Shopee

Azeem selaku panel forum


Benarkah Graduan FSPPP Sukar Mendapat Kerja? Mitos atau Realiti?


Artikel ini berdasarkan intipati "Forum Mitos atau Realiti: Benarkah Graduan FSPPP Sukar Mendapat Kerja?", pengalaman sendiri, dan pemerhatian pengalaman rakan-rakan. Artikel ini ditulis untuk memberi gambaran sebenar tentang cabaran yang dihadapi graduan FSPPP khususnya BAS di pasaran kerja. alert-info


Isi Kandungan

  • Perjalanan Kerjaya Saya Selepas Tamat Pengajian
    • Kenapa Bidang Grafik?
    • 9 Bulan Menganggur, 300 Permohonan, 55 Temuduga
    • Dari Situ, Bermulanya Fasa Baharu
    • Adakah Saya Lari Bidang?
  • Graduan Aktif Persatuan vs Fokus Akademik: Mana Lebih Laku di Pasaran
    • Pengalaman Sebenar: Bukan Sekadar Teori
    • Mahasiswa 4K vs Mahasiswa 4C
    • Realiti Kerja
  • Benarkah Jurusan BAS Susah Dapat Kerja?
    • Kelebihan
    • Cabaran
    • Apa Yang Perlu Dibuat?
    • Pandangan Sebagai Alumni
  • Cadangan Penambahbaikan Bagi Jurusan BAS
  • Pandangan Panel Lain: Memperluas Perspektif
  • Kesimpulan

*Artikel ini panjang. Tempoh bacaan, 10-15 minit.


Pada 20 Mei 2025 (Selasa) yang lalu, saya berpeluang kembali ke FSPPP UiTM Kampus Seremban sebagai ahli panel forum bertajuk: "Mitos atau Realiti: Benarkah Graduan FSPPP Sukar Mendapat Kerja?"


Program ini berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 1.00 petang, bertempat di Dewan Kuliah Dato’ Laksamana, UiTM Kampus Seremban 3.


Saya turut berkongsi pentas bersama dua panel hebat iaitu:


  • Mohd Amirul Ashraf Mazli, Setiausaha Syarikat & Pegawai Perhubungan Awam di Risda Holdings Sdn Bhd
  • Nurin Farzana Mohamad Fadzil, Pensyarah di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia


Forum ini dikendalikan dengan cemerlang oleh Saudari Ain Solehah (AiSo) dari Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) FSPPP, selaku moderator sesi ini.


Perjalanan Kerjaya Saya Selepas Tamat Pengajian

Salah satu soalan yang ditanya dalam forum baru-baru ini ialah mengenai perjalanan kerjaya kami selepas tamat pengajian. Bagi saya, ceritanya agak berbeza sedikit sebab saya tidak sempat pun ‘honeymoon’ selepas tamat diploma.


Sebelum saya habis Diploma Pentadbiran Awam (DPA), saya sudah pun menerima tawaran kerja sebagai pereka grafik di sebuah kilang. Dan sebaik sahaja selesai urusan tamat pengajian, saya terus lapor diri bekerja di situ. Tak ada istilah “cuti panjang sebelum degree” dalam kamus hidup saya waktu itu.


Azeem selaku pembuat video rasmi korporat FSPPP. Dibantu oleh Ijam (voice over), dan guidance Sir Idham dan Sir Shah. Gambar bersama Naib Canselor.


Kenapa bidang grafik?

Sebenarnya, minat dan kemahiran saya dalam reka bentuk grafik dan suntingan video sudah mula sejak zaman sekolah lagi. Waktu di kampus, saya sering membantu dalam urusan reka bentuk bahan promosi program, edit video untuk assignment, dan bantu persatuan siapkan visual dan video untuk event. Dari situ, saya mula bina portfolio dan kemahiran hands-on. Maka apabila ada peluang kerja dalam bidang ini, saya boleh showcase kemahiran saya dan yakinkan bakal majikan bahawa "I am the man for the job".


Alhamdulillah, majikan ketika itu berpuas hati dengan mutu kerja saya. Malah, mereka menawarkan dua pilihan:

  • Kekal bekerja sepenuh masa dan mereka akan tanggung pengajian saya
  • Atau sambung belajar sepenuh masa, dan bekerja sambilan semasa cuti semester atau projek khas


Tempting kan tawaran yang diberikan? Memang saya ambil masa yang lama juga untuk berfikir pasal ni. Saya dapatkan khidmat nasihat dari ibu bapa, pensyarah dan juga kaunselor UiTM. Akhirnya, saya pilih untuk sambung degree sepenuh masa, sambil terus bekerja dengan syarikat tersebut secara sambilan jika diperlukan. Keadaan ini berterusan sehingga saya tamat Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran dan saya akhirnya kembali bekerja di syarikat yang sama sebagai pekerja tetap. Saya juga menyambung pengajian ke peringkat Sarjana ketika itu.


Namun selepas beberapa tahun, syarikat berdepan krisis kewangan dan saya buat keputusan untuk berhenti. Di sinilah bermula fasa yang paling mencabar dalam hidup saya.


9 Bulan Menganggur, 300 Permohonan, 55 Temuduga

Saya menganggur selama 9 bulan. Dalam tempoh itu, saya hantar lebih daripada 300 permohonan kerja, dan menghadiri lebih kurang 55 sesi temuduga. Ada hari saya rasa kecewa, hilang arah, tapi saya terus bertahan dan cari ruang untuk perbaiki mutu diri, penulisan resume, penulisan di LinkedIn dan portal kerja serta cara berkomunikasi dalam temuduga.


Akhirnya, saya diterima bekerja di sebuah agensi kerajaan iaitu Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan di sinilah fasa baharu bermula.


Azeem di hadapan bangunan INSKEN setelah dapat offer letter.


Dari Situ, Bermulanya Fasa Baharu

Di agensi tersebut, saya mula terlibat dalam bidang pemasaran digital dan perhubungan awam, di mana saya ditugaskan untuk menguruskan media sosial, laman web dan pelbagai bentuk komunikasi digital. Pada masa yang sama, saya kekal aktif dalam graphic design dan video editing.


Daripada situ, saya mula nampak hala tuju yang lebih jelas — dunia digital marketing. Saya pilih untuk berkembang dalam bidang ini kerana saya rasa lebih mencabar dan tidak stagnant seperti sebelumnya.


Adakah Saya Lari Bidang?

Kalau orang tengok dari luar, mungkin akan kata saya dah lari bidang. Tapi bagi saya, FSPPP banyak membentuk cara saya bekerja dan berfikir untuk melihat dari pelbagai perspektif.


Sebagai contoh, subjek berikut membantu saya dalam menghasilkan kerja berkualiti:

  • Research Analysis bantu saya buat laporan dan analisis kempen
  • Strategic Management (STRAMA) & Project Management (PROMA) sangat berguna dalam penyediaan kertas kerja kempen, di mana di dalam proposal akan ada SWOT analysis, competitor analysis, timeline dan Gantt chart.
  • Total Quality Management (TQM) ajar saya tentang kepentingan deliverables, impact, dan ROI dalam setiap projek.
  • Public Relations (PR) bantu saya dalam penulisan siaran akhbar, pengurusan media dan strategi komunikasi berkesan.


Jadi bagi saya, walaupun kerjaya saya bermula dengan grafik dan kini dalam digital marketing, asas yang dibina di FSPPP tetap menjadi batu loncatan yang meletakkan di mana saya berada pada hari ini.


Kerjaya bukan sekadar bidang apa yang kita ambil, tapi bagaimana kita gunakan ilmu yang kita belajar, disertai dengan nilai tambah (merangkumi soft skills, hard skills) yang kita garap sepanjang perjalanan sebagai pelajar.


Program kami, IMAC, di dada akhbar. Program IMAC memang mengajar pelbagai soft skill dan hard skill.


Graduan Aktif Persatuan vs Fokus Akademik: Mana Lebih Laku di Pasaran?

Soalan ini sangat penting untuk dibincangkan, terutamanya dalam konteks kebolehpasaran graduan dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP). Wujudkah perbezaan antara mereka yang aktif berpersatuan dan ada kemahiran tambahan, berbanding mereka yang hanya fokus kepada akademik?


Jawapan saya: Ya. Memang ada perbezaan yang sangat ketara.


Hari ini, majikan tidak hanya menilai graduan berdasarkan CGPA. Mereka mencari calon yang mempunyai gabungan antara ilmu akademik dan kemahiran insaniah atau soft skills seperti:


  • Problem Solving Skills
  • Communication Skills
  • Marketing & Self-presentation Skills
  • Leadership & Teamwork
  • Time Management


Semua kemahiran ini tidak diajar secara langsung dalam bilik kuliah. Ia dibentuk dan diperkuat melalui penglibatan dalam aktiviti luar kelas, terutamanya semasa menjadi AJK program atau pemimpin dalam persatuan.


Mengimbau kenangan sebagai Pemimpin Mahasiswa (PMDS). Saya terlibat dalam MDS sebanyak 3 kali, kemudian PDS 1 kali.


Pengalaman Sebenar: Bukan Sekadar Teori

Izinkan saya kongsi beberapa situasi sebenar sebagai contoh.


Contoh 1: AJK Multimedia

Pernah terjadi semasa program universiti, junior saya yang menjadi AJK multimedia ditugaskan untuk edit video montaj bagi Majlis Penutupan Program. Semasa hampir siap, fail projek tiba-tiba corrupt dan laptopnya freeze. Apa yang paling menyedihkan, fail belum sempat save versi terkini, dan masa yang tinggal hanya 3 jam sebelum majlis bermula.


Junior saya masa tu memang menangis. Sangat tertekan. Tapi saya selalu pesan:


"It's okay to cry. We are human being after all. Tapi selepas menangis, kita mesti bangkit cari jalanEvent ada lagi 3 jam je ni. Don't worry, saya ada untuk bantu."


Saya turun bantu sama-sama, sebab saya Ketua Program waktu tu. Kami cuba troubleshoot sehabis baik. Akhirnya, walaupun dalam keadaan huru-hara, video berjaya disiapkan dan dipersembahkan. Bayangkan nilai pengalaman yang diperoleh ini tak akan dapat dalam mana-mana kelas. Ini bukan sekadar menguji cara guna software, tapi juga mengajar makna pengurusan emosi, tekanan dan daya menyelesaikan masalah.


Contoh 2: AJK Makanan

Ramai orang anggap AJK makanan kerja senang. Tapi kan, apa akan jadi kalau makanan VIP tak sampai lagi tetapi program dah nak tamat? Atau makanan untuk peserta yang kita janji dalam poster (misal kata, 100 bungkus), tiba-tiba tak sampai langsung?


Itu realiti yang berlaku. Masa itu kita tak boleh panik. Kita kena buat keputusan serta-merta. Guna pelan B seperti berunding dengan vendor lain, atau beli makanan sendiri, atau cari penyelesaian paling cepat. Like it or not, makanan tetap kena sampai.


Situasi-situasi beginilah yang mengasah refleks kepimpinan, keberanian membuat keputusan dan menambah kecekalan daya tahan tekanan. Dan ini semua akan jadi modal ketika temuduga, sebab kita bercerita berdasarkan pengalaman sebenar, bukan jawapan buku teks.


Contoh 3: AJK Dewan dan Protokol

Kalau jadi AJK Dewan & Protokol ni, basically kena jadi macam floor manager. Kena pastikan semuanya smooth - dari susun atur kerusi, susun atur protokol, hinggalah kepada aliran keluar masuk VIP dan tetamu.


Antara perkara yang biasa terjadi dalam program ialah timing lari, disebabkan VIP lewat sampai, pelajar masih belum masuk dewan walaupun acara dah nak mula atau masalah teknikal (sound tak keluar, video tak boleh play). Jadi apa yang patut dibuat?


Di sinilah pentingnya untuk bertenang dalam keadaan cemas. Floor manager perlu segera berkomunikasi dengan semua pihak seperti Emcee (Master of Ceremony), AJK teknikal, pengarah program dan mungkin juga VIP itu sendiri. Kena ubah susun atur acara secara real-time seperti pendekkan ucapan, tambahkan pengisian sementara (seperti play video, persembahan impromptu), atau apa saja yang boleh stabilkan keadaan.


Situasi seperti ini mengasah kemahiran menyelesaikan konflik dan pengurusan tekanan. Bukan semua orang dapat pengalaman macam ni. Kalau dapat, pengalaman ini sangat berguna bila masuk dunia kerja nanti.


Mahasiswa 4K vs Mahasiswa 4C

Hari ini masih ramai pelajar yang terperangkap dalam kitaran 4K:

Katil, Kuliah, Kafe, Komputer.


Rutin ini selesa, tapi ianya tidak membina. Mahasiswa begini mungkin bijak akademik, tapi kurang daya tahan dalam dunia kerja sebenar.


Sebaliknya, kita perlu jadi Mahasiswa 4C:

Cergas, Cerdas, Cekap, dan Cita-cita.


Mahasiswa 4C ialah mereka yang tahu arah tuju hidup. Mereka berani memimpin, sanggup belajar dari kegagalan dan tahu apa yang ingin dicapai. Bila ada cabaran, mereka tangani, bukannya lari. Bila ditanya dalam temuduga, mereka ada kisah untuk dikongsi, bukan sekadar keputusan untuk ditunjuk.


Selain aktif berpersatuan dan cuba jaga pointer akademik, saya juga aktif bersukan.


Realiti Kerja

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, setakat Januari 2025, terdapat lebih kurang 500,000 orang penganggur di Malaysia. Daripada jumlah itu, sekitar 100,000 orang ialah graduan baru dari pelbagai bidang. Andaian saya, mungkin sekitar 20,000 daripada jumlah ini berasal dari latar belakang seperti pengurusan, pentadbiran, HR, pejabat dan kualiti, iaitu bidang yang dekat dengan FSPPP.


Dalam kelompok 20,000 itu, pasti ramai juga yang cemerlang akademik, aktif berpersatuan dan ada kemahiran teknikal. Maka, nak cari kerja memang susah.


Jika kita rasa kita dah cukup bagus (dari segi penulisan resume, LinkedIn profile, temuduga), percayalah, pasti ada yang lebih bagus dari kita. Jadi, kita kena terus berusaha sebaik mungkin dan improve apa yang patut.


Benarkah Jurusan BAS Susah Dapat Kerja?

Soalan:

“Jurusan Bachelor in Administrative Science (BAS) terlalu meluas dan tiada pengkhususan. Kami faham perlu aktif berpersatuan dan mantapkan resume. Jadi, apa lagi yang perlu kami buat selain itu? Dan anda sebagai alumni, apa pandangan anda terhadap jurusan ini? Apa yang boleh ditambah baik?”


Jawapan:

Saya setuju. jurusan ini memang luas. Ini adalah satu kekuatan dan dalam masa sama satu kelemahan. Our programme is jack of all trades but master of none.


Kalau nak dibandingkan dengan rakan-rakan dari Bachelor in Corporate Administration (BCA), hala tuju mereka jelas iaitu mereka nak jadi Setiausaha Syarikat (CoSEC). Pelajar Bachelor in Environmental Administration (BEVA) pula bersedia ke arah kerjaya seperti Safety & Health Officer (SHO), Environmental Consultant atau Sustainability Officer.


Tapi kita sebagai pelajar Sains Pentadbiran, banyak sangat yang kita belajar. Macam-macam ada. Kita belajar tadbir urus, dasar awam, politik, HR, undang-undang, hubungan antarabangsa dan banyak lagi. Suatu ketika dahulu, program ini dikatakan sebagai laluan eksklusif untuk menjadi seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), tetapi realitinya zaman sudah berubah. Laluan itu bukan lagi laluan utama, dan kita kena terima hakikat itu.


Kelebihan Kita:

  • Kita boleh masuk banyak bidang seperti human resources (HR), pentadbiran, public relations (PR), pemasaran, perbankan, dasar awam, politik, NGO, CSR, sektor kerajaan, swasta, keusahawanan dan gig economy.
  • Kita mudah menyesuaikan diri, sebab kita dah didedahkan dengan pelbagai konteks, teori dan perspektif.


Cabaran Kita:

  • Disebabkan bidang ini luas, kita tidak ada specialities.
  • Degree kita nampak general di atas kertas.
  • Bagi majikan, kita sama je macam jurusan HR, pejabat, pengurusan perniagaan dan seantero dengannya.
  • Disebabkan itu, kita perlu work extra hard untuk meningkatkan kebolehpasaran diri sendiri melalui kursus tambahan, pengalaman berpersatuan, pengalaman praktikal dan personal branding.


Apa Lagi Perlu Dibuat?

Pilih niche sendiri awal-awal.

Minat HR? Fokus ke arah HR. Minat komunikasi? Fokus PR. Minat digital? Asah kemahiran itu. Jangan tunggu semester akhir baru nak fikir hala tuju. Jadi Mahasiswa 4C.


Belajar ilmu teknikal.

Belajar guna Excel, Canva, CapCut, PowerPoint dengan lebih mendalam. Ini semua jadi nilai tambah dalam resume nanti.


LinkedIn Optimisation.

Aktif dalam LinkedIn, buat portfolio, tulis pengalaman program atau kerja sukarelawan. Inilah bukti kerja yang majikan mahu lihat. Inilah juga bukti bahawa anda menimba pengalaman walaupun masih lagi belajar.


Kenal pasti kekuatan diri berdasarkan subjek.

Kita belajar strategic management, project management, quality management, policy analysis. Dalam banyak-banyak subjek ni, mesti ada subjek yang kita minat dan dekat di hati. Maka, kita cuba explore dan specialise dalam subjek tersebut. Jadikan subjek tersebut macam area of interest atau sub-bidang kita.


Buang mentaliti bahawa jurusan BAS mesti masuk kerajaan.

Saya nak sentuh sikit pasal mentaliti sesetengah pelajar atau graduan BAS yang anggap laluan hidup mereka mesti berakhir di sektor kerajaan. Kalau belajar pentadbiran awam, wajib masuk kerja kerajaan. Betul ke macam tu?


Sebenarnya, BAS ni bukan lesen eksklusif untuk kerja kerajaan sahaja. Ramai je alumni FSPPP yang bekerja dalam sektor swasta, sama ada dalam bidang pengurusan, sumber manusia, compliance, latihan, customer service dan macam-macam lagi. Skop pengajian dalam BAS memang luas dan fleksibel. Kita belajar pasal polisi, tadbir urus, organisasi, undang-undang, hubungan antarabangsa dan juga pengurusan sumber manusia. Semua ni ada nilai tinggi di mata majikan, tak kira kerajaan atau swasta.


Selalunya, bila sebut BAS, orang terus kaitkan dengan jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). Betul, memang itu antara laluan yang popular. Tak salah pun kalau nak cuba, malah digalakkan. Tapi kita juga kena realistik bahawa jawatan PTD ni sangat terhad dan bukan semua orang akan berjaya sampai ke tahap tu. Nak melepasi exam untuk berpeluh, inikan pula nak sampai level interview. Jika keputusan lulus sekali pun, ada je yang terpilih tetapi masih lagi dalam senarai simpanan. Bukannya terus dapat. Jangan sempitkan hala tuju kerjaya kita dengan satu laluan sahaja. Kalau tak jadi PTD, bukan bermaksud anda gagal.


Lagi satu, elakkanlah untuk turunkan taraf kelayakan akademik dalam sistem permohonan kerja kerajaan semata-mata nak dapatkan peluang temuduga. Buang ijazah, buang diploma, mohon jawatan SPM semata-mata sebab nak masuk kerja kerajaan. Level diploma tu boleh la diterima akal lagi. Ada je peluang pekerjaan di luar sana yang setara dengan kelayakan kita. Cumanya kita perlu usaha lebih. Kalau nak kejar pencen, sekarang dah tak ada pencen. Kebanyakan jawatan dalam kerajaan pun kontrak. Jadi, nak kejar apa sebenarnya? Take a step back and think deeply.


Pandangan Sebagai Alumni:

Saya bangga jadi graduan FSPPP. Tapi saya juga sedar, kita kena bekerja lebih keras untuk position diri kita dalam pasaran kerja. Kita kena pandai market diri.


Selaku alumni, saya rasa jurusan BAS perlu ditambah baik untuk menjadikan ia lebih marketable and align with the industry needs.


Azeem membuat perkongsian selaku Alumni Diploma Pentadbiran Awam semasa Academic Alumni Coffee Talk - 29.11.2017.


Cadangan Penambahbaikan bagi Jurusan BAS:


1. Wujudkan pengkhususan atau sub-bidang yang lebih jelas

Jurusan BAS perlukan hala tuju yang lebih konkrit. Kita boleh ambil contoh daripada jurusan lain di FSPPP sendiri seperti:

  • Bachelor in Corporate Administration (BCA) – jelas ke arah Company Secretary (CoSEC).
  • Bachelor in Environmental Administration (BEVA) – menjurus kepada kerjaya Safety & Health Officer (SHO) atau Environmental Consultant.


Malah, jurusan seperti Bachelor in Human Resource Management juga telah ada pengkhususan dalaman seperti:

  • HR (Recruitment)
  • HR (Payroll)
  • HR (Training)


BAS juga wajar mengikut pendekatan yang sama, seperti menawarkan laluan elektif khusus seperti:

  • Public Policy & Governance
  • Strategic & Project Management
  • Digital Administration & Communications


Ini dapat membantu pelajar memilih laluan kerjaya sejak awal dan membina fokus dalam pengalaman praktikal serta resume mereka.


2. Kuatkan hubungan dengan alumni dan industri

Kerjasama dengan alumni dan pihak industri sangat penting untuk:

  • Mengenal pasti kandungan subjek yang masih relevan dengan keperluan pekerjaan hari ini.
  • Menyemak skill-set sebenar yang majikan cari.
  • Menyesuaikan struktur program dan silibus dengan kehendak industri.


Pihak fakulti boleh mempertimbang inisiatif berikut:

  • Mesyuarat alumni secara berkala: untuk mendapatkan maklum balas terhadap apa yang dipelajari berbanding apa yang digunakan di tempat kerja.
  • Sesi libat urus bersama industri: untuk tahu apa kemahiran teknikal dan soft skills yang diperlukan, dan kemudiannya diintegrasikan dalam program.


Ini boleh kurangkan keperluan pelajar untuk ambil sijil tambahan luar, kerana elemen tersebut sudah tersedia dalam program akademik.


3. Semak dan kemas kini subjek

Kandungan silibus dan pendekatan tugasan dalam jurusan BAS perlu melalui proses penilaian semula agar kekal relevan, praktikal dan selari dengan keperluan industri semasa.


Adakah subjek masih relevan?

Sesetengah subjek masih mengandungi elemen atau perisian yang mungkin sudah lapuk dan tidak lagi digunakan dalam industri.


Contoh:

Subjek Multimedia yang dahulu mengajar kita membangunkan aplikasi menggunakan Adobe Flash Player, sedangkan perisian tersebut telah dihentikan sokongannya oleh semua pelayar utama.


Sebagai alternatif, pelajar sepatutnya dilatih menggunakan perisian pejabat yang amat diperlukan dalam pentadbiran zaman kini, seperti:

  • Microsoft Excel: kemahiran mengurus data, menggunakan formula, PivotTable dan visualisasi.
  • Microsoft PowerPoint: kemahiran menghasilkan laporan dan pembentangan profesional.
  • Microsoft Word: kemahiran menyediakan dokumentasi rasmi seperti memo, laporan dan minit mesyuarat.


Walaupun dianggap asas, perisian-perisian ini mempunyai sijil pengiktirafan antarabangsa seperti Microsoft Office Specialist (MOS) dan digunakan secara meluas dalam sektor awam dan swasta. Kita fikir macam ni jelah, kalau betul Microsoft Office ni mudah, pasti semua dah jadi specialist, betul tak?


Tukar kaedah penilaian assignment dan projek

Tugasan yang diberikan juga perlu disesuaikan supaya mencerminkan situasi sebenar dalam organisasi.


Contoh:

Subjek Public Policy

Tugasan dahulu: Mengkaji dan menganalisis dasar kerajaan sedia ada.

Cadangan baharu: Sediakan draf dasar berdasarkan isu tertentu, lengkap dengan objektif, strategi dan pelan pelaksanaan.


Kenapa?

Kita kena train seolah-olah pelajar adalah pegawai pentadbiran yang menyediakan kertas kerja dasar untuk pertimbangan pengurusan atasan.


Subjek Public Personnel Administration (PPA)

Cadangan tugasan:

Pelajar diberi tugasan untuk menyediakan:

  • Kertas cadangan latihan dalaman
  • Modul latihan
  • Jadual pelaksanaan program latihan atau orientasi pekerja baharu


Kenapa?

Ini adalah antara tugasan bernilai tinggi kerana ia mencerminkan kerja sebenar dalam bidang sumber manusia, latihan dan pengurusan organisasi, baik di sektor kerajaan mahupun swasta.


Subjek Financial Administration

Tugasan dahulu: Menganalisis bajet kerajaan atau membentangkan ringkasan peruntukan dalam belanjawan tahunan.


Cadangan tugasan baharu:

Sediakan draf belanjawan organisasi untuk satu jabatan/unit. Tugasan ini boleh merangkumi:

  • Cadangan bajet operasi dan pembangunan
  • Justifikasi kewangan bagi setiap perbelanjaan
  • Pelan kawalan bajet
  • Template laporan kewangan ringkas


Kenapa?

Berikut adalah tugas pegawai akaun/pentadbiran kewangan sebenar. Pelajar perlu faham aliran dana, pengagihan sumber dan cara penyediaan bajet.


Subjek Strategic Management in Public Sector

Tugasan dahulu (biasa): Mengulas teori pengurusan strategik atau menganalisis pelan strategik jabatan kerajaan.


Cadangan tugasan baharu:

Bangunkan Pelan Strategik untuk satu organisasi sektor awam atau NGO. Tugasan boleh meliputi:

  • Penulisan misi & visi
  • Analisis SWOT
  • Penetapan matlamat strategik
  • Pelan tindakan dan KPI
  • Cadangan mekanisme pemantauan


Kenapa?

Pelajar didedahkan kepada keperluan "big picture thinking or think outside the box" dan dokumentasi strategik untuk dibentangkan ke peringkat pengurusan tertinggi.


Penilaian semula subjek dan tugasan ini akan:

  • Menjadikan pelajar lebih bersedia dari segi teknikal dan dokumentasi.
  • Membolehkan mereka menggunakan bahan tugasan sebagai portfolio kerja.
  • Mengurangkan keperluan mereka belajar semula dari kosong bila masuk ke dunia kerja.


4. Pastikan Subjek Elektif Ditawarkan Seperti dalam Struktur Program

Berdasarkan pengalaman saya sebelum ini, terdapat beberapa subjek elektif yang disenaraikan dalam programme structure tetapi tidak pernah ditawarkan semasa tempoh pengajian. Ini mengehadkan pilihan pelajar untuk memilih bidang pengkhususan atau topik yang selari dengan minat dan perancangan kerjaya mereka.


Contoh pengalaman peribadi:

Semasa saya di peringkat pengajian, saya telah merancang untuk membentuk bidang fokus saya dalam Digital Administration & Communications. Saya merancang untuk menduduki empat subjek elektif secara berperingkat iaitu:

  • Electronic Government (Semester 3)
  • Innovation Management (Semester 4)
  • Service Management (Semester 5)
  • Information Technology Management (Semester 6)


Namun, tiga subjek (electronic government, service management, information technology management) tidak ditawarkan semasa saya berada dalam semester berkaitan. Ini menjejaskan perancangan akademik dan aspirasi saya untuk menjadikan Digital Administration & Communications sebagai sub-bidang atau area of interest.


Pada semester 4, ada subjek Innovation Management. Subjek yang menarik namun memandangkan tiga subjek tadi tiada, maka saya rasa Innovation Management tidak mencukupi dalam perancangan saya untuk develop area of interest. Disebabkan itu, saya tak proceed dengan subjek ini dan ambil subjek lain.


Cadangan:

  • Buat semakan berkala ke atas senarai subjek elektif yang disenaraikan dan tawarkan secara konsisten mengikut permintaan dan perancangan fakulti.
  • Jika terdapat kekangan (seperti tenaga pengajar atau logistik), pelajar harus dimaklumkan lebih awal agar mereka boleh merancang pengambilan subjek alternatif.
  • Pertimbangkan untuk memperkenalkan elektif rentas program (cross-programme electives), contohnya membenarkan pelajar BAS mengambil elektif dari program BCA, BEVA jika ia relevan dan bermanfaat untuk pembangunan kerjaya mereka.


Mengapa ini penting?

  • Memberi autonomi dan fleksibiliti kepada pelajar untuk memilih bidang fokus mereka sendiri.
  • Mengelakkan rasa kecewa atau terkongkong apabila subjek yang diharapkan tidak tersedia.
  • Menyokong usaha membina portfolio akademik yang lebih tersusun, selari dengan keperluan industri dan aspirasi kerjaya pelajar.


Panel Forum ASCAR 2025 bersama Dr Hidayana


Pandangan Panel Lain: Memperluas Perspektif

Walaupun artikel ini banyak berkisar pada sudut pandang saya sendiri, forum ini turut mempertemukan saya dengan dua lagi panel hebat yang menyumbangkan pandangan yang sangat bernas dan membuka mata.


Saudari Nurin Farzana

Saudari Nurin Farzana sependapat bahawa persepsi graduan BAS mesti masuk kerajaan wajar disingkirkan. Beliau menegaskan dua perkara penting:


  • Bukan mudah untuk menembusi sektor kerajaan, dan jangan sesekali terlalu bergantung kepada laluan ini sahaja.
  • Sektor swasta menawarkan peluang luas serta gaji yang lebih kompetitif, jadi mengapa tidak diberi peluang?


Saudari Nurin Farzana juga menegaskan sesuatu yang sangat penting dan jarang dibincangkan secara terbuka, iaitu tindakan segelintir graduan yang sanggup membuang kelayakan diploma atau ijazah dalam sistem permohonan semata-mata untuk melayakkan diri memohon jawatan bertaraf SPM.


Secara tidak langsung, ini seolah-olah menipu sistem.” jelas beliau.


Menurutnya, tindakan sebegini bukan sahaja merendahkan nilai kelayakan akademik yang telah diperoleh dengan susah payah, tetapi juga boleh memudaratkan reputasi diri dan institusi. Persepsi bahawa "asal dapat kerja" harus ditukar kepada "dapat kerja bermaruah".


Pandangan ini selari dengan pengalaman saya sendiri.


Saudara Mohd Amirul Ashraf

Sementara itu, Saudara Mohd Amirul Ashraf pula membawa satu dimensi menarik apabila menyentuh jurusan BCA. Beliau secara jelas menyatakan bahawa:


Graduan BCA sebenarnya mudah dapat kerja. Peluang kerja itu ada. Jadi kalau ada yang kata susah, itu 100% mitos.


Penegasan ini penting untuk menyuntik keyakinan dalam kalangan pelajar jurusan BCA. Dengan syarat, mereka proaktif mencari peluang dan tidak hanya menunggu kerja datang bergolek.


Beliau turut menambah bahawa jawatan CoSEC sangat tinggi permintaannya dalam kalangan syarikat GLC, syarikat Berhad, dan juga syarikat Sdn. Bhd.. Maka, jika graduan benar-benar mahu kerja, mereka disarankan kekal dalam bidang berkaitan kerana permintaan sememangnya wujud, cuma perlu konsisten, sabar dan terus membina kepakaran dalam aliran yang telah mereka pilih.


Kesimpulan

Graduan FSPPP khususnya BAS bukanlah tidak berkualiti, cuma kita perlu pandai cipta laluan sendiri. Sebagai graduan yang fleksibel, kita sebenarnya ada banyak kelebihan.


Cumanya, untuk tingkatkan lagi kelebihan itu, fakulti boleh buat sesuatu untuk memperkasa jurusan BAS yang tercinta ini, seperti mana BEVA dan BCA.


Ilmu akademik itu penting, tapi nilai tambahlah yang membezakan kita. Mulakan dari sekarang, asah kemahiran, bina identiti dan terus belajar, belajar dan belajar.


Terjemahkan semua itu dalam resume, portal kerja dan LinkedIn. Market atau iklankan diri kita. Bila kita iklankan diri kita, tak semestinya terus dapat. Mungkin beberapa kali bakal majikan review, baru dia contact kita. Sama la macam kita nampak iklan orang jual makanan. Beberapa kali iklan, baru kita plan nak beli.


Di universiti, belajarlah menjadi manusia yang all rounder. Jangan jadi pelajar yang hebat atas kertas semata-mata.


Bak kata pepatah orang putih, "All work and no play makes Jack a dull boy."


Dr Suhaimi ada kongsikan pada saya suatu kata-kata hikmah. Dekan FSPPP Prof. Dr Jasmine Ahmad pernah berkata,


"University does not guarantee / provide you job. University prepares you for the job, through its academics and curriculum. The rest is all on you (to get the job)".


Sekian, terima kasih.


Ahmad Azeem bin Ahmad Raslan (AZAR)

Alumni Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) UiTM
Diploma Pentadbiran Awam, 2013-2016
Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kepujian), 2016-2018
Ijazah Sarjana Eksekutif Sains Pentadbiran, 2018-2020


#Azaraslan #FSPPP

Post a Comment

Terbaru Lebih lama

Baju Hujan Tahan Lasak Kalis Air

Maxtag Touch N Go Smart Tag Holder