Shopee



“Weh, aku dapat intern kat kementerian, PBT, jabatan ABC ni!”

"Kau tahu tak? Aku dapat internship dekat agensi XYZ!"

“Bestnya. Aku kat syarikat biasa je…”

"Hurm bestnya. Aku dapat SME je / syarikat kecil je..."


Ramai pelajar bila tiba masa praktikal, pasti akan ada dialog sesi ‘banding-membanding’. Siapa dapat tempat intern paling gah, paling besar, paling dikenali. Syarikat multinasional (MNC), agensi kerajaan, kementerian semuanya nampak wow dan akan dilihat seperti kejayaan. Tapi… betul ke intern kat tempat gah tu sentiasa lebih baik dan menarik? Atau sebenarnya, tempat ‘biasa-biasa’ pun ada kelebihannya tersendiri?


Biasanya nama organisasi dijadikan ukuran kejayaan. Tapi realitinya, internship bukan soal syarikat yang paling gah, tapi siapa yang paling banyak belajar.


Sebagai graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (AM228), saya juga telah melalui fasa internship. Saya pernah menjalani latihan praktikal di Centre for Strategic Planning and Information (CSPI) UiTM. Pengalaman penuh saya boleh dibaca di sini: https://www.azaraslan.com/2021/11/pengalaman-internship-bersama-cspi-uitm.html. Selain itu, macam-macam cerita juga saya dapat daripada rakan-rakan seperjuangan mengenai pengalaman mereka. Percayalah, tak semua organisasi gah itu memberi pengalaman yang kita bayangkan, kecuali yang memang betul-betul well established.


Internship di Syarikat Gah

Organisasi ‘nama besar’ ada kelebihan seperti:

  • Nama dikenali dalam resume: Mudah tarik perhatian recruiter.
  • Sistem kerja profesional: Banyak SOP, latihan dan struktur organisasi yang tersusun.
  • Peluang networking: Berjumpa orang industri dan pegawai tinggi.
  • Fasiliti lebih baik: Kadangkala diberi elaun, ruang kerja selesa, malah dijemput ke event rasmi.


Namun, jangan terkejut kalau ada pelajar hanya diberi tugas susun fail, key-in data, buat kerja fotostat atau buat kerja dokumentasi sepanjang tempoh praktikal. Dalam organisasi besar, skop kerja sangat spesifik dan ruang untuk explore boleh jadi terhad.


Syarikat Gah yang Ada Program Internship Tersusun & Berkualiti

Walaupun ada organisasi besar yang sekadar ambil intern sebagai tenaga sokongan, ada juga yang benar-benar serius membina bakat pelajar. Mereka menyediakan:

  • Modul khas untuk intern
  • Sesi mentoring dan coaching
  • Tugasan sebenar yang selari dengan bidang
  • Feedback berkala untuk perkembangan profesional


Berikut antara contoh organisasi gah yang diketahui mempunyai rekod baik dalam program internship (terutama dalam konteks Malaysia dan pelajar bidang pentadbiran):

  • Bank Negara Malaysia (BNM)
  • Khazanah Nasional
  • Government Linked Company - GLC (PETRONAS, TNB, Telekom, Sime Darby)


Kalau dapat tempat macam ni, memang berbaloi! Tetapi perlu diingat bahawa saingan sangat tinggi, tempat terhad dan biasanya mereka utamakan pelajar yang aktif, ada CGPA yang baik serta menunjukkan minat yang jelas semasa permohonan.


Internship di Syarikat Biasa-Biasa

Syarikat mikro, SME  / PKMS dan NGO pula berupaya menawarkan kelebihan seperti berikut:

  • Intern diberi lebih kepercayaan: Ada intern yang diberi tanggungjawab penuh untuk urus program, buat laporan atau kendalikan media sosial rasmi syarikat.
  • Pembelajaran hands-on: Intern tidak hanya duduk dalam pejabat, tetapi turun padang dan berinteraksi terus dengan komuniti / klien / prospek.
  • Lebih mudah menonjol: Dalam pasukan kecil, prestasi kita lebih mudah dikenali.
  • Potensi diserap bekerja: Pelajar berkemungkinan besar diserap sebagai pekerja tetap jika menunjukkan kesungguhan dan kecemerlangan.


Walaupun banyak kelebihan, ada juga beberapa cabaran yang mungkin dihadapi pelajar:

  • Kurang struktur & bimbingan formal: Ada organisasi yang tiada modul khas atau supervisor tetap, jadi pelajar perlu lebih proaktif mencari peluang belajar.
  • Tiada elaun / kebajikan terhad: SME kecil mungkin tidak mampu sediakan elaun, makan tengah hari atau kemudahan lain.
  • Proses kerja kurang profesional: Kadangkala dokumentasi, pengurusan fail atau sistem kerja tidak ada satu sistem atau standard.
  • Nama tidak memberi impak pada resume: Untuk sesetengah industri, nama besar masih memberi kelebihan dalam tapisan awal temuduga.


Jadi, pelajar perlu buat background check company terlebih dahulu. Tips pemilihan tempat praktikal, boleh baca di sini: https://www.azaraslan.com/2024/07/internship-series-tips-memilih-tempat.html


Panduan Pelajar AM228: Apa Patut Anda Nilai?

Untuk pelajar dalam bidang sains pentadbiran, tempat praktikal sepatutnya bantu anda untuk:

  • Faham struktur organisasi sebenar
  • Tahu urus fail rasmi, dokumentasi, minit mesyuarat, laporan dan surat menyurat
  • Libatkan diri dalam pelaksanaan dasar/polisi/projek/inisiatif
  • Bangunkan kemahiran komunikasi dan pengurusan projek


Checklist sebelum terima tawaran intern:

Berikut adalah checklist penting:

  • Skop kerja jelas atau kabur?
  • Dapat buat kerja pentadbiran sebenar atau tidak?
  • Ada bimbingan supervisor?
  • Adakah organisasi itu membuka peluang kepada pelajar untuk belajar dan menyumbang?
  • Ada elaun? Lokasi okay?
  • Bagaimana budaya kerja di sana?

Tips pemilihan tempat praktikal, boleh baca di sini: https://www.azaraslan.com/2024/07/internship-series-tips-memilih-tempat.html

Kesimpulan: Internship Ialah Soal Belajar, Bukan Soal Tempat Gah Semata-Mata

Internship bukan soal siapa paling gah, tapi siapa paling berkembang.

  • Dapat tempat hebat tapi hanya buat kerja fotostat / susun fail = rugi.
  • Dapat tempat kecil tapi belajar urus projek sebenar = untung.


Nama syarikat mungkin beri first impression, tetapi kemahiran, pengalaman dan sikap kerja yang akan bantu kita dalam jangka panjang. Tak kisahlah anda daripada jurusan apa-apa sekalipun, pilihlah tempat yang beri anda ruang untuk berkembang, belajar dan menyumbang.


Tanya diri anda, apa yang anda inginkan. Anda nak bawa balik apa dari organisasi itu? Adakah anda mahukan pengalaman, kemahiran, keyakinan atau sekadar cop kehadiran dan nama organisasi gah di resume namun kita tidak belajar banyak benda dari sana?


Sebelum anda jalani internship, boleh baca artikel saya ni untuk persediaan awal: https://www.azaraslan.com/2021/10/persediaan-tips-sebelum-menjalani.html


Jika anda sedang menjalani internship, baca sini: https://www.azaraslan.com/2021/11/internship-series-tips-semasa-menjalani.html


Sekian, terima kasih.


Ahmad Azeem bin Ahmad Raslan (AZAR)

Alumni Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) UiTM
Diploma Pentadbiran Awam, 2013-2016
Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kepujian), 2016-2018
Ijazah Sarjana Eksekutif Sains Pentadbiran, 2018-2020


#Azaraslan #FSPPP


Post a Comment

Terbaru Lebih lama

Baju Hujan Tahan Lasak Kalis Air

Maxtag Touch N Go Smart Tag Holder