Pada suatu ketika tahun 2025 ini, saya terlibat dalam perbualan santai dengan rakan sekerja. Kami sedang berbual tentang seorang pegawai kerajaan yang memang terkenal dengan sikapnya yang berdedikasi. Topik ini keluar sebab kami ada bekerjasama dengan kerajaan untuk satu program rasmi di hospital saya bekerja. Tiba-tiba salah seorang rakan berkata:
“En. X tu bagus, aktif, dedikasi terhadap kerja dia. Tak boleh ke dia jadi menteri?”
Saya pun tersenyum dan menjawab,
“Tak boleh. En. X seorang penjawat awam. Kalau dia nak jadi menteri, dia kena letak jawatan dulu dalam kerajaan. Lepas tu, dia kena bertanding dalam pilihan raya – sama ada kerusi Parlimen kalau nak jadi menteri di peringkat Persekutuan, atau kerusi DUN kalau nak jadi Menteri Besar atau Ketua Menteri di peringkat negeri.”
Dialog ringkas itu sebenarnya mencerminkan satu kekeliruan yang biasa berlaku dalam masyarakat: penjawat awam dan ahli politik sering dianggap sama, walhal peranan mereka amat berbeza.
Siapa itu Penjawat Awam?
Mengikut Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan, perkhidmatan awam meliputi pelbagai cabang besar antaranya Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik, Perkhidmatan Pendidikan, Kesihatan, Keselamatan dan lain-lain.
Ramai yang biasa kaitkan penjawat awam dengan lantikan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Namun, skopnya sebenarnya lebih luas:
- Kerajaan Persekutuan → kementerian, jabatan dan agensi (contohnya pegawai di Putrajaya, guru sekolah kebangsaan, doktor hospital kerajaan).
- Kerajaan Negeri → kakitangan di bawah pentadbiran negeri (contohnya pegawai agama negeri, pegawai tanah dan galian).
- Kerajaan Tempatan (PBT) → pegawai majlis perbandaran/majlis daerah (contohnya penguat kuasa PBT, jurutera bandar).
Mereka inilah nadi penggerak pentadbiran negara yang meliputi pelbagai lapisan, dari Putrajaya sehinggalah ke pihak berkuasa tempatan (PBT). Prinsip utama yang menyatukan mereka ialah neutraliti: tetap berkhidmat untuk rakyat walau siapa pun yang memerintah.
Siapa pula Ahli Politik?
Ahli politik adalah mereka yang dipilih rakyat melalui pilihan raya atau dilantik untuk jawatan tertentu dalam kerajaan. Mereka inilah yang menggubal dasar, membuat keputusan strategik dan menentukan hala tuju negara.
Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen dan ADUN adalah antara contoh ahli politik. Jawatan ini bersifat sementara, bergantung kepada mandat rakyat dan keadaan politik semasa. Apa yang membezakan mereka dengan penjawat awam ialah ahli politik tidak kekal di kerusi mereka. Bila kalah pilihan raya, mereka perlu berundur dan memberi ruang kepada kerajaan baharu untuk terajui kepimpinan negara.
Perbezaan Utama
Dalam pentadbiran awam, dua peranan ini digolongkan sebagai permanent executive dan political executive.
Penjawat awam dikenali sebagai permanent executive kerana mereka kekal dalam perkhidmatan sehingga umur persaraan dan terus berkhidmat walaupun kerajaan bertukar.
Ahli politik khususnya Ahli Parlimen / ADUN / Menteri pula disebut sebagai political executive kerana kedudukan mereka bergantung kepada mandat rakyat dan boleh berubah mengikut keputusan pilihan raya.
Perbezaan lanjut boleh dilihat dengan lebih jelas melalui jadual berikut:
Rotate screen jika rajah tak penuh.
Perbezaan | Penjawat Awam | Ahli Politik (Parlimen / DUN / Menteri) |
---|---|---|
Pelantikan | Melalui SPA, Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri atau lantikan kerajaan tempatan. | Melalui pilihan raya/parti politik. |
Tempoh Perkhidmatan | Sehingga umur persaraan. | Bergantung kepada mandat rakyat. |
Neutraliti | Berkecuali, tak boleh berpihak kepada mana-mana parti. | Mewakili parti/ideologi tertentu. |
Fungsi | Melaksanakan dasar. | Menggubal dasar. |
Mengapa Masyarakat Sering Keliru?
Salah satu sebab mungkin kerana kedua-duanya sama-sama muncul dalam ruang lingkup kerajaan. Bila nampak seorang penjawat awam yang aktif dan berwibawa, masyarakat akan terbayang “En. Y ni sesuai jadi wakil rakyat / menteri.”
Hakikatnya, walaupun kedua-dua jawatan ini sama-sama penting, namun laluan kerjaya mereka berbeza. Penjawat awam tidak boleh kekal dalam perkhidmatan dan dalam masa sama jadi ahli politik. Mereka perlu memilih salah satu jalan sahaja.
Bagaimana Jika Penjawat Awam Ingin Jadi Menteri?
Secara asasnya, untuk menjadi menteri, seseorang perlu terlebih dahulu menjadi ahli politik sama ada melalui pilihan raya (Ahli Parlimen / Ahli Dewan Undangan Negeri) atau dilantik sebagai Senator di Dewan Negara.
Bagi seorang penjawat awam, langkah ini bermaksud mereka perlu:
- Meletakkan jawatan dalam perkhidmatan awam kerana prinsip asas perkhidmatan awam ialah neutral dan bebas politik.
- Menyertai parti politik sama ada melalui parti kerajaan atau pembangkang, kemudian menawarkan diri sebagai calon pilihan raya.
- Menang pilihan raya atau dilantik sebagai Senator. Dengan ini, barulah mereka boleh dipertimbangkan untuk jawatan Menteri, Timbalan Menteri, Exco Kerajaan Negeri atau jawatan politik lain.
Jika Kalah, Bolehkah Mereka Kembali Jadi Penjawat Awam?
Secara umumnya, tidak.
Apabila seseorang penjawat awam meletakkan jawatan, ia dianggap muktamad. Jika mereka kalah dalam pilihan raya, laluan untuk kembali semula sebagai penjawat awam adalah sukar kerana mereka perlu melalui semula proses lantikan baharu (SPA, kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan) seperti orang awam lain.
Namun, ada juga keadaan di mana bekas penjawat awam yang pernah berkhidmat lama dipanggil semula secara kontrak atas kepakaran tertentu. Tetapi itu bukan laluan automatik tetapi lebih kepada pengecualian khas.
Ini penting untuk difahami kerana ia menunjukkan bahawa:
- Menjadi ahli politik bagi penjawat awam bukanlah satu opsyen atau pendapatan sampingan, tetapi satu keputusan besar yang mengubah seluruh kerjaya mereka.
- Mereka yang memilih jalan politik perlu bersedia menanggung risiko termasuk kehilangan kerjaya tetap yang stabil dalam perkhidmatan awam.
- Selain risiko kehilangan kerjaya tetap, mereka juga akan menghadapi risiko kewangan iaitu hilang duit deposit pilihan raya jika kalah dengan undi yang rendah.
Ada ke Penjawat Awam Yang Letak Jawatan, Kemudian Masuk Politik dan Jadi Menteri?
Ya, ada.
Saya ambil satu contoh yang dekat dengan hati rakyat Malaysia iaitu Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah).
Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah)
Untuk memahami dengan lebih jelas, mari kita lihat perjalanan kerjaya Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ke-5. Beliau bermula sebagai penjawat awam sebelum melepaskan jawatan untuk menceburi politik sepenuh masa.
Perjalanan dalam sektor perkhidmatan awam:
- 1964: Tamat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, Universiti Malaya. Dilantik sebagai Penolong Setiausaha, Jabatan Perkhidmatan Awam.
- 1969: Ketua Penolong Setiausaha, Majlis Gerakan Negara, Jabatan Perdana Menteri.
- 1971: Ketua Pengarah, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
- 1974: Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Perjalanan dalam arena politik:
- 1978: Meletakkan jawatan dalam perkhidmatan awam untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum. Menang sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas.
- 1978-1980: Setiausaha Parlimen, Kementerian Wilayah Persekutuan.
- 1980-1999: Dilantik sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, kemudian Menteri (Pendidikan, Pertahanan, Luar Negeri).
- 1999: Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
- 2003: Perdana Menteri Malaysia ke-5 (hingga 2009).
Kisah Tun Abdullah ini membuktikan bahawa penjawat awam dan ahli politik adalah dua laluan kerjaya yang berbeza. Seorang penjawat awam yang ingin jadi menteri perlu membuat keputusan besar iaitu meninggalkan kerjaya tetap yang stabil untuk memasuki dunia politik yang penuh cabaran dan arenanya yang tersendiri.
Penutup
Penjawat awam dan ahli politik sebenarnya ibarat dua gear dalam satu mesin. Ahli politik menggubal dasar, penjawat awam pula memastikan dasar itu berjalan. Tanpa salah satu gear ini, sistem pentadbiran negara takkan berfungsi dengan baik, malah boleh punah ranap sekali gus menyebabkan kegagalan dalam ekosistem negara.
Jemput baca artikel lagi satu, yang mengupas perkara yang sama tetapi lebih komprehensif: https://www.azaraslan.com/2025/01/ahli-politik-vs-penjawat-awam-peranan.html
Sekian, terima kasih.
Ahmad Azeem bin Ahmad Raslan (AZAR)
Alumni Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) UiTM
Diploma Pentadbiran Awam, 2013-2016
Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kepujian), 2016-2018
Ijazah Sarjana Eksekutif Sains Pentadbiran, 2018-2020
#Azaraslan #FSPPP #SiriPentadbiranAwam
Catat Ulasan