduan Peminta Sedekah?
Saya pernah menonton sebuah forum kerjaya di YouTube bertajuk Forum #BeliaBekerja: Cabaran Graduan Menganggur, yang disampaikan oleh salah seorang speaker terkenal iaitu Norizan Sharif (Nobisha). Dalam forum itu, beliau memperkenalkan istilah “graduan peminta sedekah” iaitu merujuk kepada segelintir graduan yang terlalu bergantung kepada simpati untuk mendapatkan kerja. Misalnya, ada graduan yang meninggalkan komen seperti “tolong bantu saya dapat kerja” di ruangan posting, dan meletakkan headline seperti "unemployed and looking for job", dengan harapan ada orang memberi peluang kepada mereka.
Speaker tersebut menekankan bahawa dalam dunia profesional hari ini, graduan bukan hanya perlu ada kelayakan, tetapi juga ilmu pemasaran terutamanya dalam memasarkan diri mereka di platform seperti LinkedIn. Ini bukan soal fake atau buat-buat hebat, tetapi lebih kepada bagaimana anda membina personal branding dan menunjukkan nilai yang boleh anda tawarkan untuk organisasi atau syarikat.
Sebagai graduan, lebih baik anda fokus mengoptimumkan profil LinkedIn dengan kemas kini profil, kongsi pencapaian, hasilkan kandungan yang relevan dan berinteraksi secara aktif dengan komuniti profesional.
Namun begitu, jika sudah berusaha sebaik mungkin dan masih belum memperoleh peluang kerja, maka tidaklah salah untuk meminta bantuan, asalkan ia dilakukan dengan sopan, jujur dan menjaga maruah diri. Ada beza antara “meminta bantuan” dan “meminta-minta”. "Meminta bantuan" menunjukkan usaha dan keikhlasan, manakala "meminta-minta" kelihatan terlalu pasif dan bergantung kepada simpati.
Penutup
LinkedIn adalah alat yang sangat kuat untuk graduan yang ingin memulakan kerjaya mereka. Dengan mengoptimumkan profil LinkedIn, graduan dapat meningkatkan peluang untuk mendapatkan pekerjaan dan membina rangkaian yang dapat membantu mereka berkembang dalam dunia kerja. Jangan biarkan peluang berlalu begitu sahaja. Mulakan langkah dengan mengoptimumkan profil LinkedIn anda sekarang dan buka jalan kepada pelbagai peluang kerjaya yang menarik.
Semoga info ini bermanfaat. Terima kasih!
#Azaraslan #Linkedin
Catat Ulasan