Apa Itu Pilihan Raya Negeri (PRN)? Kenapa Ia Boleh Diadakan Walaupun Belum Sampai Pilihan Raya Umum (PRU)?
Penafian: Artikel ini bertujuan untuk memberikan penerangan umum mengenai sistem pilihan raya Malaysia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, peruntukan perlembagaan negeri dan maklumat rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Sebarang contoh atau perkembangan politik yang dinyatakan adalah untuk tujuan penerangan dan tidak mewakili sokongan kepada mana-mana parti atau gabungan politik. alert-info
Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera semua. Semoga semua sihat-sihat sahaja dan dikurniakan kejayaan di dunia dan akhirat.
Lebih dari 2 bulan tidak menulis, kali ini saya tampil dengan artikel berkenaan PRN.
Sidang pembaca sekalian, sudah pasti semua sedia maklum bahawa negara kita telah melalui 2 PRN pada tahun 2026, iaitu PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan.
Apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan sesuatu pilihan raya, ramai rakyat mungkin tertanya-tanya:
"Kenapa ada pilihan raya lagi? Bukankah Pilihan Raya Umum (PRU) baru sahaja berlangsung pada tahun 2022? Bukan ke pilihan raya ni 5 tahun sekali?"
Persoalan ini kembali menjadi perhatian apabila Johor dan Negeri Sembilan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2026, walaupun Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 baru berlangsung pada November 2022.
Dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan 2026, rakyat negeri itu keluar mengundi untuk memilih wakil rakyat baharu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Namun, mengapa pilihan raya negeri boleh berlaku sebelum pilihan raya umum?
Jawapannya terletak pada perbezaan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta bagaimana sistem demokrasi Malaysia berfungsi.
Jom fahami jenis pilihan raya di Malaysia terlebih dahulu.
Kenali Tiga Jenis Pilihan Raya di Malaysia
1. Apa itu Pilihan Raya Umum (PRU)?
Pilihan Raya Umum (PRU) ialah pilihan raya untuk memilih Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan Persekutuan. Dalam kebanyakan keadaan, sesetengah negeri turut membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak, menyebabkan rakyat juga memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada hari yang sama.
Dalam PRU, rakyat memilih:
A. Ahli Parlimen
Ahli Parlimen yang dipilih akan mewakili kawasan masing-masing di Dewan Rakyat.
Gabungan parti yang memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen akan membentuk kerajaan Persekutuan dan memilih Perdana Menteri.
B. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Bagi negeri yang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran Parlimen, rakyat turut memilih ADUN.
ADUN yang dipilih pula akan membentuk kerajaan negeri dan memilih Menteri Besar atau Ketua Menteri.
Secara mudah:
PRU menentukan siapa yang mentadbir negara dan (jika serentak) negeri.
2. Apa itu Pilihan Raya Negeri (PRN)?
Pilihan Raya Negeri (PRN) ialah pilihan raya yang hanya melibatkan pemilihan wakil rakyat di peringkat negeri iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Melalui PRN, rakyat memilih kerajaan negeri.
Kerajaan negeri bertanggungjawab terhadap perkara-perkara di bawah bidang kuasa negeri seperti:
- Tanah;
- Kerajaan tempatan;
- Hal ehwal agama Islam;
- Beberapa aspek pembangunan negeri.
Berbeza dengan PRU, PRN tidak menentukan siapa Perdana Menteri. Ia hanya menentukan siapa yang akan mengetuai kerajaan sesebuah negeri iaitu Menteri Besar atau Ketua Menteri.
Sebagai contoh:
Jika sebuah negeri mengadakan PRN, rakyat negeri tersebut akan memilih ADUN sahaja. Kerajaan Persekutuan masih kekal berdasarkan keputusan PRU yang terdahulu.
3. Apa itu Pilihan Raya Kecil (PRK)?
Selain PRU dan PRN, terdapat juga Pilihan Raya Kecil (PRK).
PRK diadakan apabila berlaku kekosongan sesuatu kerusi wakil rakyat sebelum tamat tempoh penggal.
Antara sebab kerusi menjadi kosong ialah:
- Kematian wakil rakyat;
- Peletakan jawatan;
- Hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Berbeza dengan PRU dan PRN yang melibatkan banyak kawasan, PRK biasanya hanya melibatkan satu kawasan sahaja.
Contohnya, jika seorang Ahli Parlimen meninggal dunia, pilihan raya kecil boleh diadakan untuk memilih pengganti bagi kawasan tersebut.
Kenapa PRN Boleh Berlaku Sebelum PRU?
Ramai menganggap PRN hanya akan berlaku selepas PRU. Namun, anggapan ini tidak tepat.
Sebab utama ialah Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai tempoh serta proses pembubaran yang berasingan.
Maksudnya, walaupun PRU telah berlangsung, sesebuah negeri masih boleh meneruskan pentadbiran sehingga tempoh DUN tamat.
Begitu juga sebaliknya, sesebuah negeri boleh mengadakan PRN lebih awal sebelum PRU jika berlaku keadaan tertentu.
Sebab-Sebab PRN Diadakan Lebih Awal
1. DUN Dibubarkan Lebih Awal
Salah satu sebab utama PRN berlaku ialah apabila Menteri Besar atau Ketua Menteri meminta supaya DUN dibubarkan sebelum tamat tempoh lima tahun.
Pembubaran ini biasanya dibuat selepas mendapat perkenan Sultan / Raja atau Yang di-Pertua Negeri mengikut perlembagaan negeri masing-masing.
Selepas DUN dibubarkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh pilihan raya baharu.
Antara sebab kerajaan negeri memilih untuk membubarkan DUN lebih awal ialah:
- Mahu mendapatkan mandat baharu daripada rakyat;
- Mahu mengukuhkan kedudukan politik;
- Perubahan besar dalam keadaan politik negeri.
2. Kerajaan Negeri Hilang Sokongan Majoriti
Dalam sistem demokrasi Malaysia, kerajaan perlu mempunyai sokongan majoriti ADUN dalam DUN.
Jika berlaku keadaan seperti beberapa ADUN menarik balik sokongan kepada kerajaan, kedudukan Menteri Besar atau Ketua Menteri boleh menjadi tidak stabil.
Dalam situasi tertentu, pilihan yang ada ialah:
- Membentuk kerajaan baharu tanpa pilihan raya; atau
- Membubarkan DUN dan mengadakan PRN.
PRN memberikan peluang kepada rakyat untuk menentukan semula kerajaan negeri.
3. Berlaku Kemelut atau Perubahan Landskap Politik
Senario politik sentiasa berubah dan dinamik di Malaysia dan di mana-mana negara.
Ada keadaan di mana gabungan parti yang membentuk kerajaan selepas pilihan raya tidak lagi mempunyai hubungan politik yang sama selepas beberapa tahun.
Antara faktor yang boleh menyebabkan perubahan ialah:
- Pertukaran sokongan wakil rakyat;
- Konflik dalaman parti;
- Perubahan gabungan politik.
Apabila keadaan ini menyebabkan kerajaan negeri tidak lagi stabil, PRN boleh menjadi jalan penyelesaian untuk mendapatkan mandat baharu.
4. Tempoh DUN Tidak Sama Dengan Negeri Lain
Satu lagi perkara penting ialah setiap negeri mempunyai jadual pilihan raya negeri yang berbeza.
Tidak semua negeri membubarkan DUN pada masa yang sama.
Contohnya, selepas PRU ke-15 pada November 2022, beberapa negeri memilih untuk tidak membubarkan DUN mereka.
Enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu mengadakan PRN pada tahun 2023, di bawah nama Pilihan Raya Negeri-Negeri Malaysia 2023.
Enam negeri ini perlu mengadakan PRN pada tahun 2028. Lebih spesifik, sebelum 12 Ogos 2028 kerana DUN tubuh pada 12 Ogos 2023. Tempoh maksimum satu penggal DUN ialah lima tahun dari tarikh persidangan pertama selepas pilihan raya, melainkan dibubarkan lebih awal.
Nak lagi senang faham:
- Johor - Jun 2026. PRN seterusnya Jun 2031 atau sebelum.
- Negeri Sembilan - Ogos 2026. PRN seterusnya Ogos 2031 atau sebelum.
- Selangor - PRN seterusnya 12 Ogos 2028 atau sebelum.
- Pulau Pinang - 12 Ogos 2028 atau sebelum.
- Kedah - 12 Ogos 2028 atau sebelum.
- Kelantan - 12 Ogos 2028 atau sebelum.
- Terengganu - 12 Ogos 2028 atau sebelum.
- Melaka - DUN dijangka tamat pada Disember 2026. Tapi PRN mungkin berlaku antara September, Oktober atau November 2026.
- Begitu juga dengan negeri-negeri lain, semua ada tarikh pembubaran tersendiri berdasarkan bila DUN ditubuhkan dan dibubarkan: Sabah, Sarawak, Perlis, Pahang, Perak.
Contoh: PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan 2026
Selepas memahami sebab-sebab PRN boleh diadakan sebelum PRU, kita boleh melihat dua contoh semasa iaitu PRN Johor 2026 dan PRN Negeri Sembilan 2026.
Kedua-dua negeri ini menunjukkan bahawa sesuatu PRN boleh berlaku atas faktor yang berbeza, bergantung kepada keadaan politik dan pentadbiran sesebuah negeri.
PRN Johor 2026: Pembubaran DUN dan Mandat Baharu Rakyat
Johor merupakan contoh bagaimana sesebuah negeri boleh mengadakan PRN apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan lebih awal.
Pembubaran DUN membuka laluan kepada rakyat Johor untuk memilih semula wakil rakyat mereka bagi menentukan kerajaan negeri yang baharu.
Situasi ini berkait dengan prinsip demokrasi iaitu apabila berlaku perubahan keadaan politik atau kerajaan negeri memerlukan mandat baharu, pilihan raya boleh menjadi jalan untuk mendapatkan sokongan terus daripada rakyat.
Dalam PRN Johor 2026, sebanyak 56 kerusi DUN dipertandingkan.
Keputusan pilihan raya menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 48 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh 8 kerusi. Keputusan tersebut membolehkan BN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti yang besar.
Walaupun PRN Johor berlangsung pada tahun 2026, ia tidak melibatkan pemilihan kerajaan Persekutuan. Rakyat Johor hanya memilih ADUN untuk menentukan kerajaan negeri, manakala kerajaan Persekutuan masih bergantung kepada keputusan PRU.
PRN Negeri Sembilan 2026: Kemelut Politik dan Keperluan Mandat Rakyat
Negeri Sembilan pula menjadi contoh bagaimana kemelut politik dan isu berkaitan pentadbiran negeri boleh membawa kepada keperluan mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.
Sebelum PRN Negeri Sembilan 2026 berlangsung, negeri tersebut melalui kemelut politik dan isu adat serta perlembagaan yang menjadi perhatian umum. Disebabkan ini, ada ADUN yang menarik sokongan daripada kerajaan negeri semasa, mengakibatkan ketidakstabilan pentadbiran negeri dan menggugat kestabilan kerusi majoriti.
Apabila wujud persoalan mengenai kestabilan pentadbiran negeri, salah satu mekanisme dalam sistem demokrasi ialah memberi peluang kepada rakyat untuk menentukan semula sokongan mereka melalui pilihan raya.
Selepas DUN Negeri Sembilan dibubarkan, proses pilihan raya dijalankan bagi memilih wakil rakyat baharu.
Dalam PRN Negeri Sembilan 2026, sebanyak 36 kerusi DUN dipertandingkan.
Keputusan pilihan raya menyaksikan:
- Barisan Nasional (BN): 18 kerusi
- Pakatan Harapan (PH): 11 kerusi
- Perikatan Nasional (PN): 7 kerusi
Keputusan tersebut menentukan komposisi baharu DUN Negeri Sembilan serta gabungan yang mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.
Kedua-dua contoh ini menunjukkan bahawa PRN tidak semestinya berlaku pada masa yang sama dengan PRU.
Sebuah negeri boleh mengadakan PRN apabila:
- DUN dibubarkan lebih awal;
- Kerajaan negeri memerlukan mandat baharu;
- Berlaku perubahan atau ketidaktentuan politik;
- Atau tempoh pentadbiran negeri berakhir.
Ini membuktikan bahawa PRU dan PRN mempunyai kitaran yang berbeza walaupun kedua-duanya melibatkan proses rakyat memilih wakil mereka.
Kesimpulan
Kesimpulannya, PRN bukanlah pilihan raya "tambahan" atau "luar biasa". Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada sistem demokrasi Malaysia yang membolehkan setiap negeri menentukan sendiri kerajaan negeri mengikut tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) atau apabila keadaan tertentu memerlukan mandat baharu daripada rakyat.
Ringkasnya:
Dengan memahami perbezaan antara PRU, PRN dan PRK, diharapkan rakyat lebih jelas mengapa sesebuah negeri boleh mengadakan pilihan raya walaupun pilihan raya umum masih belum tiba.
Sebagai pengundi, kita perlu memahami proses ini agar kita bukan sahaja mengetahui bila pilihan raya diadakan, tetapi juga mengapa ia perlu diadakan mengikut peruntukan Perlembagaan dan sistem demokrasi negara.
Sekian, terima kasih.
Ahmad Azeem bin Ahmad Raslan (AZAR)
Baca juga Siri Pentadbiran Awam (SPA):
- Apa Perbezaan Antara Ahli Parlimen dan ADUN?
- Perbezaan Antara ADUN dan Ahli Majlis
- Perbezaan Antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan
- Kenapa Sistem Pemerintahan Malaysia Melantik Ahli Parlimen Sebagai Menteri?
- Perbezaan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri
Rujukan:
- Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
- Portal Rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).
- Portal Rasmi Parlimen Malaysia.
- Kenyataan media dan keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri Johor 2026.
- Kenyataan media dan keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan 2026.
- Laporan berita daripada media arus perdana seperti ASTRO AWANI, RTM, BERNAMA dan BH Online.
#Azaraslan #FSPPP #SiriPentadbiranAwam #Politik #PilihanrayaNegeri #PilihanrayaUmum #PilihanrayaKecil #PRN #PRU #PRK

Catat Ulasan