![]() |
Dari kiri: Jubah Diploma (2017), Jubah Degree (2019), Jubah Master (2022), PhD? |
Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera semua. Semoga semua baik-baik sahaja dan dirahmati Tuhan Yang Maha Esa.
Sekarang ni tengah musim konvokesyen UiTM. Minggu lepas, saya pergi ride ke Bukit Tinggi (Bentong, Pahang) pun nampak ada ramai graduan UiTM pakai jubah konvokesyen untuk sesi bergambar. Saya pun sama juga macam tu dulu. Bukan selalu kita nak pakai jubah keramat tu. Pakai bila konvo je.
Konvokesyen adalah detik yang dinanti-nantikan oleh setiap mahasiswa. Ia bukan sekadar acara rasmi, tetapi satu simbol perjalanan panjang menuntut ilmu, penuh suka duka, cabaran dan pengorbanan. Bagi saya, pengalaman konvokesyen di UiTM dari peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, sehinggalah ke peringkat Sarjana merupakan sebuah perjalanan berharga yang tidak mungkin saya dapat lupakan sampai bila-bila.
Diploma Pentadbiran Awam (2017)
Tahun 2017 menjadi detik paling bermakna apabila saya menamatkan pengajian Diploma Pentadbiran Awam (AM110). Ketika itu, saya bukan sahaja menamatkan pengajian, tetapi juga dinobatkan dengan tiga anugerah yang menjadi kenangan indah dalam hidup saya:
- Anugerah Naib Canselor (ANC) Diploma Pentadbiran Awam UiTM, sempena Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-86, di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.
- Anugerah Graduan Terbaik (AGT) Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (Diploma) UiTM Seluruh Sistem, sempena Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-87, di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam. (Anugerah ini tidak saya terima di pentas; sijilnya diambil di pejabat Canseleri.)
- Anugerah Graduan Terbaik (AGT) Kepimpinan UiTM Cawangan Negeri Sembilan, sempena Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-87, di Dewan Biduanda, UiTM Kampus Rembau.
Melangkah ke pentas konvokesyen ketika itu bukan sekadar menerima skrol diploma, tetapi menjadi simbol perjuangan jerih payah, doa yang tidak pernah putus serta sokongan ibu bapa dan keluarga yang menjadi tonggak utama kejayaan saya.
Malah, saat itu saya pernah mengabadikan rasa syukur dan terharu dalam dua coretan di blog:
- Coretan Anak Ibu Sempena Konvokesyen UiTM
- Misi Selempang Merah Jambu: Anugerah Naib Canselor Diploma Pentadbiran Awam
Apabila saya membaca semula kedua-dua artikel itu pada hari ini, saya sedar bahawa detik konvokesyen bukanlah penamat, sebaliknya permulaan kepada perjalanan lebih panjang dalam dunia akademik dan kerjaya.
Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (2019)
Selepas diploma, saya meneruskan perjalanan di Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (AM228).
Saya berazam untuk kekalkan kecemerlangan yang dikecapi sewaktu diploma, namun tidak kesampaian. Saya berada di fasa kejatuhan apabila gagal mengekalkan momentum untuk meraih Anugerah Naib Canselor di peringkat ijazah. Jauh di sudut hati, memang terasa sugul dan pilu. Namun saya percaya, kegagalan bukan penamat, sebaliknya kejayaan yang tertangguh.
Dengan semangat baharu, saya berusaha untuk bergraduasi pada tempoh yang dirancang (GOT), meskipun perlu melalui pelarasan demi pelarasan kerana cabaran kerjaya, persatuan, organisasi, kelab dan keluarga.
Akhirnya, dengan izin Tuhan Yang Maha Esa, saya berjaya menyarung jubah biru gelap dengan satu jalur keemasan semasa Istiadat Konvokesyen UiTM ke-90, menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kepujian) Kelas Kedua Tinggi. Walaupun tidak seperti yang saya hajati pada awalnya, Allah gantikan dengan rezeki lain seperti kesihatan, sahabat sejati, peluang menimba pengalaman di media, pertandingan, persidangan, serta perjawatan.
Sesungguhnya, Sang Pencipta tarik sesuatu untuk beri sesuatu yang lebih besar daripada apa yang kita sangka. Walaupun zaman ijazah saya tidak berprestij seperti waktu terima anugerah di peringkat diploma dahulu, namun saya belajar suatu perkara yang amat berharga iaitu nilai kejayaan bukanlah semata-mata perlu diraih di atas pentas melalui selempang merah jambu.
Boleh baca artikel “Ijazah Dalam Genggaman, Penuh Cabaran” untuk maklumat lebih lanjut.
Setelah selesai merangkul ijazah sarjana muda, saya berhasrat nak sambung sarjana eksekutif pula.
Sarjana Eksekutif Sains Pentadbiran (2022)
Saya mengikuti jurusan Sarjana Eksekutif Sains Pentadbiran pada tahun 2018 dan berakhir pada tahun 2020. Giliran konvokesyen ialah pada tahun 2022, iaitu Istiadat Konvokesyen UiTM ke-94.
Masih segar lagi dalam ingatan, saat keputusan akhir diumumkan, adik saya beritahu bahawa result sudah boleh disemak. Dengan hati yang berdebar, saya log masuk ke laman sesawang rasmi universiti.
Hati yang gundah terus jadi ceria melihat keputusan terpampang di skrin. Syukur Alhamdulillah! Segala penat lelah berjaga malam hingga ke pagi, mohon cuti kerja berkali-kali, menelusuri onak duri sepanjang pengajian separuh masa sambil bekerja sepenuh masa, akhirnya terbayar dengan keputusan 3.75, cukup untuk melayakkan saya menerima Anugerah Pascasiswazah Fakulti (APF). Saya berjaya menamatkan pengajian Graduate on Time (GoT) dengan dua kali APF.
Perasaan puas hati itu sukar digambarkan. Benar, perjalanan ini bukan mudah, tetapi rezeki Allah hadir pada masa yang tepat.
Alhamdulillah, akhirnya saya secara rasminya bergelar pemegang Ijazah Sarjana Eksekutif Sains Pentadbiran FSPPP UiTM.
Rasa bangga dapat pakai jubah biru tua dua jalur emas. Konvokesyen pada tahun 2022 menjadi simbol bahawa semua pengorbanan masa, tenaga, kerja, keluarga dan akademik telah membuahkan hasil.
Boleh juga baca artikel “Sarjana Eksekutif Dalam Genggaman” untuk maklumat lanjut.
![]() |
Dari kiri: Jubah Diploma (Tiada Jalur), Jubah Degree (1 Jalur Emas), Jubah Master (2 Jalur Emas) |
Hari Ambil Jubah & Mortarboard
Salah satu detik yang paling mengujakan ialah bila dapat panggilan atau notis untuk ambil jubah. Masa tu barulah rasa “wah, dah sampai masa aku nak grad”.
Biasanya ramai graduan akan beratur panjang untuk ambil jubah. Ada yang datang awal pagi semata-mata nak elak crowd. Masa tu kita akan ambil jubah, mortarboard, hood/selendang (untuk ijazah dan ke atas) dan ada juga yang siap try depan cermin dulu, takut-takut saiz tak kena. Saiz kena ngam, baru handsome, segak, cantik dan tak nampak gelebeh.
Bila dah dapat jubah, automatik rasa macam separuh perjalanan konvokesyen dah bermula. Ramai juga yang terus buat sesi photoshoot “pre-konvo” dengan kawan-kawan, untuk cipta memento bersama. Seperti yang saya mention dekat bahagian pengenalan artikel ini, saya nampak sekumpulan pelajar berbusana jubah konvo di Bukit Tinggi (Bentong, Pahang) untuk sesi pre-convo shooting.
Sehari Sebelum Konvokesyen
Walaupun saya sudah melalui empat kali majlis konvokesyen iaitu diploma (2 kali), ijazah sarjana muda dan sarjana, prosesnya sebenarnya hampir sama sahaja. Dari pagi lagi, kita dah bersiap sedia. Kita akan pastikan baju konvo dah siap digosok, rambut dah potong kemas dan sebagainya. Biasanya satu hari sebelum konvo tu susah betul nak tidur. Sebab apa? Sebab kita rasa gementar dan teruja pada masa yang sama.
Pengalaman Di Dalam Dewan Konvokesyen
Apabila kita berada dalam dewan konvokesyen, rasa gementar dan teruja tu akan terus kekal sehingga kita masuk barisan untuk susun giliran nak berjalan naik ke pentas. Walaupun dah tahu flow dia, kita tetap akan rasa berdebar. Langkah kena steady, jangan gabra sangat, nanti berpeluh, habis muka berminyak. Senyuman kena maintain, walaupun dalam kepala fikir macam-macam.
Lepas tu masuk pula bab posing untuk gambar rasmi. Inilah part yang paling ramai graduan boleh relate. Kita kena berdiri tegak, tangan pegang skrol elok-elok, pandang kamera atau pandang pemberi skrol dan senyum dengan penuh yakin. Tapi dalam hati kecil ni ada juga kerisauan, “harap-harap mata tak terpejam masa ni”. Tambah pula dengan mortarboard yang ada tassel berjuntai tu, kadang-kadang dia tercover muka.
Tapi itulah antara memori paling manis. Bila tengok semula gambar konvokesyen, ianya akan mengimbau kembali memori perjalanan kita sebagai mahasiswa.
![]() |
Nampak tak mata saya tertutup di situ. Hahaha. |
Lagu Semasa Konvokesyen
Di awal setiap majlis konvokesyen, lagu Wawasan Setia Warga UiTM berkumandang. Irama dan baitnya memberi semangat luar biasa, seolah mengingatkan kami semua bahawa perjuangan ilmu ini adalah untuk masyarakat dan negara. Ia membangkitkan rasa bangga dan jati diri sebagai warga UiTM.
Namun, kemuncak emosi hadir di akhir majlis apabila lagu UiTM Di Hatiku dimainkan. Saat itu, bulu roma pasti meremang. Ramai graduan sebak, malah ada yang menangis kerana terkenang segala susah payah menamatkan pengajian. Saya sendiri tidak terkecuali. Liriknya yang menyentuh hati benar-benar mengikat pengalaman konvokesyen sebagai sebuah memori paling mendalam dan berharga.
![]() |
Gambar konvo diploma di luar dewan. Pinjam bunga dan teddy bear kawan. |
Selepas Keluar Dewan Konvokesyen
Seusai sahaja majlis di dalam dewan, bermulalah detik yang lebih meriah di luar. Inilah masa sebenar untuk meraikan kejayaan yang kita kecapi bersama keluarga dan rakan-rakan. Ada yang terus berlari mencari ibu bapa, ada yang sebak bila dipeluk mak ayah dan tak kurang juga yang sibuk beratur untuk bergambar ramai-ramai.
Suasana di luar dewan biasanya penuh citra warna dan ceria. Akan ada bunga, belon, teddy bear, jurugambar freelance dan vendor berbayar untuk photobooth konvo. Semua ini menjadikan hari konvokesyen lebih bermakna.
Momen sambutan pula berbeza-beza. Ada yang diraikan dengan pasangan suami isteri, ada yang hadir bersama tunang atau teman istimewa dan ada yang membawa keluarga kecil bersama anak-anak. Ada juga yang menyambut bersendirian. Walau apa pun caranya, semuanya tetap indah kerana konvokesyen adalah tentang menghargai perjalanan dan kejayaan diri sendiri. Kita patut bangga dengan diri kita kerana berjaya tamat pengajian waima apa cara sekali pun.
Bagi saya, saat paling indah ialah melihat senyuman ibu bapa dan keluarga. Segala penat lelah belajar akhirnya terbayar bila nampak mereka bangga.
Selain itu, semasa konvokesyen, confirm kita akan ambil beratus-ratus gambar dan video bersama keluarga dan rakan-rakan. Kadang-kadang memori telefon jadi penuh dan susah nak simpan semuanya.
![]() |
Pendrive Fanxiang Disk |
Kalau nak senang, saya highly recommend guna pendrive Fanxiang Disk sebab boleh terus cucuk kat iPhone dan Android (Type-C & Lightning). Semua gambar/video boleh backup terus tanpa risau phone slow. Kelajuan transfer antara 50mb ke 80mb per second. Senang bawa, kecil je saiz dia. Lepas tu, boleh juga transfer ke laptop atau PC dengan mudah (jika PC ada type-c port).
Saya sendiri pun pakai sebab iPhone saya selalu storage penuh. So untuk photo video event macam konvokesyen ni, boleh masuk dalam ni. Bila nak pakai atau tengok semula, cucuk je pendrive tu.
Ni linknya: https://s.shopee.com.my/3Var9Qy8rn?share_channel_code=1
![]() |
Group photo geng SKP (Skim Khidmat Pelajar) Konvokesyen |
Throwback: Dari Marshall ke Graduan
Jika diimbau kembali, pengalaman saya dengan konvokesyen UiTM bukan sekadar sebagai graduan. Suatu masa dulu, saya sendiri pernah menjadi marshal Istiadat Konvokesyen UiTM ke-82, yang ditugaskan untuk mengawal laluan trafik, membantu graduan beratur dan memastikan majlis berjalan lancar di luar dewan. Masa tu, saya hanya melihat dari sisi lain pentas.
Sebagai marshall, kita dapat lihat ibu ayah datang dari jauh, semata-mata untuk konvokesyen anak mereka. Ada juga yang datang UiTM, sewa bas, bawa satu kampung, jiran-2 semua. Ada yang bawa keluarga dalam skala besar. Ada pakcik makcik yang berusia, berpangkat atuk nenek yang sanggup naik tangga walaupun mencungap. Ada suami isteri yang dapat ANC.
Tak pernah terbayang yang suatu hari nanti, saya sendiri akan berada di kerusi graduan, menunggu nama dipanggil untuk naik ke pentas. Rasa dia memang lain, seolah-olah melengkapkan satu kitaran perjalanan di UiTM. Tinggal PhD je belum lagi.
Info lanjut di sini: https://www.azaraslan.com/2015/05/last-day-of-work-skp-konvokesyen-uitm.html
Tips untuk Graduan Yang Bakal Berkonvo
Lepas empat kali melalui pengalaman konvokesyen, ada beberapa benda kecil yang nampak remeh, tapi sangat membantu kalau kita buat awal-awal. Antaranya:
- Datang awal: Lebih baik sampai sekurang-kurangnya sejam dua sebelum majlis. Nak parking pun senang, tak kalut nak cari dewan.
- Bawa dokumen penting siap-siap: Slip pendaftaran, kad jemputan atau apa-apa dokumen yang diperlukan. Jangan nanti baru sedar tertinggal.
- Pakaian dalam yang selesa: Robe konvo agak tebal. Kalau majlis pagi, mungkin masih okay. Tapi kalau tengahari, memang berpeluh. Jadi pakailah pakaian yang breathable.
- Check penampilan sebelum masuk dewan: Pastikan mortarboard terletak elok, tassel tak menutup muka, robe kemas (kalau longgar, pasang pin bagi terletak). Ini sangat penting untuk gambar rasmi. Kalau tak nanti gambar tak cantik.
- Bawa safety pin, hairpin, atau double-sided tape: Kadang-kadang robe senget atau mortarboard longgar, benda kecil ni memang penyelamat di saat akhir.
- Bawa tisu atau handkerchief: Ni untuk lap muka dan tangan jika berpeluh.
- Sarapan: Pastikan sarapan sebelum berkonvo. Sesi konvokesyen ni agak panjang. Kalau tak sendal perut nanti tak memasal pengsan atau pitam. Dah jadi satu hal pula.
Penutup
Setiap perjalanan konvokesyen saya semuanya memberi seribu satu makna.
Bagi saya, setiap pentas yang saya jejaki bukan sekadar simbol kejayaan akademik, tetapi juga bukti bahawa dengan kesungguhan, doa, dan sokongan orang sekeliling, sesiapa sahaja mampu mencipta sejarah luar biasa dalam hidupnya.
Dan siapa tahu, mungkin suatu hari nanti, akan ada lagi catatan baharu bertajuk “PhD Dalam Genggaman”.
Doakan ya.
Dengan ini, selesai sudah cerita saya. Bagaimana pula pengalaman konvokesyen anda? Apakah cabaran yang anda hadapi semasa belajar? Boleh share di komen ya.
Sekian, terima kasih.
Ahmad Azeem bin Ahmad Raslan (AZAR)
Alumni Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) UiTM
Diploma Pentadbiran Awam, 2013-2016
Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kepujian), 2016-2018
Ijazah Sarjana Eksekutif Sains Pentadbiran, 2018-2020
#Azaraslan #FSPPP #DiplomaPentadbiranAwam #IjazahSarjanaMudaSainsPentadbiran #SarjanaEksekutifSainsPentadbiran #DPA #BAS #EMAS #KonvokesyenUiTM #UiTM #UiTMDiHatiku
Catat Ulasan