SYM Husky 150 |
Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera. Semoga dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan kejayaan di dunia dan akhirat.
Saya tinggal di Rawang dan bekerja di Petaling Jaya. Perjalanan sehala ialah 50km, menjadikan perjalanan pergi balik ialah 100km.
Apakah perasaan menunggang motosikal 100km sehari?
Kesesakan Lalu Lintas
Apabila saya menunggang motosikal, saya tetap perlu redah kesesakan lalu lintas seperti kereta, namun kita diberikan sedikit kelebihan untuk menyelit / mencilok. Amalan menyelit / mencilok ini adalah kebiasaan bagi penunggang motosikal, namun perlu sentiasa berhati-hati dan berwaspada atas jalan raya kerana jalan raya bukan digunakan oleh penunggang motosikal sahaja. Pandu laju, maut menunggu. Culas menunggang, mati mendatang. Dengan motosikal, kita dapat sampai ke destinasi dengan lebih cepat. Sebagai contoh, kalau saya pergi kerja dengan kereta, saya perlu keluar rumah pukul 7.00 pagi kalau nak sampai pejabat jam 9.00 pagi. Tetapi dengan motosikal, saya boleh keluar rumah lebih kurang jam 8.00 pagi dan tiba di pejabat jam 9.00 pagi. Boleh jimat masa banyak di sini. Begitu juga kalau saya nak pulang ke rumah.
Cuaca
Apabila saya menunggang motosikal, saya juga berhadapan dengan cuaca hujan dan panas. Apabila cuaca panas terik, kita disarankan pakai jaket untuk elak sunburn. Mana tidaknya, rider motosikal terdedah secara langsung dengan cahaya matahari. Jikalau hujan pula, kita perlu berhenti dan pakai set baju hujan. Adakalanya dapat berhenti bawah jambatan atau flyover. Ada waktu, kita terpaksa berhenti tepi jalan tanpa bumbung untuk sarung baju hujan. Jika hujan terlalu lebat sampai jalan pun tidak kelihatan, dan kilat pun sambar-menyambar, maka lebih baiklah untuk kita cari tempat berteduh terlebih dahulu. Bahaya memandu dalam keadaan jalan licin dan kurang daya penglihatan. Biarlah sampai rumah lambat, asalkan selamat. Apabila musim hujan, kebiasaannya kita akan sampai rumah sedikit lewat.
Risiko Kemalangan
Selain cuaca, risiko kemalangan juga sentiasa ada, kerana bak kata peribahasa Melayu, malang tak berbau. Kadang-kadang kemalangan berlaku sebab kesilapan kita sendiri, tapi tak kurang juga kerana kesalahan orang lain. Sebagai penunggang motosikal, kita terdedah kepada risiko cedera parah atau maut kerana kita ada less protection berbanding kereta. Kereta, ada rangka. Motor, memang direct kena ke kita. Malah, kita juga boleh menjadi collateral damage jika berada terlalu dekat dengan kemalangan yang melibatkan kenderaan lain. Sebab itu, walaupun motosikal memberi kelebihan dari segi masa, keselamatan tetap kena jadi keutamaan.
Persoalan yang ramai orang tanya, "tak penat ke?".
Jawapannya, ya. Penat. Ada waktu tu kadang-kadang kita microsleep atas motor. Jadi.. Jika saya rasa terlalu mengantuk, saya akan berhenti di RnR atau stesen minyak untuk beli air, minum air, beli gula-gula getah atau beli coklat untuk beri tenaga. Saya juga akan stretch badan, pergi tandas dan basuh muka untuk segarkan mata. Ada rider yang baring di pondok atau gazebo untuk rehatkan badan dan minda.
Walaupun penat, ini juga bermaksud saya ada lebih masa bersama keluarga, saya dapat rehat di rumah lebih awal, dan saya dapat sampai rumah lebih cepat. Bagi saya, lebih baik berpenat atas moto berbanding penat dalam kereta menghadap kesesakan trafik. Orang putih kata, choose your struggle.
Soalan lain yang biasa ditanya, "kenapa tak pindah dekat sikit dengan tempat kerja?"
Jawapannya… kos, komitmen dan pilihan hidup. Persekitaran rumah sekarang dah selesa, jauh dari hiruk pikuk bandar yang sibuk dan kos pun berpatutan. Kalau pindah, mungkin dekat kerja tapi jauh dari ketenangan dan kos hidup akan makin meningkat. So, saya pilih untuk ride jauh. Itulah pengorbanan saya buat masa sekarang. Selagi masih muda, ada kudrat, kita hustle demi hasil.
Selain itu, sepanjang saya berulang jauh, saya perasan ada beberapa motosikal yang sering saya jumpa di atas jalan raya. Motor yang sama dari kawasan yang sama, menggunakan lebuh raya yang sama, menghala ke Petaling Jaya dan menghala Kuala Lumpur. Maksudnya, saya bukan seorang saja yang berulang jauh setiap hari. Ramai lagi komuniti rider yang sanggup menempuh perjalanan panjang demi mencari rezeki. Malah ada yang jaraknya lebih jauh daripada saya. Ada yang sejauh 150km round trip, 200km round trip. Itu memberi saya rasa semangat dan motivasi untuk teruskan kehidupan.
Apa yang membuatkan saya bertahan?
Saya ada matlamat yang ingin dicapai dan saya ada keluarga yang perlu disara. Bagi saya, kehidupan ini perlu berada dalam zon tidak selesa, untuk memastikan kita sentiasa beringat bahawa kesukaran dan ketidakselesaan membolehkan kita untuk bangkit dan menjadikan diri lebih matang dan kuat.
Selain itu, saya enjoy menunggang motosikal. Angin-angin yang lalu sepanjang jalan tu membuatkan saya tenang. Saya juga dapat la menyanyi, berzikir, bermonolog dengan diri sendiri. Saya pasang Bluetooth Intercom di helmet. Dengan peranti ini, saya boleh dengar lagu, radio dan call orang. Dapat la kill time atas jalan. Ni produk yang saya pakai: https://s.shopee.com.my/2qERmi1Cqc?share_channel_code=1
Macam mana dengan servis dan kos penyelenggaraan motor?
Memandangkan saya ride jarak jauh setiap hari, servis motor on time memang wajib. Motor ni dah bekerja keras untuk kita, jadi kita pun kena beri yang terbaik untuk dia.
Kos servis motor bergantung pada jenis motor yang kita pakai. Kalau motor cc besar, kos pun besarlah. Masa mula-mula start long distance dulu, saya pakai kapcai Suzuki Shogun Axelo 125cc. Kos penyelenggaraan dia memang rendah. Setiap bulan saya tukar minyak hitam dan oil filter, dan rantai pun saya pakai heavy duty punya, dan selalu bubuh minyak supaya lancar.
Sekarang saya bawa skuter SYM Husky ADV 150cc. Motor ni pun tak mahal sangat maintenance dia. Best pun best. Servis minyak hitam setiap 5,000km, dan ikut jadual servis yang ditetapkan dalam manual. Makna kata saya pergi bengkel 1 kali dalam masa 2 bulan++.
Asalkan kita ikut manual dan jaga service interval, insyaAllah motor akan terjaga dengan baik dan boleh tahan lama. Saya sendiri target nak guna motor sekurang-kurangnya 10 tahun, kalau boleh lebih dari itu, lagi bagus. Lagi lama dia bertahan, lagi berbaloi.
Kesimpulan
Keputusan menunggang motosikal ini bermula sebagai keputusan yang praktikal iaitu untuk jimat kos dan mengurangkan masa dalam jem. Kini, ia jadi rutin untuk bantu saya berkembang melalui ketidakselesaan dan muhasabah diri.
Kepada mereka yang juga menunggang setiap hari, semoga dipermudahkan segala urusan. Hati-hati di jalan raya. Ingatlah orang tersayang.
Kepada penunggang jarak jauh seperti saya, apa yang buat anda terus bertahan setiap hari?
#Azaraslan #MotorbikeCommute #TwoWheels #RideToWork #DailyCommute #MotorcycleJourney #Rider
Suzuki Shogun Axelo 125 |
Catat Ulasan