Tanggal 8 Mei. Tarikh ini mungkin sekadar hari biasa bagi kebanyakan orang. Tapi bagi saya, ia adalah peringatan akan satu perjalanan panjang iaitu perjalanan saya sebagai seorang ahli Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), yang bermula seawal usia 10 tahun.
Sekolah Rendah: Cerita Darjah 4
Saya masih ingat lagi waktu pemilihan badan beruniform di sekolah rendah, sekitar tahun 2005. Hampir semua budak lelaki sekelas saya memilih untuk sertai Pengakap, iaitu persatuan yang dianggap lebih “sesuai untuk lelaki”, penuh dengan aktiviti lasak dan perkhemahan. Tapi saya… saya satu-satunya budak lelaki yang pilih Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).
Biasalah, waktu tu saya disakat:
"PBSM tu persatuan budak perempuan masuk lah!"
Saya hanya senyum. Saya tak ada jawapan yang jelas, tapi saya tahu saya tertarik dengan PBSM ni. Mungkin sebab uniform atau mungkin sebab nampak macam doktor dan jururawat yang membantu orang. Naluri saya kata, "ini tempat aku."
Dan di situlah semuanya bermula.
Sekolah Menengah
Saya teruskan penyertaan dalam BSMM sepanjang sekolah menengah dari 2008 hingga tamat SPM pada tahun 2012. Di sini, saya mula aktif dengan kawad kaki, menghadiri kursus pertolongan cemas, dan juga menjadi first aider semasa acara sekolah, seperti Hari Sukan.
Kawad kaki merupakan satu aktiviti yang mengajar saya tentang ketepatan, disiplin dan kerjasama. Setiap kali latihan dan pertandingan, saya rasa bangga menyarung uniform dan membawa nama BSMM. Sebagai first aider pula, saya perlu sentiasa bersedia untuk membantu jika ada kecederaan. Ini secara tidak langsung membentuk saya jadi lebih peka, cekap dan bertanggungjawab.
Selain itu, saya juga diberi kepercayaan untuk menjadi Ketua Seksyen Utama (KSU) merangkap Pengerusi BSMM sekolah. Jawatan ini memberi saya peluang untuk belajar bagaimana bekerja dalam pasukan dan menguruskan aktiviti. Saya cuba melakukan yang terbaik dalam memimpin, dan itu memberi saya pengalaman yang cukup berharga.
Dewasa: Dari Ahli Biasa ke Pengerusi Jawatankuasa Belia
Sejak saya menyertai BSMM di peringkat dewasa pada 2013, saya berpeluang terlibat dalam pelbagai aktiviti kemanusiaan dan krisis. Bermula sebagai ahli biasa di bawah pantauan Pasukan Bantuan Sukarela (VAD) 44 Shah Alam, saya terus aktif dalam menyertai khidmat masyarakat, misi bantuan dan program kemanusiaan yang memberi impak kepada masyarakat.
Saya masih ingat lagi tugasan pertama saya. Tugasan pertama saya pada tahun ialah membantu mengajar kawad kaki di sebuah sekolah sekitar Subang Jaya, Selangor. Pengalaman ini membuka peluang bagi saya untuk mengasah kemahiran mengajar dan berinteraksi dengan pelajar.
Dari mengajar kawad kaki di sekolah, kemudian saya didedahkan dengan pelbagai tugasan umum seperti first aider standby untuk sukaneka sekolah, sukan bola sepak, sukan ragbi, sukan hoki dan sebagainya. Mula-mula sukan yang ringan, kemudian sukan yang berat.
Beberapa pengalaman berharga yang saya lalui sepanjang 12 tahun ini termasuk:
- Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) semasa Tragedi Banjir Shah Alam dan membantu mangsa yang terjejas.
- Krisis COVID-19, di mana saya turut serta dalam tugas pemberian bantuan makanan asas, pemasangan DIY face shield, program vaksinasi rumah ke rumah, pengagihan makanan dan PPE ke agensi seperti polis, bomba dan klinik.
- Pengurusan Logistik ketika Banjir Besar Kelantan: membantu dalam pengurusan logistik di peringkat Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Selangor.
- Pengurusan Logistik di Kedutaan Turki di Malaysia untuk membantu pembungkusan barang bantuan selepas gempa bumi besar yang melanda Turki.
Melalui penglibatan dalam aktiviti sebegini, saya memperoleh pengalaman dalam kerja lapangan, koordinasi misi bantuan dan kerjasama pasukan. Saya juga berpeluang memimpin pasukan kecil dalam beberapa aktiviti, yang memberi saya peluang untuk belajar tentang kepimpinan.
Pada tahun 2021, saya diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia di peringkat Bulan Sabit Merah Malaysia Daerah Petaling bagi penggal 2021/2024. Dalam jawatan ini, saya bertanggungjawab merancang dan menggerakkan aktiviti belia serta menjalankan projek kemanusiaan yang memberi manfaat kepada komuniti sekitar. Jawatan ini memberi saya banyak pengalaman berharga dalam menguruskan pasukan dan perancangan projek.
Anugerah dan Penghargaan
Sepanjang perjalanan saya sebagai ahli BSMM, saya telah diberi penghargaan atas usaha dan perkhidmatan yang saya curahkan. Saya sangat bersyukur atas semua pengalaman ini, kerana ia bukan sahaja memotivasikan saya untuk terus berkhidmat, tetapi juga mengingatkan saya akan kepentingan kerja berpasukan dan kesungguhan dalam setiap tugas yang diamanahkan.
Tiga penghargaan yang saya terima adalah:
- Sijil Kepujian atas perkhidmatan terhadap persatuan sekurang-kurangnya 3 tahun (peringkat dewasa selepas 18 tahun).
- Pingat Semangat Kemanusiaan (COVID-19) sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan bakti sepanjang krisis COVID-19.
- Pingat Perkhidmatan Lama, sebagai pengiktirafan terhadap lebih dari 10 tahun perkhidmatan (selepas 18 tahun) dalam Bulan Sabit Merah Malaysia.
Semoga anugerah ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk turut serta dalam kerja kemanusiaan.
Kesimpulan
Perjalanan saya dalam Bulan Sabit Merah Malaysia bukan sahaja memberikan saya pengalaman yang luas dalam kerja kemanusiaan tetapi juga telah membentuk siapa saya hari ini. Dari seorang budak lelaki yang disakat kerana memilih persatuan "perempuan", hinggalah menjadi seorang Pengerusi Jawatankuasa Belia dan menerima penghargaan atas perkhidmatan saya. Setiap langkah dalam perjalanan ini telah memberi saya pengalaman berharga dan saya berharap dapat terus memberi sumbangan kepada masyarakat pada masa akan datang.
Kini di tahun 2025, walaupun saya sudah tidak memegang jawatan (kerana mahu fokus komitmen kerja dan keluarga), perjalanan ini belum berakhir. Selagi ada tenaga, masa dan hati untuk memberi, saya akan terus menyumbang. Dan saya harap, kisah kecil ini dapat menyentuh hati anda, untuk percaya bahawa, setiap pilihan berani yang kita buat, walaupun disalah erti pada awalnya, boleh menjadi permulaan kepada sesuatu yang luar biasa.
Sekian coretan saya kali ini, terima kasih.
#Azaraslan
Catat Ulasan