Shopee

Sesi latihan bersama PPKI, 2014

 

Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera. Semoga semua pembaca baik-baik sahaja dan dipermudahkan segala urusan dalam kehidupan.


Setiap kali menjelang 16 Mei, saya akan terkenang bukan sahaja jasa para pendidik dalam hidup saya, tetapi juga satu sisi perjalanan yang mungkin ada yang tahu dan tak tahu, iaitu pengalaman saya sendiri membimbing pelajar, meskipun bukan dalam tempoh yang panjang.


Cerita Tingkatan 4

Semuanya bermula ketika saya masih bergelar pelajar di SMK Seksyen 19. Sewaktu di tingkatan 4, saya sudah mula terlibat secara tidak rasmi membantu pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dalam latihan muzik nasyid bagi persediaan pertandingan. Ketika itu, saya bukan cikgu tetapi cuma pelajar biasa yang mempunyai keinginan untuk membantu.


Namun, dari usaha kecil itu lahir satu kenangan besar. Pasukan nasyid PPKI yang saya bantu semasa tingkatan 4 berjaya mara ke peringkat zon, daerah dan seterusnya menjadi naib johan peringkat negeri. Pencapaian itu bukan sahaja membanggakan, tetapi juga membuka mata saya tentang potensi luar biasa pelajar istimewa jika diberi bimbingan yang sebaiknya.


Tenaga Pengajar PPKI

Selepas tamat SPM pada tahun 2012, saya kembali ke sekolah, bukan sebagai pelajar, tetapi sebagai tenaga pengajar sukarela. Dari tahun 2013, 2014, 2015 dan 2017 — setiap kali cuti semester atau waktu-waktu tertentu (biasanya ketika saya cuti), saya akan dipanggil oleh pihak PPKI untuk melatih kumpulan nasyid mereka.




Saya mengajar vokal dan alat muzik, bantu susun persembahan dan beri latihan pentas. Tapi hakikatnya, ia bukan semudah yang disangka.


Lagu yang saya ajar adalah lagu yang saya tulis sendiri liriknya dan gubahan alat muziknya. Nama lagu ialah Al-Quran Penjana Transformasi Ummah. Lagu ini saya tulis sewaktu saya tingkatan 5 dan digunakan juga untuk kumpulan nasyid sekolah harian.


Mengajar pelajar PPKI menuntut satu perkara utama, iaitu kesabaran.


Kita tak boleh guna pendekatan “main ajar je”. Kita tak boleh harap mereka faham serta-merta. Setiap pelajar ada keperluan berbeza, cara pembelajaran berbeza, dan reaksi berbeza.


Saya belajar untuk:

  • Gunakan arahan satu per satu, bukan sekaligus. Saya pecahkan ibarat ikut silibus kecil. Hari ini fokus perkara A dahulu, esok fokus perkara B.
  • Tunjuk secara visual, bukan sekadar cakap.
  • Guna ulangan dan pengukuhan positif. Pujian kecil boleh beri kesan besar.
  • Jaga emosi mereka. Kalau kita marah, boleh terpadam semangat mereka.
  • Dan yang paling penting, saya belajar bahawa mereka akan percaya pada kita, jika kita percaya pada mereka dahulu.


Sedang mengajar mereka ikut tempo menggunakan marakas


Saya pernah melatih pelajar yang sedikit lambat pickup (vocalist and percussionist). Pelajar ni selalu lari tempo. Saya perlu extra patient dengan pelajar ni. Saya perlu guna macam-macam kaedah untuk bagi pelajar ni ikut tempo. Saya ingat lagi, saya guna marakas, kemudian guna kaedah tepuk tangan macam lagu tepuk amai-amai belalang kupu-kupu. Akhirnya, pelajar ni berjaya juga ikut tempo.


Masa tu saya sedar, sebagai tenaga pengajar PPKI, kita bukan sekadar beri ilmu. Kita bangunkan keyakinan. Mengajar pelajar PPKI menjadikan saya lebih sabar dan lebih peka dalam menyantuni mereka.


Bersama Cikgu Muhaini dan Cikgu Nurwina. Persediaan menghias alat muzik untuk pertandingan


Guru PPKI (Cikgu Muhaini dan Cikgu Nurwina) pernah berpesan kepada saya:


“Pelajar ni anak-anak syurga. Mereka tak sama macam pelajar lain. Kena banyak bersabar, dan kena santuni mereka. Baru kita boleh ajar mereka, dan ilmu tu akan lebih mudah lekat.”


Kata-kata itu melekat dalam hati saya sampai hari ini.


Kadang-kadang kita ulang benda sama lima enam kali. Kadang-kadang latihan yang kita rancang kena ubah spontan. Tapi setiap senyuman, setiap ketukan conga, bongo, djembe, tambourine yang betul, setiap bait lirik yang mereka hafal, itu semua adalah kejayaan yang tidak boleh dinilai dengan sijil atau markah.


Dan yang menarik, saya rasa saya yang lebih banyak belajar daripada mereka.


Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Daerah Petaling

Semasa pertandingan Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Daerah Petaling 2014, kumpulan nasyid yang saya ajar berjaya dapat tempat ke-3! Alhamdulillah! Walaupun bukan johan, saya tahu betapa besar usaha yang mereka curahkan. Biarpun mereka tempat ke-3 dalam pertandingan, mereka tetap johan di hati guru-guru! Ada pelajar yang dulu takut naik pentas, akhirnya berdiri utuh dengan senyuman. Itulah kemenangan sebenar!


Pasukan Nasyid PPKI SMKS 19, 2014. Tempat ke-3


Pada tahun 2017, saya mengikuti kumpulan nasyid ke MTQ Daerah Petaling. Kali ini, tiada rezeki untuk mereka menang. Tapi tak apa, sebab mereka dah buat yang terbaik. That's what matters!


Pasukan Nasyid PPKI SMKS 19, 2017.


Walaupun saya berkongsi ilmu sebagai tenaga pengajar pada tahun 2013, 2014, 2015 dan 2017, saya hanya mengikuti mereka ke pertandingan pada tahun 2014 dan 2017 sahaja. Sebab tahun lain tu saya dah kena kembali ke kampus. Cuti semester sudah habis.


Tahun 2018: Kembali Sebagai Guru Ganti

Tahun 2018 pula membuka satu lagi lembaran baharu dalam hidup saya. Saya kembali ke SMK Seksyen 19, kali ini sebagai guru ganti bagi subjek Bahasa Melayu, menggantikan seorang guru yang menunaikan haji. Dalam tempoh kira-kira sebulan, saya mengajar pelajar Tingkatan 4 dan 5. Saya mengajar bukan sekadar satu kelas, tetapi lima kelas, meliputi kelas hadapan dan kelas belakang.


Fail Rekod P&P. Ajar kelas 5 Iswara, 4 Perdana, 4 Saga, 4 Waja, 4 Juara


Di sinilah saya benar-benar diuji. Cara pengajaran untuk pelajar kelas hadapan dan kelas belakang ternyata berbeza. Pelajar kelas hadapan lebih mudah dibentuk, ada hala tuju dan tahu apa yang mereka mahukan. Sebaliknya, segelintir pelajar kelas belakang ramai yang hadir ke sekolah kerana rasa terpaksa. Ada yang tidak tahu pun apa cita-cita mereka. Ada yang hilang fokus, bergurau berlebihan malah tidur dalam kelas.


Ada waktu bila saya pulang ke rumah, saya akan bermonolog dengan diri saya,


"Cukup ke apa yang aku buat hari ni? Budak-budak ni faham ke apa aku ajar? Okay ke cara aku mengajar?"


Saya bermonolog seperti ini sebab rasa penat, tetapi saya tak nak putus asa lagi.


Ketika itulah, saya teringat akan kata-kata arwah Cikgu Norashikin Talhah, guru Bahasa Melayu saya dulu, yang pernah berkata di atas pentas Dewan Alamanda SMKS 19 pada tahun 2012:


"Semua pelajar ada masa depan. Termasuklah pelajar-pelajar kelas belakang. Kita cuma perlu kenal pasti dan bukakan jalan untuk mereka nampak. Kita bimbing apa yang boleh dan selebihnya biarlah dia mencorakkan kehidupannya sendiri."


Kata-kata ini membakar semangat saya untuk terus mencuba. Saya percaya saya boleh ajar mereka.


Dan, mengajar bukan soal menyampaikan silibus semata-mata. Ia adalah seni membaca manusia, menyelami jiwa mereka dan menyentuh dengan ilmu.


Saya dapatkan tips daripada guru-guru yang menjadi rakan sekerja (pada waktu itu). Mereka membeli nasihat-nasihat bermakna yang saya boleh aplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).


Azeem bersama guru-gurunya yang menjadi rakan sekerja


Saya ubah kaedah pengajaran untuk kelas belakang. Saya perlu jadi ‘member’ mereka, dekati mereka dengan cara yang mereka faham. Saya banyakkan aktiviti interaktif, gurau berpada-pada, beri mereka peluang bersuara. Lama-kelamaan, 3/4 daripada mereka mula ikut rentak pembelajaran saya. Selebihnya masih mencabar, tapi saya tidak pernah berputus asa.


Pejam celik, tamatlah khidmat saya sebagai guru ganti. Selepas tamat profesion sebagai guru ganti, saya sambung pengajian di peringkat sarjana. Setakat saya hidup ini, saya tetap anggap sebulan itu antara momen paling bermakna dalam hidup saya.


Dan paling menyentuh hati? Setahun selepas itu, pada tahun 2019, ketika menghadiri satu majlis di kawasan perumahan, seorang bekas pelajar menyapa saya:


"cikgu ingat saya tak cikgu?"


Jujur kata, saya tak ingat nama, tapi saya cam muka dia dan saya tahu dia kelas mana. Dia pelajar SPM. Kelas belakang.


Selepas bertanya khabar apa semua, tiba2 dia kata:


“Cikgu, saya dapat A dalam Bahasa Melayu untuk SPM. Terima kasih cikgu sebab ajar saya.”


Tiada kata yang mampu menggambarkan perasaan waktu itu. Dalam hati Tuhan je yang tahu betapa gembiranya saya. Sekurang-kurangnya ilmu yang kita berikan tu, ada juga orang guna. Ada juga dimanfaatkan oleh bekas pelajar. Feeling tu tak boleh dijual beli. Kita rasa macam, kita dah cuba yang terbaik untuk mendidik anak bangsa.


Kita sedar bahawa usaha kecil kita boleh mengubah hidup seseorang. Usaha kecil kita boleh memberi mereka harapan.


Azeem di hadapan sekolah


Kesimpulan

Pengalaman-pengalaman ini, dari zaman sebagai pelajar, ke tenaga pengajar muzik PPKI dan akhirnya ke guru ganti, membentuk pandangan saya terhadap dunia pendidikan. Menjadi guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, ianya juga adalah tentang membuka jalan, membina keyakinan dan membuka potensi dalam diri setiap pelajar, termasuk yang sering disisihkan.


Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru yang pernah mendidik saya dan kepada pelajar-pelajar yang pernah saya bimbing, kerana kalian sebenarnya telah mengajar saya jauh lebih banyak daripada yang saya jangka.


Selamat Hari Guru. Terima kasih kerana telah mengajar saya erti kesabaran dan kehidupan.


#Azaraslan #HariGuru

Post a Comment

Terbaru Lebih lama

Baju Hujan Tahan Lasak Kalis Air

Maxtag Touch N Go Smart Tag Holder