Internship Series: Persediaan & Tips Sebelum Menjalani Internship


UiTM Di Hatiku.


Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera semua. Semoga semua pembaca sihat-sihat sahaja dan dilindungi daripada wabak COVID-19.

Latihan industri, latihan praktikal atau internship merujuk kepada penempatan pelajar dalam industri pekerjaan dalam jangka masa tertentu. Tujuan utamanya ialah untuk memberi pendedahan alam pekerjaan kepada pelajar.

Kebanyakan universiti dan kolej menjalankan internship antara 2 ke 4 bulan. Ada juga yang menjalankan selama 6 bulan dan 1 tahun.

Apa yang saya kongsikan ini, berdasarkan pembacaan, kajian, perkongsian dan pengalaman sendiri dan orang lain juga ya. Mohon maaf sekiranya ada kekurangan...

Pelbagai persediaan perlu dibuat sebelum menjalani internship.

Pernah dengar cerita senior zaman intern yang mereka kena buat kerja fotostat, buat kopi, beli makanan untuk staf dan sebagainya? Sekarang ni kita nak elak sampai tahap tu.

Tanpa melengahkan masa, okay jom kita mula!



Gambar saya semasa internship di Centre for Strategic Planning & Information (CSPI) UiTM bertempat di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Teknologi MARA. CSPI kini dikenali sebagai Bahagian Transformasi Universiti (BTU). Boleh baca pengalaman saya intern di SINI.


-----


PERSEDIAAN & TIPS

01. RESUME

Perkara pertama yang anda kena titik beratkan ialah resume. Resume ni adalah dokumen ringkas mengenai diri kita, khususnya berkenaan pencapaian, pekerjaan dan kelebihan yang ada pada diri seseorang.

Tujuan utama resume ini dihasilkan adalah untuk memohon pekerjaan. Dengan resume yang bagus, menarik dan menepati kriteria bakal majikan, anda layak untuk dipanggil bagi sesi temuduga kerja. Pendek cerita, resume ini dikira tiket untuk temuduga. Dalam sesi temuduga nanti, anda kena pastikan anda perform la. Perform macam mana? Maksudnya, anda kena bagi jawapan yang mantap dan body language kenalah berkeyakinan. Hal ini demikian kerana, resume sahaja tidak mencukupi untuk anda layak mendapatkan pekerjaan yang diinginkan.

Resume ni penting untuk internship, sebab anda kena hantar resume kepada majikan. Anda juga kena ingat, ada kemungkinan ramai pelajar akan hantar resume ke tempat yang sama. Sekiranya ramai yang hantar permohonan, majikan perlu membuat pilihan. Kalau organisasi tersebut memperuntukkan 5 kekosongan sahaja, maka majikan akan pilih yang terbaik. Kalau resume anda tak memberangsangkan, peluang anda akan jadi tipis la untuk menjalani internship di situ.

Kalau anda buat resume acuh tak acuh, haa.. Melepas la sudah. Oleh sebab itu, pastikan resume anda menarik dan mantap!

So, macam mana nak buat resume yang bagus untuk pelajar yang nak menjalani intern? Ni nanti boleh cerita di entri lain ya.


02. LAMAN MEDIA SOSIAL ANDA



Majoriti masyarakat berbilang kaum di Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun media sosial. Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek (2021), beliau berkata, "Pandemik COVID-19 membawa amalan baharu secara dalam talian dalam kehidupan dan aktiviti masyakarat apabila Malaysia merekodkan 28 juta pengguna media sosial atau 86 peratus daripada penduduk negara ini".

Sekiranya anda seorang yang aktif dengan media sosial dan internet, maklumat mengenai anda lebih mudah dicari oleh bakal majikan secara maya. Bakal majikan boleh sahaja Google nama anda di Google Search. Bila dah search, nanti keluar la maklumat-maklumat pasal diri anda.


Kalau anda nak kepastian, anda boleh search nama penuh anda sendiri di Google Search. Sekiranya ada maklumat keluar pasal diri anda, ini bermaksud anda memang aktif dengan internet dan media sosial.

Ni apa yang keluar bila saya search nama saya sendiri. Ini menunjukkan saya memang aktif di media sosial.

Pada tahun 2016, Wafa Awla telah menulis artikel dalam portal IIUM Today berkenaan majikan akan meneliti media sosial calon pekerja. Artikel ini juga telah dikongsi oleh Kohilah Sekaran di laman sesawang rasmi Astro Awani. Berdasarkan satu kajian, Kaunselor Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Saiful Redza Mohamed, berkata bahawa ada sesetengah majikan akan menyemak dan meneliti akaun Facebook calon pekerja sebelum diberi tawaran.Apa yang majikan lihat? Ujar Saiful Redza Mohamed:

  • Mereka akan menilai tingkah laku anda dan cara anda berfikir melalui apa yang telah dikongsikan di media sosial.
  • Jika gambar profil bukan gambar diri sendiri, mereka akan menganggap anda sebagai seorang yang kurang berkeyakinan
  • Jika anda tidak memiliki Facebook, mereka akan menganggap anda adalah seorang anti-sosial



Berdasarkan kenyataan di atas, anda perlulah mengendalikan akaun media sosial dengan lebih bijak, berhati-hati dan baik. Kalau nak post dan share sesuatu, fikir elok-elok. Kalau anda nak cakap perkataan kesat, nak buat cyber bully, fikirlah masak-masak ya. Kalau anda nak nyatakan pegangan politik, pastikan anda tidak terlampau taksub dan sebagainya.

Sekarang ni teknologi di hujung jari. Perkara yang berlaku 20-30 tahun lepas pun orang boleh gali dan timbul semula, inikan pula maklumat yang baru setahun jagung.

Jika anda ada Facebook, pastikan Facebook anda dipenuhi dengan info-info dan posting yang bagus. Dengan posting yang positif dan matang, majikan akan berasa lebih yakin untuk mengambil anda bekerja atau intern di organisasinya.

Anda ada LinkedIn? Pastikan anda lengkapkan segala butiran yang ada dalam profil LinkedIn. LinkedIn adalah platform profesional yang pasti akan dilihat oleh majikan dan bakal majikan.


Tuan Asnawi Yusof pun siap buat thread pasal ni. Boleh la cari di Twitter.

Akhir kata, media sosial ini boleh menjadi senjata yang baik atau senjata makan tuan. Media sosial berupaya membantu anda dan ianya juga berupaya menjatuhkan anda.


SEBAGAI PELAJAR, NAK UPDATE APA DEKAT LINKEDIN?

  • Update semua perkara yang dikehendakisehingga capai All Star.
  • Update kerja-kerja yang pernah dilakukan, sama ada full time, freelance, project based atau part time.
  • Update aktiviti yang anda turut serta.
  • Update pengalaman bekerja dalam persatuan.
  • Untuk aktiviti, pengalaman dan kerja, pastikananda fokuskan kepada anda yang andadapat. Lesson learned. Nilai tambah. Pengajaran.



03. TETAPKAN HALA TUJU INTERNSHIP DAN KECILKAN SKOP BIDANG YANG INGIN DICEBURI!

Anda nak buat internship? Bagus. Ada hala tuju? Pastikan ada ya. Jangan tak ada pula!

Pastikan anda buat internship yang kena dengan bidang yang anda belajar. Kalau anda belajar dalam bidang pentadbiran awam, jangan la pergi buat intern dekat kedai bakeri.

Kedai bakeri sememangnya ada pentadbiran dan pengurusan, tapi pengurusan mereka terarah ke F&B. Tak ada kena mengena dengan pengurusan kerajaan. Nanti anda nak goreng apa dalam buku log? Haa gitu.

Seterusnya, misal kata kita masih kekal dengan contoh pentadbiran awam, pentadbiran awam ni luas skopnya. Anda kena kecilkan skop dan pilih bidang yang anda rasa anda suka dan minat.

Sebagai contoh, pentadbiran awam meliputi pengurusan kewangan negara, perancangan dasar negara, pengurusan sumber manusia dan lain-lain. Anda minat mana satu? Let's say anda minat perancangan dasar negara (public policy), so anda carilah jabatan dan organisasi yang berkenaan dengan public policy atau yang seangkatan dengannya.

Contoh lain, anda ambil course kulinari. Kulinari ni ada banyak benda seperti bakeri, western, asian cuisine dan sebagainya. Anda minat bakeri. Anda minat buat kek. Maka anda pergilah company yang fokusnya membuat kek. Dekat sini anda boleh menambah baik skills anda dalam menghasilkan kek yang cantik dan sedap. 

Anda tentukan kekuatan dan minat anda sendiri.

Pastikan tempat internship anda, kena dengan bidang yang anda belajar.

Okay, sekarang nampak dah cara nak pilih tempat untuk internship? Haa.. Cenggitu la..


04. CARI TEMPAT INTERNSHIP AWAL!

Tak semua tempat menyediakan ruang untuk latihan praktikal. Oleh sebab itu, lagi awal anda cari lagi bagus. Seawal bila anda boleh mula buat carian? Anda boleh sahaja cari setahun sebelum menjalani latihan praktikal.

Nak cari tempat intern, jangan cari satu sahaja. Mohon banyak-banyak sebab kita tak tahu rezeki kita dekat mana.

Nasihat saya, sekiranya anda intern pada semester 6, maka anda mulalah buat carian pada semester 4. Semester 4 tu dah boleh buat list, boleh survey-survey. Semester 5 nanti boleh call dan tanya pasal internship.

Jangan cari lewat sebab takut tempat terhad atau dah penuh. Lagi satu, kalau mohon last minute, majikan pun tak suka. Majikan akan lihat bahawa anda ni memang last minute person.


CARA MEMOHON TEMPAT INTERNSHIP

  • Senaraikan Syarikat Yang Ingin Dimohon
  • Proper Email
  • Letak Subjek Emel
  • Greetings / Salutations
  • Cover Letter Email (Ringkas)
  • Sertakan Fail Berkaitan (Porftolio, Dokumen Rasmi). Jadikan Dalam Bentuk Zip / RAR File
  • Tunggu Respon. Jika Tiada Respon. Hantar EmelPertanyaan Secara Mesra
  • Sedia Untuk Ditemuduga (Jika Ada)
  • Kaji Selidik Latar Belakang Syarikat


05. KAJI SELIDIK LATAR BELAKANG SYARIKAT

Perkara yang penting untuk dilakukan sekiranya anda nak pilih tempat internship ialah anda perlu kaji maklumat seperti berikut:

  • Misi dan visi syarikat
  • Objektif syarikat
  • Laman sosial syarikat


Kenapa kena kaji? Anda kena la kaji sebab anda nak berkhidmat dengan organisasi tersebut! Sekiranya anda faham misi, visi dan objektif syarikat, barulah anda faham apa yang organisasi ini usahakan.

Kalau majikan tanya, "What do you know about our organisation?", takkan la anda nak jawab "I'm sorry, I don't know sir". Haishh malu la. Kalau anda sudah membuat persediaan jawapan yang rapi, pasti majikan akan impressed dengan anda. Sebab apa? Sebab anda dah buat homework.

Untuk media sosial pula, anda nak kaji apa? Anda boleh lihat:

  • Review syarikat. Berapa bintang orang bagi. Apa komen pasal syarikat. Good or bad review?
  • Cara syarikat membalas komen. Okay atau tidak.
  • Posting syarikat. Content yang dimuat naik.


Daripada media sosial, kita boleh dapatkan insights dan informal information mengenai syarikat. Kalau majikan boleh kaji pasal diri kita seperti yang saya nyatakan di perkara 02, maka anda sebagai calon pekerja atau calon intern boleh juga melakukan perkara yang sama.

Anda juga boleh membuat kaji selidik di portal pekerjaan seperti Job Street, Indeed, Jobstore, Glassdoor dan lain-lain. Anda boleh search nama company yang anda pilih. Sekiranya ada di portal, anda cuba la buka bahagian review. Mesti ada bekas staf yang review pasal syarikat. Kalau anda beruntung, anda juga boleh baca review bekas intern. Anda boleh baca dan jadikan review tu sebagai panduan untuk anda.

Misal kata, anda dah buat kaji selidik pasal syarikat. Tiba-tiba anda tertanya-tanya dan waswas, "Macam mana anda nak tahu syarikat tu syarikat scam ataupun tidak?". Anda boleh baca selanjutnya di artikel yang saya tulis khas berkenaan scammer:


Contoh mangsa kena scam.

Daripada artikel ini, anda boleh dapat maklumat sedikit sebanyak untuk membuat keputusan selanjutnya.


06. TANYA SENIOR, PENSYARAH, KELUARGA ATAU KAWAN-KAWAN MENGENAI TEMPAT INTERNSHIP

Sekiranya anda ada kenal senior yang pernah intern di tempat yang anda pilih, anda boleh la tanya pengalaman mereka di sana. Seronok tak? Berbaloi tak? Kerja yang dilakukan ada kena mengena tak dengan course yang dipelajari? Sekiranya senior kata bagus, maka itu petanda yang baik. Sekiranya senior kata mereka banyak buat kerja fotostat, kena buli, kena beli makan minum staf, maka itu adalah petanda yang tidak baik.


Kita nak elakkan isu ni berlaku.

Anda boleh juga tanya pensyarah, keluarga atau kawan-kawan yang pernah atau sedang bekerja di syarikat yang anda bakal menjalani internship. Bak kata orang kampung, mereka ni dah makan garam sebelum kita. Oleh sebab itu, cubalah dapatkan maklumat lebih lanjut mengenai budaya syarikat tersebut. Jangan malu jangan segan. Malu bertanya sesat jalan.




07. BAJET ATAU KEWANGAN UNTUK INTERNSHIP

Internship ni ada pelbagai senario iaitu:

  • Anda dapat intern berdekatan dengan rumah.
  • Anda dapat intern jauh dari rumah tapi masih boleh balik rumah.
  • Anda dapat intern di negeri berlainan.
  • Anda dapat intern di luar negara.
  • Anda dapat intern tapi tiada elaun.
  • Anda dapat intern dan anda terima elaun (secara bulanan / secara lump sum).
  • Ada juga tempat intern yang tiba-tiba memberikan sagu hati (elaun) pada hari terakhir perkhidmatan.


Ada orang dapat tempat intern berdekatan dengan rumah. Sesiapa yang dapat tempat intern berdekatan dengan rumah, maka untunglah individu tersebut. Anda boleh jimat duit banyak. Anda boleh makan kat rumah, tidur kat rumah dan tak perlu pening-pening sangat fikir pasal duit minyak, petrol dan sebagainya.

Lain pula ceritanya untuk pelajar yang dapat tempat intern jauh dari rumah. Sekiranya anda tinggal di Shah Alam dan anda dapat peluang internship di Melaka, maka semestinya anda perlu cari rumah sewa di sana. Takkan la anda nak ulang-alik kan? Nanti tak pasal-pasal habis duit dekat perjalanan je. Kalau sewa bilik, sah-sah anda nak kena bayar bil api, air dan telefon. Duit makan lagi. Haa, kan banyak benda nak kena ambil kira tu.

Jika anda terima elaun, itu sedikit sebanyak akan membantu anda dalam menyara kehidupan. Sekiranya anda memang tidak terima apa-apa elaun, maka anda perlu ada backup plan atau duit yang mencukupi sebagai persediaan untuk menjalani internship.


08. BELI PAKAIAN YANG SESUAI

Nak pergi intern ni, pastikan anda ada pakaian formal atau pakaian yang sesuai!

Sekiranya anda intern di office, pastikan ada baju kemeja, tali leher, seluar slack bagi yang lelaki. Yang perempuan pastikan ada baju kerja yang sesuai. Pastikan ada baju kurung juga.

Kalau anda intern dengan kerajaan atau agensi di bawahnya, maka hari Khamis ialah hari baju batik. Maka pakailah baju batik. Hari jumaat biasanya baju melayu ataupun smart casual (boleh pakai baju berkolar).

Sekiranya anda menjalani intern di site, maka pakailah pakaian yang sesuai. Kalau kena pakai coverall, safety helmet, safety goggle dan safety boot, maka pakailah.


09. SIAP SIAGA DIRI ANDA DENGAN KEMAHIRAN DAN ILMU YANG RELEVAN 

Anda nak buat internship. Apa yang anda patut buat? Anda perlu ada skill yang relevan! Kenapa kena ada? Sebab anda kan nak bekerja!

Berikut adalah jenis kemahiran dan ilmu yang perlu ada:

  • Soft skills.
  • Hard skills (computer & technical skills).


Contoh soft skills:

  • Teamwork.
  • Adaptability.
  • Problem Solving.
  • Creativity.
  • Work Ethics.
  • Interpersonal Skills.
  • Time Management.
  • Leadership.
  • Dan lain-lain.


Contoh hard skills:

  • SEO marketing.
  • Content marketing.
  • Computer skills (ex: Microsoft Office 365).
  • Video editing.
  • Photography & videography.
  • Facebook Ads, Instagram Ads.
  • Bookkeeping.
  • Coding, programming.
  • Proofreading.
  • Typing speed.
  • Painting.
  • Graphic design.
  • Presentation skills.
  • Dan lain-lain.


Macam mana kita nak bina soft skills ni?

Menurut Indeed Editorial Team (2021), terdapat 11 cara untuk membina dan memantapkan soft skills iaitu:

  • Be open to feedback.
  • Communicate often.
  • Emphasize teamwork.
  • Build positive relationships.
  • Step outside of your comfort zone.
  • Get ready to learn.
  • Adapt to workplace / organisational changes.
  • Observe others.
  • Work through conflict.
  • Take on a leadership role.
  • Arrive to work / class on time.


Salah satu cara terbaik untuk menambah baik soft skills ini ialah dengan melibatkan diri dalam persatuan sebagai ahli jawatankuasa. Daripada persatuan atau organisasi, anda boleh belajar banyak perkara dan mengasah soft skills anda.

Sekiranya anda melibatkan diri dalam persatuan, anda sudah pasti akan menjalankan program di universiti atau kolej. Nak jalankan sesuatu program dan kempen memerlukan perancangan, perbincangan dan kerjasama yang rapi.

Daripada program jugalah anda dapat meningkatkan kerjasama antara ahli dalam pasukan, selari dengan peribahasa, bersatu teguh bercerai roboh,

Daripada program jugalah, anda dikehendaki untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan, krisis dan permasalahan. Di situlah anda akan belajar critical thinking dan problem solving.

Sebagai contoh, anda buat program di tempat terbuka, tiba-tiba cuaca mendung dan tanda-tanda menunjukkan bahawa hujan akan turun. Bagaimana anda nak selesaikan permasalahan tersebut? Perkara inilah yang menajamkan minda anda.


Contoh hard skills:

Sebagai contoh untuk hard skills, sekiranya anda seorang pelajar aliran pentadbiran dan pengurusan, anda perlulah ada kemahiran dalam menggunakan software seperti Microsoft Word, Microsoft Excel dan sebagainya.

Mungkin semua orang akan cakap, "eleh.. Microsoft Word je pun. Semua orang pun tahu". Soalan saya, anda pasti ke semua benda anda tahu pasal Microsoft Word? Microsoft Word ada pelbagai features. Tahu tak nak buat citation? Tahu tak shortcut-shortcut dalam software ni? Haa.. Kalau anda sekadar tahu menaip, kemahiran tu memang tak cukup la.

Contoh lain untuk hard skills, sekiranya anda seorang pelajar aliran pemasaran, anda kenalah ada ilmu dan kemahiran mengenai SEO, content marketing, email marketing dan sebagainya, selari dengan aliran yang anda ambil.


Dekat mana kita nak belajar hard skills ni?

Online

Banyak je website yang menawarkan latihan dan kursus percuma antaranya Alison, Open University, Hubspot Academy dan Coursera. Anda boleh pergi ke website macam ni, dan pilihlah latihan yang anda ingin pelajari. Ada platform yang menawarkan sijil percuma. Ada yang kena bayar. Apapun, yang penting, ilmu tu kita dapat.


Alison


Berdasarkan pengalaman saya, Alison adalah platform yang terbaik untuk belajar macam-macam jenis kursus percuma. Ada lebih daripada 4000++ course untuk dipelajari. Waktu ni la kita nak mantapkan skill kita. Self learning!

Saya sendiri pun explore website Alison ni semasa internship di CSPI UiTM. Terima kasih supervisor saya En. Zamani atas pendedahan terhadap website sebegini.

Internship saya adalah dalam bahagian pengurusan projek, maka saya ambil kursus Project Management. Boleh tekan SINI dan search "Diploma in Project Management".

Dengan mempelajari kursus ini, sedikit sebanyak saya dapat aplikasikan dalam dunia internship saya, sebab saya buat benda yang berkaitan. Kan best begitu, bila kita dapat kaitkan apa yang kita belajar dalam apa yang kita buat.



Open Edu


HubSpot


Coursera


Offline

Selain daripada belajar secara online, anda juga boleh mengikuti kursus berbayar secara fizikal sekiranya anda mahu. Antara platform yang menawarkan kursus fizikal ialah Kolej Komuniti dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).


Contoh Kursus Pendek Kolej Komuniti

Institut Keusahawanan Negara. www.insken.gov.my

Boleh tekan senarai latihan keusahawanan untuk maklumat lanjut.


Selain latihan online dan fizikal, anda juga boleh mempraktikkan hard skills ini dengan melibatkan diri dalam persatuan sebagai seorang ahli jawatankuasa.

Sebagai contoh, sekiranya anda seorang setiausaha persatuan, sudah semestinya anda dikehendaki mengeluarkan surat, memo dan sebagainya. Perkara ini memerlukan skills.

Sekiranya anda seorang exco multimedia dan publisiti, sudah semestinya anda perlu membuat poster, banner, bunting dan sebagainya. Di sini anda perlu menggunakan software seperti Canva, Adobe Photoshop, Adobe Illustrator bagi melaksanakan bahan grafik yang berikut.

Sekiranya anda dilantik sebagai ketua projek, anda perlu membuat kertas kerja untuk memohon kelulusan universiti. Nak buat kertas kerja memerlukan skill dalam menulis, research, formating dan sebagainya.


10. TETAPKAN MATLAMAT DAN SASARAN ANDA UNTUK INTERNSHIP

Pastikan anda ada sasaran dalam internship. Hidup sentiasa perlu ada sasaran. Barulah kita boleh terus maju ke hadapan.

Menurut artikel Cik Ta daripada kini.my (2020), terdapat 4 cara untuk tetapkan matlamat internship iaitu:

  • Tentukan apa yang anda minat
  • Fikirkan matlamat keseluruhan internship.
  • Tetapkan matlamat yang dapat diukur.
  • Tulis matlamat.


Sebagai contoh, sebelum intern, anda mungkin ada limited knowledge mengenai excel, tetapi selepas tamat intern, anda ada vast knowledge dalam menggunakan excel. Matlamat anda mungkin ialah untuk mengetahui 20 tips mudah menggunakan excel.

Contoh lain, misal kata anda membuat latihan intern di jabatan pengurusan projek. Sasaran anda mungkin ialah menambah kemahiran dalam membuat keputusan, perancangan projek, perancangan strategik menggunakan teori yang dipelajari. Matlamat anda mungkin ialah berkongsi idea dalam mesyuarat melalui pembentangan sekurang-kurangnya sekali. Secara tidak langsung anda boleh meningkatkan kemahiran pembentangan dan komunikasi di khalayak ramai.

Contoh lain, misal kata anda terlibat dalam graphic design. Anda pandai buat design 2D dan 2.5D. Anda tak pandai buat design 3D. Jabatan anda ada kepakaran dalam design 3D. Oleh itu, anda boleh letak matlamat untuk belajar membuat asas design 3D sebelum tamat intern. Bila anda dah belajar dan tahu buat, ini sudah menambah skill set anda.

Contoh terakhir, anda membuat intern dalam jabatan pemasaran. Anda ada skill dalam copywriting tapi biasa-biasa sahaja. Anda lihat company yang anda kerja ni, copywriting mereka di media sosial sangat hebat. Maka, matlamat anda mungkin ialah mempelajari teknik copywriting berkesan. Anda akan cuba berguru dengan staf di situ sehingga anda diberi kepercayaan untuk membuat copywriting bagi pihak company.

Dengan adanya matlamat, anda pasti akan usaha sehabis baik untuk mencapai matlamat tersebut.


11. SEDIAKAN SEGALA DOKUMEN YANG DIPERLUKAN

Siapkan dokumen anda seawal mungkin untuk mengelakkan masalah pada hari pertama anda intern. Jangan buat kerja last minute! Biasanya buat kerja last minute ni, kita akan terlepas pandang banyak perkara. First impression sangatlah penting. Elakkan daripada masalah dan benda yang remeh. Masalah dokumentasi akan mendatangkan memberikan imej yang kurang baik pada diri anda. Malu!


-----


Berikut adalah 11 tips persediaan sebelum internship. Semoga bermanfaat untuk semua yang membacanya. Sekiranya bermanfaat, bolehlah share kepada rakan-rakan lain ya.

Berikut adalah sedikit pesanan buat mahasiswa atau bakal mahasiswa. Boleh tekan di SINI.

Mohon maaf atas tersalah kata dan tersilap bicara.

Sekian, terima kasih!


#azaraslan #azarnakcerita


Catat Ulasan

6 Ulasan

  1. Sangat membantu! Terima Kasih atas tipsnya

    BalasPadam
  2. will be an intern in a year & found this blog. alhamdulillah it is truly helpful, thank you :D

    BalasPadam
  3. boleh listkan tempat2 praktikal yg boleh minta untuk student bas tak?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Maaf saya tak ada listing untuk tempat-tempat praktikal. Boleh cuba tanya koordinator latihan industri / praktikal. Koordinator boleh advise pasal ni.

      Macam zaman kami dulu, kami diberi garis panduan sahaja. Kemudian kami kena cari sendiri. Jika dah cari namun masih tak jumpa, koordinator atau pensyarah akan beri suggestion tempat.

      Padam